Вы находитесь на странице: 1из 3

A.

SAMAD SAID
Abdul Samad bin Muhammad Said atau lebih dikenali sebagai A. Samad
Said dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal,
Melaka.
A. SAMAD SAID, seorang pengarang Melayu yang agak unik dan tersendiri
dalam perkembangan penulisannya yang dimulai dengan puisi dan cerpen,
kemudian meningkat kepada penulisan novel, drama dan kritikan sastera. Sejak giat
mengarang dalam tahun 1950, beliau telah memperlihatkan kekuatan daya kreatif
yang sentiasa berkembang dan lebih bersifat meneroka. Sumbangan A. Samad
Said kepada kesinambungan kesusasteraan Melayu kelihatan cukup menyerlah
kerana beliau ialah penulis yang begitu menonjol dalam perkembangan
kesusasteraan Melayu yang menyambungkan ASAS 50 dengan angkatan
sesudahnya.
Novel pertamanya, yang asalnya berjudul Gerhana kemudian diterbitkan
dengan judul Salina ialah sebuah novel yang tebal dan berjaya mengangkat
martabat kesusasteraan Melayu ke tahap yang disifatkan oleh sesetengah sarjana
sebagai bertaraf antarabangsa. Di samping novel, Samad juga memperlihatkan
kekuatannya dalam penulisan puisi seperti yang terkumpul dalam kumpulan Liar di
Api. Beliau antara penulis yang terawal melakukan eksperimen dalam sajak-sajak
bebas. Selepas itu, beberapa buah lagi kumpulan puisinya telah diterbitkan
seperti Benih Harapan (1973), Daun Semalu Pucuk Paku (1975) dan Benih
Semalu (1984).
Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan
meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah
apabila pada 29 Mei 1976, bersama-sama beberapa pengarang lain, beliau diiktiraf
sebagai Pejuang Sastera. Tahun 1979, juga turut memberi erti kepada Samad,
apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel
Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama, beliau telah dipilih menerima
Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards). Kemuncak pencapaian
Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dinobatkan sebagai Sasterawan
Negara 1985. Dalam tahun 1993, A. Samad Said menerima Anugerah ASEAN 1993
(Kategori Sastera) daripada Negara Brunei Darulsalam.
Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A. Samad Said juga telah
dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran `Datuk’
dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.
USMAN AWANG
Usman Awang dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala
Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim.
USMAN AWANG sebagai seorang tokoh dalam kesusasteraan Melayu
moden, khususnya sajak dan drama amat banyak diperkatakan. Kerana itu nama
Usman Awang paling terkenal di kalangan pengkaji dan peminat sastera Melayu
pada pelbagai peringkat dan golongan. Kejayaannya mempertahankan dirinya
sebagai seorang penyair dan budayawan yang terus kreatif memberikan semacam
keteguhan terhadap tradisi baharu sastera kita. Beliau seorang penyair yang tidak
pernah pudar dan sentiasa dapat menyesuaikan dirinya dalam pelbagai zaman dan
situasi.
Puisi-puisinya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu
dan perikemanusiaan. Beberapa buah puisinya menjadi bahan yang amat menarik
bukan sahaja di kalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya, malah
menjadi pilihan pelajar-pelajar sekolah dalam sebarang upacara mendeklamasi
puisi. Antara puisinya yang cukup popular termasuklah “Bunga Popi”, “Gadis di
Kuburan”, “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Nasib Buruh”, dan “Salam Benua.”
Selain puisi, satu lagi bidang kreatif yang mengharumkan nama Usman ialah
drama. Bidang ini telah diterokanya sejak awal tahun 1960-an dengan menulis
drama untuk radio dan pentas. Beberapa buah dramanya yang terkenal
termasuklah “Serunai Malam”. “Malam Kemerdekaan”,”Tamu di Bukit Kenny”,
“Matinya Seorang Pahlawan”, “Degup Jantungnya” dan sebuah dramanya yang
banyak diperkatakan ialah drama “Muzika Uda dan Dara”.
Beliau telah dilantik sebagai salah seorang anggota Panel Hadiah Karya
Sastera dan juga telah dianugerahkan gelaran “Pejuang Sastera” oleh Perdana
Menteri pada 29 Mei 1976. Mulai tahun 1979, kerana ketokohan, pengalaman dan
dedikasinya, beliau dilantik menjadi Setiausaha kepada Panel Anugerah Sastera,
sebuah panel penilai anugerah kesusasteraan yang tinggi di tanah air.
Dalam tahun 1982, Usman Awang telah terpilih menerima S.E.A. Write
Awards. Pada 11 Ogos 1983, Usman dianugerahkan pula Ijazah Doktor Kehormat
(Persuratan) oleh Universiti Malaya. Usman Awang juga adalah penerima Anugerah
Sastera Negara bagi tahun 1983. Akhbar Berita Harian telah menganugerahi
Usman Awang Zamalah Sastera dalam tahun 1985, iaitu untuk kategori Penulis
Terkenal (Veteran).
Bagi menghargai sumbangan beliau dalam bidang sastera, Usman Awang
telah dianugerahi gelaran kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Perak oleh DYMM
Sultan Azlan Shah yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 1991. Kini, beliau
adalah Pengerusi Persatuan Persahabatan Malaysia-China dan Penasihat
Kebudayaan Maybank.
ZAABA
Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Zaaba dilahirkan pada 16
September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Negeri Sembilan.
Beliau merupakan seorang sasterawan dan
pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an.
Za’ba mulai serius menulis ketika berkhidmat sebagai guru sandaran di Johor Baru
pada tahun 1916. Rencana pertamanya berjudul “Temasya mandi Safar di Tanjung
Kling” telah diterbitkan sebanyak dua kali oleh akhbar Utusan Melayu. Za’ba
berkeupayaan menggabungkan pelbagai aspek seperti bahasa, kesusasteraan,
agama, ekonomi, politik dan pendidikan dalam penulisannya.
Za’ba merupakan anak Melayu yang tidak jemu-jemu mengabdikan dirinya
dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu. Karya beliau yang terkenal
ialah Pelita Bahasa Melayu, sebuah kitab rujukan utama bagi seluruh masyarakat
yang ingin mempelajari bahasa Melayu. Beliau juga berjaya menghasilkan buku
tatabahasa berjudul Ilmu Mengarang Melayu. Kedua-dua karya tersebut telah
dijadikan buku teks sekolah sehingga selepas Perang Dunia Kedua. Selain
itu, Daftar Ejaan Jawi/Rumi merupakan sebuah lagi hasil karya terpenting Za’ba.
Beliau turut menulis dalam Journal of Malayan Branch Royal Asiatic
Society (JAMBRAS) dalam usaha beliau memperkenalkan bahasa Melayu kepada
orang asing.
Beliau menerima gelaran “Pendeta” secara rasmi pada tahun 1956 ketika
berlangsungnya Kongres Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru.
Beliau menerima Pingat Bintang Panglima Mangku Negara yang membawa
gelaran “Tan Sri” daripada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong. Pada tahun
1973 pula, Za’ba memperoleh Ijazah Doktor Kehormat Persuratan pada
konvokesyen pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sumbangan beliau sangat besar ertinya. Beliau bertanggungjawab
merancang kurikulum sekolah, sebagai penterjemah dan pensyarah. Semasa era
pendudukan Jepun di Tanah Melayu, beliau diberikan tanggungjawab bagi menulis
buku yang boleh digunakan di Malaya ketika itu dan juga Sumatera.
Za’ba ialah sumber ilham dalam dunia pendidikan Melayu dan Arab. Beliau
diibaratkan sebagai sebuah pelita yang mengerdip dalam kegelapan kemiskinan
dunia pendidikan orang-orang Melayu ketika zamannya.

Tan Sri Dr. Haji Zainal Abidin bin Ahmad meninggal dunia pada 23 Oktober
1973 ketika berusia 78 tahun.

Вам также может понравиться