Вы находитесь на странице: 1из 6

Pendahuluan

Pada pendapat saya, peringkat identiti lawan kekeliruan peranan merupakan


peringkat yang paling berjaya dalam tempoh persekolahan seseorang pelajar.
Menurut Erik Erikson, remaja mesti mengatasi krisis pada peringkat ini bagi
membentuk remaja yang sempurna dan tabah. Remaja yang mengalami krisis pada
peringkat ini tentunya akan menempuhi pelbagai cabaran dan berkemungkinan
sesetengah orang tidak mampu menerima tekanan tersebut dan akhirnya gagal
mendapat penyelesaiannya. Untuk menyelesaikan krisis ini dengan jayanya dan
berakhir dengan pencapaian identiti, remaja bukan sahaja wajar menerima atau
menolak dengan sikap terbuka malah juga perlu membuat pertimbangan yang
menyeluruh dari segi kebaikan dan keburukan. Justifikasinya, remaja perlu menerima
kelemahan diri dan membuat perubahan kerana sikap tersebut dapat membentuk
remaja yang bangga dengan identitinya kerana unik dan sempurna.

Erikson mencadangkan tiga peringkat utama yang berlaku dalam tempoh alam
persekolahan iaitu perkembangan inisiatif, pencapaian dan identity. Antara
ketiga-tiga peringkat tersebut, analisis peringkat mana yang paling berjaya
dalam tempoh persekolahan seseorang pelajar.

Pada peringkat ini, remaja biasanya akan menghadapi masalah apabila


berkawan dengan rakan yang berlainan jantina kerana timbul rasa segan dan malu.
Hal ini dikatakan demikian kerana remaja pada peringkat ini telah mengalami
perubahan dari segi tubuh badan. Mereka tentu berasa keliru dengan identiti sendiri
kerana perubahan tubuh badan mereka menandakan mereka mempunyai perbezaan
dari segi jantina. Misalnya, suara lelaki menjadi garau serta wujudnya halkum
merupakan ciri-ciri jantina sekunder lelaki yang amat berbeza dengan ciri- ciri jantina
perempuan yang saiz payudara dan punggung perempuan remaja akan menjadi
besar. Kemunculan ciri-ciri tersebut adalah disebabkan perubahan hormon dan
bentuk badan yang menimbulkan kesedaran dan minat kepada jantina yang berlainan.
Maka mudahnya timbul rasa malu apabila remaja berkawan dengan jantina yang
berlainan kerana perasaan mereka amat sensitif. Mereka akan lebih mudah tertarik
dengan jantina yang berlainan dan berasa gembira sekiranya minatnya berbalas.
Jelasnya, remaja tidak sedar bahawa perasaan tersebut merupakan satu proses bagi
mereka untuk mencapai kematangan. Menurut Chiam (1994), perasaan risau, gelisah
dan mudah merasa malu merupakan emosi yang sering dialami oleh remaja. Jelasnya,
remaja tidak dapat mengawal emosi diri dengan baik kerana masih dangkal pemikiran
dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang terjadi ketika mencapai
kematangan tubuh badan. Peringkat inilah yang paling berjaya dalam tempoh
persekolahan seseorang pelajar kerana remaja mampu menghadapi segala masalah
sewaktu mencapai kematangan jantina. Perubahan tersebut merupakan satu kejutan
bagi mereka yang tidak bersedia untuk perubahan tersebut. Remaja pada peringkat
ini yang telah berjaya mencari penyesuaian terhadap perubahan tersebut bukan
sahaja mencapai kematangan dari segi fizikal tetapi juga mencapai kematangan
mental.

Selain itu, remaja turut menghadapi kekeliruan identiti apabila gagal


mengawasi emosi sekiranya berlaku perselisihan faham dengan rakan. Remaja pada
peringkat ini dangkal pemikirannya. Pencetusan kemarahan mereka adalah
disebabkan kata-kata atau perbuatan yang boleh menimbulkan reaksi marah atau
emosi negatif dalam diri seseorang remaja. Emosi remaja adalah lebih sensitif dan
mereka boleh dikatakakan panas baran. Misalnya, ketika menganjurkan sesuatu
aktiviti di sekolah, remaja mudah berselisih pendapat dengan rakan-rakan yang
menyumbangkan pendapat. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja pada peringkat
ini adalah sensitif terhadap perasaan dan mementingkan harga diri dan estim kendiri.
Sikap remaja ini bolah dikatakan ialah identiti ego berdasarkan teori psikososial
Erikson yang mendefinisikan identiti ego sebagai kesedaran peranan diri melalui
interaksi sosial. Menurut Erikson, identiti ego dalam diri seseorang remaja akan
berubah melalui interaksi dengan orang lain dalam kehidupan seharian. Dengan ini,
remaja yang semakin matang akan sentiasa mengawal emosinya tanpa melepaskan
kemarahan atau ketidakpuasan dengan bertindak melulu. Mereka akan mencari
penyelesaian masalah melalui perbincangan dan pertukaran idea yang lebih
mendalam bagi mendapat persetujuan daripada semua pihak. Tambahan pula,
Erikson pernah menggunakan ungkapan identiti ego remaja sebagai pengalaman
sebelum dewasa untuk menjalankan tugas-tugas dewasa. Percantuman identiti atau
identiti ego mesti dicapai kerana peringkat ini merupakan tahap remaja menyiapkan
diri sebelum menjejak langkah ke alam pekerjaan yang amat mementingkan interaksi
sosial antara satu sama lain. Jelasnya, remaja yang ingin menjaga harga diri akan
mencari inisiatif yang sesuai untuk mengelakkan perselisihan faham dengan orang
lain. Peringkat ini amat penting dalam tempoh persekolahan seseorang individu
kerana mereka sedang belajar untuk mengelakkan berlakunya perselisihan faham
bagi mewujudkan hubungan yang harmonis dengan rakan-rakan tanpa menyinggung
perasaan orang lain.
Di samping itu, peringkat ini merupakan peringkat yang paling berjaya dalam
alam persekolahan seseorang pelajar berbanding dengan peringkat yang lain kerana
berlakunya konflik apabila remaja cuba untuk menjauhkan diri secara fizikal dan emosi
daripada ibu bapa. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja pada peringkat ini
menginginkan kebebasan dan menegaskan keputusan sendiri. Contohnya, ibubapa
ingin anaknya menjadi doktor tetapi anaknya ingin menjadi seorang pelukis. Jadi,
remaja akan berasa perasaan mereka diabaikan dan ingin mengikari pesanan ibu
bapa. Mereka berasa tidak selesa disebabkan perbezaan pandangan mereka dengan
pandangan orang dewasa dan ingin bertindak mengikut hati tetapi mendapati ibu
bapanya tidak dapat menerima perangai mereka. Mereka akan berasa keliru dan
ragu-ragu terhadap segala matlamat hidup yang bakal dicapai. Dengan ini, mereka
tentu tidak dapat membuat keputusan yang tepat kerana berasa keliru sama ada
mengikuti pesanan ibu bapa ataupun bertindak mengikut hati. Menurut kajian,
sebanyak 5% dan 15% remaja yang mengingkari hasrat ibu bapa dan tidak suka
dikawal oleh ibu bapa (Collins & Laursen, 2004). Remaja harus sedar bahawa segala
kekangan tersebut adalah disebabkan kekurangan pengetahuan serta pengalaman
dan tidak bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut. Tambahan pula, Erikson
pernah mendefinisikan identiti sebagai usaha yang berterusan untuk mencari
pengalaman dan juga satu kesedaran keunggulan seseorang individu. Justifikasinya,
peringkat ini amat penting bagi remaja untuk melengkapi diri dengan ilmu
pengetahuan bagi mendapat pencapaian yang unggul.

Tidak dapat dinafikan bahawa remaja turut menghadapi krisis pada peringkat
identiti lawan kekeliruan identiti kerana berasa tertekan dengan pelajaran sewaktu
berusaha untuk mencapai keputusan yang cemerlang. Malangnya, kegagalan
mencapai identiti stabil dapat dilihat apabila remaja menghadapi perasaan putus
harapan dan tertekan dalam pembelajaran. Remaja menghadapi kekeliruan tentang
kerajinan disebabkan ketidakupayaan menfokus kepada tugas yang diberi seperti
kerja sekolah. Remaja tidak mampu menfokus kepada pembelajaran bukan sahaja
berpunca daripada sikap keraguan tentang minat terhadap subjek yang dipelajari,
tetapi juga berpunca daripada kesibukan dengan aktiviti kokurikulum sekolah. Remaja
menghadapi masalah apabila tidak dapat meluangkan masa yang sesuai untuk
pembelajaran sekiranya terlalu asyik melibatkan diri dengan akitiviti kokurikulum
sekolah. Remaja pada peringkat ini perlu mencari inisiatif yang sesuai agar tidak
mengabaikan pembelajaran ataupun aktiviti kokurikulm. Kedua-dua aspek tersebut
amat penting yang merupakan elemen penting untuk menjadikan remaja yang
bijaksana serta mempunyai sifat kepimpinan. Sekiranya remaja gagal menangani
situasi ini, mereka akan berasa tertekan dengan pelajaran dan sentiasa berfikiran
negatif. Sebaliknya, remaja yang mampu menghadapi krisis tersebut akan mengalami
anjakan paradigma dan akhirnya menjadi seorang individu yang cemerlang dengan
mempunyai harapan yang tinggi terhadap kehidupan. Mengikut Erikson, zaman
remaja merupakan platform bagi mereka untuk mencari tempat yang istimewa dan
unik bagi diri untuk mencari peranan sosial sendiri dalam masyarakat. Konklusinya,
remaja yang mampu mencari peranan sosial sendiri dalam masyarakat melalui
pencapaian yang baik dalam akademik dan juga melalui penglibatan aktiviti
kokurikulum dalam tempoh persekolahan akan dapat mencari identiti sendiri yang unik
itu.

Jelaskan tindakan seorang guru yang boleh membantu pelajar menyelesaikan


krisis yang dialami dalam peringkat tersebut.

Sebagai seorang guru, tindakan saya untuk membantu pelajar menyelesaikan


krisis dalam peringkat tersebut ialah memberi sokongan moral kepada murid-murid
untuk meningkatkan keyakinan diri mereka. Misalnya, remaja yang mengalami
masalah emosi kerana berasa segan dan malu apabila berkawan dengan rakan yang
berlainan jantina amat memerlukan bimbingan daripada saya. Sebagai seorang guru,
saya akan menyakinkan mereka bahawa perasaan tersebut amat biasa dan tidak
harus diabaikan kerana remaja merupakan golongan yang mudah dipengaruhi emosi.
Segala perasaan malu yang dihadapi oleh mereka merupakan ciri-ciri yang pasti
dialami oleh setiap remaja yang bakal mencapai kematangan. Saya akan menasihati
mereka agar pandai menyesuaikan diri dalam kumpulan. Saya percaya bahawa
sekiranya mereka dapat mengatasi perasaan yang malu untuk berkawan, tentunya
mereka dapat mengambil hati orang lain. Dengan kata lain, seseorang remaja yang
mempunyai hubungan sosial yang baik dengan orang lain, maka segala krisis yang
dihadapi pada peringkat ini akan lebih mudah diselesaikan kerana pergaulan yang
baik menjadikan seseorang remaja mempunyai minda yang positif.

Tidak dapat dinafikan bahawa zaman remaja merupakan frasa yang paling
mencabar kerana remaja banyak mengalami gangguan emosi seperti perasaan
tertekan, marah tanpa alasan dan putus asa yang menunjukkan bahawa betapa
pentingnya peranan guru sebagai pembimbing dengan memberi bantuan dari segi
psikologi (Fisher, 2006). Jadi, saya sebagai seorang guru harus menasihatkan murid
saya agar sentiasa bersabar, bertenang dan tidak cepat naik marah agar tidak mudah
menyebabkan berlakunya perselisihan faham. Untuk mewujudkan hubungan yang
aman dan harmoni antara murid-murid, saya akan mengadakan aktiviti yang mampu
memupuk semangat bekerjasama untuk menjayakan sesuatu aktiviti seperti aktiviti
perkhemahan, lakonan dan sebagainya. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti
tersebut bukan sahaja mengeratkan tali persahabatan antara remaja, tetapi juga
menyediakan satu platform bagi mereka untuk melatihkan diri mengawal emosi diri
ketika bersosial dengan orang lain. Saya sebagai seorang guru akan menyakinkan
murid saya bahawa segala kekangan yang mereka alami akan membawa faedah
kepada pembinaan identiti yang unik dan sempurna. Justifikasinya, guru memainkan
peranan yang penting untuk menjelaskan kepentingan remaja mewujudkan hubungan
yang harmonis dengan rakan-rakannya.

Di samping itu, saya sebagai seorang guru turut memainkan peranan untuk
mengatasi konflik remaja yang berasa tidak selesa kerana wujudnya perbezaan
pandangan mereka dengan pandangan orang dewasa. Pada peringkat ini, saya akan
bersedia untuk mendengar dan berkongsi masalah yang diutarakan oleh murid untuk
memahami perasaan dan fikiran mereka. Guru boleh dikatakan merupakan pengganti
kepada ibu bapa anak muridnya. Jadi, saya berperanan sebagai penghubung antara
ibu bapa dengan murid-murid supaya dapat mengatasi konflik yang berlaku
disebabkan kekurangan kefahaman ibu bapa terhadap anaknya. Misalnya, saya akan
menasihatkan anak murid saya untuk mengeluarkan buah fikiran sendiri kepada ibu
bapanya agar ibu bapa berpeluang memahami kehendakan dan keinginan anaknya.
Saya juga akan menjelaskan sebab ibu bapa bertindak sedemikian adalah kerana
mereka prihatin dan cinta akan anaknya dan bukannya untuk mengehadkan segala
tingkah lakunya sehingga menyebabkan kehilangan kebebasan mereka. Saya akan
mengingati anak murid saya supaya tidak mengingkari nasihat dan pesanan ibu bapa
dan bersedia untuk menerima pandangan mereka.

Akhirnya, sebagai seorang guru saya akan sentiasa menggalakkan anak murid
saya untuk bersikap tabah ketika menghadapi kesusahan dalam pelajaran. Remaja
merupakan golongan yang mudah berputus asa terutamanya menghadapi cabaran
ketika belajar. Saya akan memberi bantuan kepada anak murid saya yang lemah
dalam pembelajaran dengan memberi kelas tambahan kepadanya agar murid saya
dapat lebih menguasai topik-topik yang dipelajari. Saya juga akan mengajar anak
murid saya untuk membuat perancangan jadual waktu untuk belajar. Dengan ini, saya
percaya bahawa cara pembelajaran ini dapat membantu mereka yang tidak dapat
meluangkan masa yang mencukupi untuk belajar terutamanya bagi pelajar yang turut
sibuk dengan aktiviti kokurikulum kerana mereka gagal mengagihkan masanya
dengan baik untuk belajar dan juga melibatkan diri dalam aktiviti sekolah. Saya juga
akan mendorong anak murid saya untuk melibatkan diri mereka secara aktif dalam
segala aktiviti kokurikulum agar mereka dapat mencari identiti yang unik bagi diri untuk
mencari peranan sosial sendiri dalam masyarakat.

Penutup

Kesimpulannya, remaja pada peringkat ini akan berusaha mencari identiti dan
persepsi terhadap dunia mereka sendiri. Remaja yang mempunyai identitinya akan
mencipta rancangan masa depan yang memuaskan. Sebaliknya remaja yang gagal
akan tetap berasa keliru terhadap peranannya dan hidup dengan tidak bermatlamat,
rasa tersisih dan sukar untuk membuat keputusan. Jadi, kita sebagai guru harus
menjadi pembimbing kepada golongan ini yang bakal menjadi cerucuk pembangunan
negara.

Вам также может понравиться