You are on page 1of 10

KARANGAN CONTOH BULAN INI

TAJUK : PENGGUNAAN KAD KREDIT


SKOP : Kebaikan dan keburukan
FORMAT : Pendapat
Kiriman : Sakinah Johari - SMKSAH Jenan, Jitra,Kedah.

Kad kredit bolehlah ditakrifkan sebagai sejenis kad yang digunakan sebagai pengganti wang tunai atau buat
masa ini lebih dikenali sebagai wang plastik. Sejak akhir-akhir ini, penggunaan kad kredit didapati semakin
popular di kalangan masyarakat kita terutamanya ahli perniagaan.Kini terdapat semakin banyak syarikat
yang mengeluarkan kad kredit seperti American Express, Visa,dan Master Card. Menurut pendapat Menteri
Kewangan Malaysia, penggunaan kad kredit merupakan pemangkin masalah inflasi yang sangat ketara. Di
samping itu, beliau juga turut meramalkan bahawa bilangan pengguna kad kredit ni negara kita akan
bertambah pada tahun-tahun yang akan datang. Pada hemat saya penggunaan kad kredit akan terus
diamalkan oleh masyarakat kita kerana kad tersebut mempunyai kebaikannya yang tersendiri.

Salah satu daripada faktor yang menggalakkan orang ramai menggunakan kad kredit ialah mereka tidak
perlu membawa wang tunai yang banyak untuk membeli belah. Bagi sesetengah pengguna, membawa
wang tunai yang banyak ketika membeli belah merupakan suatu beban. Keadaan ini lebih ketara sejak
kerajaan mewujudkan wang yang bernilai seringgit dalam bentuk siling. Kini terdapat hampir 50 peratus
daripada pengguna yang membeli belah di pasar raya- pasar raya dengan menggunakan kad kredit. Pada
hemat saya pengguna akan berasa lebih selesa menggunakan kad kredit daripada menggunakan wang tunai
kerana kad kredit lebih ringan dan tidak mendatangkan masalah untuk digunakan bila-bila difikirkan perlu.

Pengguna kad kredit juga berasa lebih selamat menggunakan kad kredit berbanding dengan penggunaan
wang tunai. Hal ini kerana semua kad kredit yang digunakan tidak boleh bertukar milik. Setiap kali mereka
menggunakan kad kredit tersebut mereka dikehendaki menandatangani borang khas yang akan dapat
mengesan pemilik sebenar kad kredit tersebut. Oleh hal yang demikian, pemilik kad kredit tidak perlu
bimbang sekiranya kad mereka hilang atau dicuri orang. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh
pengeluar kad kredit American Express, jumlah pemegang kad tersebut bertambah hampir 40 peratus pada
setiap tahun. Menurut kebanyakan pemilik kad tersebut, mereka berasa lebih selamat menggunakan
American Express kerana mereka cepat mendapatkan kad ganti yang baru dengan cepat apabila berlaku
kehilangan. Dalam hal ini saya berpendapat faktor keselamatanlah yang paling banyak mendorong
pengguna menggunakan kad kredit.

Seterusnya, kebanyakan ahli masyarakat lebih gemar menggunakan kad kredit kerana mereka tidak perlu
menukar mata wang ketika berada di luar negara. Sekiranya kita melancong ke luar negara, kita mungkin
perlu menukarkan mata wang negara kita ke mata wang negara yang kita lawati itu. Hal ini tidak demikian
bagi pemegang kad kredit kerana pertukaran nilai mata wang asing akan dilakukan secara automatis setiap
kali kad kredit tersebut digunakan. Menurut pendapat kebanyakan pelancong, mereka g lebih suka
menggunakan kad kredit kerana mereka diberikan layanan yang lebih istimewa ketika berurus niaga
terutamanya di hotel-hotel yang terkemuka dan bertaraf antarabangsa. Pada pendapat saya, keadaan ini
mungkin disebabkan oleh imej kemewahan yang sering dikaitkan dengan pemegang kad kredit.

Di samping kemudahan yang boleh dinikmati, pemegang kad kredit juga sering menghadapi beberapa
masalah. Hal ini kerana tidak semua para peniaga mahu menerima pembelian secara kredit terutamanya
kedai-kedai biasa atau kedai-kedai kecil yang jumlahnya lebih banyak daripada kedai-kedai yang besar atau
pusat-pusat membeli belah yang terkenal. Oleh hal yang demikian, tempat-tempat penginapan atau pusat-
pusat membeli belah yang boleh dikunjungi oleh pemegang kad kredit adalah terhad. Oleh itu, pemegang
kad kredit mungkin menghadapi masalah sekiranya pusat membeli belah atau kedai dan gerai yang mereka
kunjungi itu menolak penggunaan kad kredit.

Selain itu, pemegang kad kredit mungkin berbelanja secara berlebih- lebihan kerana mereka tidak begitu
peka atau perihatin dengan nilai wang yang dibelanjakan. Oleh sebab itu, kita sering mendengar rungutan
daripada pemilik kad kredit yang menghadapi masalah beban hutang yang banyak. Setelah puas berbelanja,
mereka mungkin akan berada dalam keadaan yang sugul kerana terpaksa berfikir bagaimana hendak
membayar balik jumlah wang yang telah mereka belanjakan itu.

Hal ini berlawanan dengan pesanan orang tua-tua `beringat-ingat sebelum terkena’. Menurut kajian yang
pernah dibuat oleh mahasiswa Universiti Utara Malaysia, lebih 35 peratus daripada pemilik kad kredit
mengalami masalah beban hutang yang teruk sehingga ada antara mereka yang diistiharkan muflis kerana
tidak dapat menjelaskan hutang-hutang mereka. Keadaan ini mungkin berlaku kerana pemilik kad tersebut
tidak sedar bahawa kad yang digunakan itu sebenarnya ialah wang, bukannya plastik yang tidak bernilai.

Seperti yang kita sedia maklum, urusan perniagaan yang menggunakan kad kredit dijalankan dengan
penggunaan komputer.Oleh itu, terdapat kemungkinan berlaku penyelewengan dalam urus niaga tersebut.
Walaupun perkara seperti ini jarang-jarang berlaku, kebanyakan peniaga tidak yakin dengan pelanggan
yang menggunakan kad kredit terutamanya kad kredit yang tidak popular. Para peniaga tidak sanggup
menanggung risiko yang tinggi dengan menerima kad kredit tersebut. Pihak Polis Bahagian Jenayah
Perdagangan sering mengingatkan para peniaga supaya sentiasa berwaspada ketika berurus niaga dengan
pengguna yang menggunakan kad kredit. Ini kerana mereka telah menerima lebih daripada 150 aduan
berkaitan dengan hal tersebut sejak awal tahun ini.

Sebagai rumusannya, dapatlah dikatakan bahawa terdapat beberapa kebaikan dan keburukan penggunaan
kad kredit. Namun begitu, sekiranya pemilik kad kredit menggunakan kemudahan tersebut secara bijak,
mereka akan mendapat faedah yang banyak. Sebaliknya, jika kad kredit tidak digunakan secara berhati-
hati, pemiliknya akan menderita akibat beban hutang yang terpaksa ditanggung sehingga bertahun-tahun.
Pada pendapat saya, walaupun penggunaan kad kredit didapati semakin popular dari setahun ke setahun,
namun `wang plastik’ tersebut pasti tidak mungkin dapat menggantikan wang tunai yang sebenar.

KARANGAN CONTOH

TAJUK : MASALAH PONTENG


SKOP : Punca
FORMAT : Pendapat
Kiriman : Syakir Nawawi - SMK Tunku Abdul Malik, Alor Setar, Kedah.

Masalah ponteng sekolah semakin meruncing di negara kita. Bincangkan faktor-faktor yang menimbulkan
masalah tersebut.

Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Seseorang pelajar
dianggap memonteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang dibenarkan pada hari-hari
persekolahan. Sejak akhir-akhir ini masalah ini didapati semakin menjadi-jadi dan telah sampai ke
peringkat yang agak serius. Pihak media juga sering menyiarkan berita tentang masalah ini sehingga pada
masa ini pihak guru serta ibu bapa berasa sesuatu tindakan yang tegas perlu dilakukan segera sebelum
gejala negatif ini sampai ke peringkat yang lebih kronik lagi. Menurut laporan yang pernah dikeluarkan
oleh Kementerian Pendidikan, peratus pelajar yang terbabit dengan gejala ponteng didapati semakin
meningkat dari semasa ke semasa terutama bagi sekolah-sekolah di kawasan bandar. Pada hemat saya
punca-punca sebenar masalah ini haruslah dikenal pasti dengan segera supaya langkah-langkah untuk
mengatasinya dapat dijalankan demi masa depan generasi pelajar kita pada masa depan.

Antara punca pelajar ponteng yang telah dikenal pasti ialah kurang berminat terhadap pengajaran dan
pelajaran di sekolah. Keadaan ini mungkin berpunca daripada isi kandungan sukatan pelajaran kita yang
banyak memberikan tumpuan kepada mata pelajaran yang memerlukan pelajar menghafal seperti mata
pelajaran sejarah, geografi, pendidikan Islam dan sebagainya. Di samping itu, pelajar juga kurang berminat
kerana mereka mungkin tidak mampu untuk mengikuti pelajaran dengan sempurna kerana ketinggalan
akibat kelemahan diri mereka sendiri. Alasan ini juga yang menyebabkan berlakunya kes ponteng yang
banyak di kalangan pelajar yang lemah jika dibandingkan dengan pelajar yang cerdas. Pelajar seperti ini
biasanya mudah berputus asa. Mereka kebanyakannya datang ke sekolah semata-mata kerana menurut
kehendak ibu bapa. Oleh itu mereka kerap ponteng kerana telah hilang minat untuk belajar akibat tidak
dapat memberikan saingan kepada rakan-rakan pelajar yang lebih cerdas.

Pelajar juga mungkin ponteng kerana mereka lebih mementingkan keseronokan daripada pelajaran. Hal ini
jelas kerana terdapat di kalangan pelajar yang ponteng dengan tujuan untuk melepak atau berkumpul di
pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video, dan taman-taman rekreasi. Malahan, terdapat juga
pelajar yang ponteng untuk menonton wayang atau berkelah. Bagi mereka, belajar di sekolah adalah
sesuatu yang membosankan kerana tidak ada unsur-unsur hiburan. Pelajar seperti ini juga tidak mempunyai
kesedaran tentang kepentingan pelajaran bagi menjamin masa depan mereka. Oleh itu, mereka lebih
mengutamakan unsur-unsur hiburan yang tidak terdapat di sekolah.

Terdapat juga para pelajar yang memberikan alasan yang tidak munasabah seperti takut didenda, guru yang
garang, malu, dan sebagainya. Pelajar yang berkenaan mengambil keputusan untuk ponteng kerana mereka
takut didenda kerana tidak sempat menyiapkan kerja sekolah mereka yang diberikan oleh guru. Terdapat
juga pelajar yang datang lewat lalu mengambil keputusan untuk ponteng kerana takut didenda kerana
kesalahan mereka itu.

Pelajar yang berasa malu sekiranya didenda dan dimarahi guru itu biasanya akan ponteng dan bersembunyi
atau melepak di kawasan-kawasan yang sukar dikesan. Kumpulan pelajar ini juga menyalahkan pihak
sekolah yang mengamalkan peraturan yang terlalu ketat dan mengenakan hukuman yang pada pendapat
mereka terlalu berat bagi kesalahan yang kecil.

Biasanya pihak sekolah akan mengeluarkan surat amaran bagi pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan
ponteng terlalu kerap iaitu tiga hari berturut-turut. Surat yang ditujukan kepada waris atau ibu bapa itu
kadang-kadang tidak mendapat respon yang diharap-harapkan. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan urusan
harian mereka tidak dapat hadir untuk berbincang dengan pihak sekolah. Keadaan ini secara tidak langsung
menunjukkan bahawa ibu bapa atau penjaga pelajar yang berkenaan langsung tidak mengambil berat akan
hal-ehwal anak-anak mereka. Keadaan ini juga memberikan rangsangan kepada pelajar yang berkenaan
untuk terus memonteng sehingga akhirnya terpaksa diberhentikan persekolahannya. Oleh itu bolehlah
dikatakan bahawa ibu bapa yang tidak mengambil berat akan amaran pihak sekolah turut menyumbang ke
arah masalah ini.

Selain itu, terdapat juga pelajar yang ponteng kerana bekerja secara sambilan. Oleh sebab taraf ekonomi
keluarga yang rendah, terdapat pelajar yang bekerja secara sambilan sebagai kedi di padang golf, dan tidak
kurang pula yang bekerja sebagai buruh di tapak binaan. Malah masih ramai di kalangan pelajar yang
bekerja secara sambilan di pasar raya dan mereka terlalu keletihan sehingga tidak berdaya untuk bangun
awal terutamanya yang bekerja pada waktu malam.

Sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan kadar segera, peratus pelajar ponteng pasti akan meningkat dan
akan menggugat cita-cita pihak kerajaan untuk mewujudkan rakyat yang berpendidikan tinggi, cerdas, dan
pintar. Sekali gus masalah ini akan membantutkan kemajuan negara kita. Peranan ibu bapa, pihak sekolah
serta Kementerian Pendidikan amat penting untuk memastikan gejala ini tidak berterusan sehingga menjadi
lebih serius.
KARANGAN CONTOH

TAJUK : PERISTIWA YANG TIDAK DAPAT SAYA LUPAKAN


SKOP : Peristiwa sedih
FORMAT : Gambaran
Kiriman : Annas Othman - Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah.

Hari itu aku ke sekolah seperti biasa. Sepanjang perjalanan ke sekolah, ingatanku tertumpu pada ibu yang
terlantar di hospital. Sudah dua hari ibu di wad kecemasan. Ibu masih tidak sedarkan diri. Semalam, aku
menangis sungguh-sungguh apabila melihat keadaan ibu. Hariku bertambah sedih dan hiba apabila teringat
akan dua orang adikku yang masih kecil.

Aku terkejut apabila Cikgu Asiah memberitahuku bahawa bapa saudaraku datang untuk menjemputku
pulang. Hatiku berdebar-debar. Terasa ada susuatu yang tidak baik berlaku kepada ibuku. Namun begitu,
aku cuba memadamkan apa-apa yang terlintas di fikiranku. Aku benar-benar berharap agar perkara yang
kutakuti selama ini tidak berlaku.

Bapa saudaraku diam saja. Dia tidak bercakap walau sepatah kata pun denganku. Apabila sempai di rumah,
kulihat banyak orang yang berada di rumahku. Yang perempuan kulihat berselendang atau bertudung. Yang
lelaki kebanyakannya bersongkok atau berketayap. Masing-masing khusyuk membaca al-Quran. Lalu, aku
dapat meneka yang sebenarnya telah berlaku. Ingin saja aku meraung ketika itu. Namun, akalku dengan
segera dapat menenangkan perasaanku. Aku mencari-cari ayah untuk mendapatkan kepastian tentang
perkara yang sebenarnya berlaku.

Apabila ternampak akan diriku, ayah pun melangkah. Dari belakang ayah kulihat kakak, abang, dan adik-
adik meluru ke arahku sambil menangis. Kakak memelukku sambil memberitahu bahawa ibu telah
meninggalkan kami semua. Ibu telah meninggal dunia. Aku sukar mempercayai kata-katanya. Perkara yang
paling aku takuti selama ini benar-benar telah terjadi. Pada saat itu juga dadaku terasa sebak dan tanpa aku
sedari air mataku keluar dan mengaburi pandanganku dan akhirnya mengalir perlahan-lahan membasahi
pipiku dan setitik dua jatuh ke baju. Suara tangisku mula kedengaran dan pada suatu ketika aku hampir
tidak dapat mengawal perasaanku sendiri kerana sukar untuk menerima kenyataan yang pahit itu.

Aku masuk ke bilik tempat jenazah diletakkan. Kelihatan sekujur tubuh yang sejuk dan kaku terbaring di
atas katil. Pandanganku kabur lagi kerana menahan air mata. Kuhampiri jenazah ibu. Kupeluk ibu dengan
penuh rasa kasih sayang. Wajahnya yang pucat itu seolah-olah tersenyum manis. Aku seolah-olah tidak
percaya akan apa-apa yang kulihat dan kusentuh ketika itu. Aku tidak percaya bahawa ibu akan secepat itu
pergi meninggalkan kami. Namun panggilan maut daripada Tuhan memang tidak dapat ditahan.

Hatiku bertambah pilu apabila melihat saudara-maraku menangis. Kupeluk kedua-dua orang adikku yang
masih kecil. Mereka masih belum mengerti apa-apa. Pada usia yang masih kecil begitu, merekatelah
kehilangan belaian kasih sayang seorang ibu. Pandangan, renungan, dan simpati yang ditunjukkan oleh
orang-orang yang datang menziarahi jenazah ibu menyebabkan hatiku bertambah sedih dan hiba. Aku cuba
menenangkan perasaan dengan membaca ayat-ayat suci al Quran.
Semasa jenazah ibu dimandikan dan dikafankan aku, kakak, adik-adik, dan ayah berkumpul. Ayah tidak
menangis, tetapi wajahnya muram dan bersedih. Kakak dan abang menangis tidak henti-henti. Sebelum
jenazah disembahyangkan, kami diberi peluang untuk mengucup wajah ibu buat kali terakhir. Sementara
menunggu giliran aku mengucup dahi ibu, aku menatap wajahnya lama-lama.aku tahu selepas ini wajah ibu
tidak akan ada lagi di hadapanku kecuali dalam ingatanku.
Kakak dan abangku pengsan ketika mengucup dahi ibu. Mereka terpaksa diangkat oleh orang-orang yang
berada di situ. Aku hanya memperhatikan mereka sambil memperkukuh semangatku yang hampir luluh.
Kemudian, dengan hati-hati aku mengucup dahi ibu sambil menahan air matuku agar tidak menitik ke atas
dahi ibu. Dingin sekali dahi ibu. Alangkah sukarnya untuk melepaskan seseorang yang disayangi daripada
pergi apabila kita tahu bahawa ia tidak akan kembali lagi.

Aku mengiringi jenazah ibu hingga ke tanah perkuburan. Perlahan-lahan keranda ibu dimasukkan ke liang
lahad. Selepas taklin dibacakan, orang ramai beransur-ansur meninggalkan tanah perkuburan itu. Aku
masih tidak bergerak dari kubur ibu. Berat rasa hatiku untuk melangkah meninggalkan tempat itu.
Berbagai-bagai perasaan bercampur-baur dalam diriku.
Akhirnya aku meninggalkan tanah perkuburan itu setelah dipujuk oleh ayah. Aku melangkah lemah sambil
mengesat sisa-sisa air mata. Mataku bengkak kerana terlalu banyak menangis. Baru aku sedar bahawa sejak
pulang dari sekolah tadi, aku masih belum bertukar pakaian. Dan sejak pagi aku belum lagi menjamah apa-
apa. Perutku terasa kenyang dan semua yang berlaku terasa seperti dalam mimpi.

Untuk pertama kalinya dalam hidupku, aku berasa begitu sunyi. Kematian ibu yang merupakan orang yang
paling kusayangi tidak mungkin dapat kucari ganti. Seandainya aku diberi pilihan, mahu rasanya aku mati
dahulu. Sehingga kini aku masih tidak dapat melupakan peristiwa itu. Setiap kali mengingati peristiwa itu,
setiap kali itulah air mataku bergenang. Semoga Tuhan mencucuri roh ibu dengan rahmat-Nya.

TAJUK : Masalah melepak di kalangan remaja


SKOP : Punca, kesan dan cara mengatasinya
FORMAT : Pendapat
PENULIS : Rohani Musa SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah

Melepak bolehlah ditakrifkan sebagai suatu aktiviti berehat di kawasan-kawasan tertentu tanpa sesuatu
tujuan yang berfaedah. Sejak akhir-akhir ini masalah melepak sering disiarkan melalui media massa di
negara kita, dan keadaan ini telah membimbangkan semua pihak terutamanya pihak sekolah dan ibu bapa.
Sejak belakangan ini gejala ini didapati semakin serius sehingga terdapat ramai pelajar yang sanggup
ponteng sekolah kerana ingin melepak. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan
Pendidikan, sejak awal tahun ini tidak kurang daripada 500 orang pelajar telah dilaporkan ponteng sekolah
dan melepak di komleks-kompleks membeli belah di sekitar kawasan bandar raya Kuala Lumpur. Pada
hemat saya perkara seperti ini tidak harus dibiarkan berleluasa demi menjaga imej negara agar tidak
tercemar.

Antara punca-punca timbulnya masalah melepak ialah kurangnya kawalan, pengawasan dan perhatian ibu
bapa terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mungkin terlalu sibuk dengan hal masing-masing sehingga tidak
sempat untuk meluangkan masa melayan dan bermesra dengan anak- anak mereka. Keadaan ini
mengakibatkan anak-anak terasa diri mereka diabaikan. Oleh hal yang demikian, mereka keluar untuk
melepak dengan rakan-rakan sebaya kerana ingin mendapatkan perhatian orang ramai. Seorang bapa
pernah memberikan pengakuan bahawa dia terlalu sibuk dengan perniagaannya sehingga tidak mempunyai
masa yang banyak untuk diluangkan bagi melayan anak-anaknya di rumah. Keadaan ini telah menyebabkan
2 orang daripada 5 orang anaknya telah mengamalkan tabiat melepak dan kedua-dua orang anaknya itu
telah ditahan oleh pihak polis kerana disyaki menjadi penagih dadah. Pada pendapat saya, ibu bapa
seharusnya meluangkan masa yang cukup dan tidak terlalu ghairah dengan mengejar wang ringgit dan harta
kerana anak-anak mereka merupakan harta mereka yang lebih penting .

Selain faktor kecuaian ibu bapa, golongan remaja juga didapati suka melepak kerana berasa bosan tinggal
di rumah tanpa sumber hiburan dan kemudahan-kemudahan untuk memenuhi masa mereka secara yang
lebih berfaedah. Mereka juga mungkin berasa bosan kerana tiada suasana yang harmoni di rumah mereka
kerana setiap ahli keluarga sibuk dengan hal masing-masing dan sering berlaku pertengkaran di rumah.
Keadaan ini akan menyebabkan anak-anak berasa tertekan lalu keluar untuk mencari hiburan dan melepak
untuk memenuhi masa lapang mereka. Kebanyakan pelajar yang ditangkap kerana melepak memberitahu
bahawa mereka melepak kerana berasa bosan tinggal di rumah yang terlalu banyak leteran dan
pertengkaran antara ahli keluarga. Menurut kenyataan daripada Jabatan Pendidikan, kebanyakan pelajar
yang ponteng sekolah dan melepak memberikan alasan bosan tinggal di rumah dan tidak sanggup
menerima tekanan akibat beban kerja sekolah yang terlalu banyak. Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa
para pelajar sengaja memberikan alasan tersebut sebagai jalan keluar yang mudah untuk mereka melepak.

Antara kesan masalah melepak yang paling ketara ialah memburukkan imej negara. Keadaan ini berlaku
kerana para pelancong yang datang ke negara ini akan mendapat gambaran yang buruk tentang masyarakat
di negara kita dan akan menceritakan keadaan ini apabila mereka pulang ke negara mereka. Para pelancong
akan berasa terganggu dengan suasana yang amat tidak menyenangkan ini. Mereka pasti akan membuat
tanggapan bahawa negara kita sudah hilang budaya ketimuran dan kini sedang menuju ke era keruntuhan
moral. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, terdapat
ramai pelancong yang kurang senang dengan gelagat golongan remaja yang melepak di kawasan membeli
belah, dan terdapat juga pelancong yang mengadu mereka diganggu dan sering menerima kata-kata yang
kesat daripada golongan remaja yang sedang melepak itu. Pada pendapat saya , keadaan ini agak sudah
keterlaluan. Oleh itu, pihak kerajaan dan pihak swasta hendaklah melakukan sesuatu dengan kadar yang
segera kerana masalah ini akan memburukkan lagi imej negara kita sekiranya dibiarkan berleluasa.

Tabiat melepak juga boleh menyebabkan seseorang itu terdorong untuk melakukan sesuatu yang lebih
buruk seperti mengambil dadah, meminum minuman keras, mengikuti perlumbaan motosikal secara haram,
dan sebagainya. Keadaan ini berlaku kerana golongan remaja yang melepak biasanya akan turut merancang
untuk melakukan sesuatu yang akan mendatangkan ‘thrill’ atau keseronokan. Menurut keterangan pihak
polis, kebanyakan kes perlumbaan motosikal secara haram bermula dengan melepak secara berkumpulan di
sesuatu tempat. Setelah lewat tengah malam kumpulan yang melepak tersebut akan memulakan perlumbaan
haram itu. Pihak berkuasa seharusnya mengadakan sekatan jalan raya dan menjalankan rondaan yang lebih
agresif untuk memastikan masalah ini dapat dibendung. Kita perlu mencegah kumpulan yang melepak
supaya tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini.

Gejala melepak ini boleh dicegah sebelum parah sekiranya pihak kerajaan atau pihak swasta menjalankan
kempen untuk menyedarkan masyarakat kita tentang keburukan melepak. Ketika kempen tersebut
dijalankan, pihak media sepatutnya memainkan peranan yang penting dengan menyiarkan berita atau cerita
yang berkaitan dengan cara yang lebih berfaedah untuk mengisi masa lapang kita. Pihak sekolah juga
mungkin boleh mengadakan pertandingan berceramah atau syarahan dengan tajuk yang berkaitan dengan
keburukan melepak. Menteri Pendidikan kita sering mengingatkan para pelajar agar pandai menggunakan
masa secara berfaedah ketika berada di bangku sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi. Beliau juga
menyarankan agar para pelajar lebih aktif dalam kegiatan ko-kurikulum yang diadakan di sekolah atau di
institusi pengajian tinggi.

Selain itu, masalah melepak di kalangan golongan remaja boleh dicegah sekiranya pihak ibu bapa sanggup
mengorbankan sedikit waktu untuk bersama-sama anak-anak mereka sama ada di rumah ataupun dengan
mengadakan aktiviti keluarga di luar rumah. Dengan ini, anak-anak mungkin tidak berasa bosan dan tidak
akan mengamalkan tabiat melepak. Pihak ibu bapa yang mampu pula mungkin dapat menyediakan
beberapa kemudahan di rumah seperti perpustakaan sendiri, komputer peribadi, permainan , dan sebagainya
supaya anak-anak dapat mengisi masa lapang mereka di rumah dan tidak perlu keluar melepak. Perdana
Menteri kita ketika menyampaikan ucapan yang menyentuh soal ini telah mengingatkan ibu bapa tentang
tanggungjawab mereka untuk memberikan sepenuh perhatian kepada anak-anak mereka. Beliau
menyatakan bahawa tanggungjawab itu penting kerana anak-anak remaja merupakan salah aset negara
yang paling penting memandangkan mereka akan menjadi pemimpin negara pada masa yang akan datang.
Dalam hal ini saya berpendapat bahawa peranan ibu bapa sangat penting untuk memastikan gejala melepak
tidak berleluasa di negara kita.
Kesimpulannya, dapatlah dikatakan bahawa masalah melepak yang berlaku di negara kita sekarang ini
memanglah suatu gejala yang diakui mengancam keharmonian negara dan boleh memburukkan imej
negara sekiranya tidak dicegah segera. Kerjasama daripada ibu bapa, pihak sekolah, dan pihak polis amat
diperlukan untuk menangani masalah ini. Sekiranya kita dapat menyedarkan golongan remaja tentang
keburukan melepak, saya pasti masalah ini akan dapat diselesaikan dengan kadar segera, dan imej negara
yang semakin pudar akan dapat dipulihkan.

KARANGAN CONTOH BULAN INI

TAJUK : KEMALANGAN JALAN RAYA


SKOP : Langkah mengatasi
FORMAT : Rencana
Kiriman : Kamilia Salleh - SMK Sultanah Bahiyah , Alor Setar, Kedah.

KARANGAN

Soalan: Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan
raya yang tertinggi di dunia. Keadaan ini banyak berpunca daripada pengguna yang hilang kesusilaan
ketika memandu. Tulis sebuah rencana tentang langkah-langkah yang wajar diambil bagi menyedarkan
pengguna jalan raya mengenai perkara tersebut.

SEDARLAH DEMI KELUARGA ANDA


OLEH: KAMILIA SALLEH

Banyak slogan yang telah disarankan oleh kerajaan untuk menyedarkan pengguna jalan raya supaya
berhati-hati semasa memandu seperti “Jangan biarkan keluarga anda menunggu dalam tangisan” dan
“Jangan jadikan jalan raya sebagai tempat berlumba”. Namun, didapati tidak banyak pengguna jalan raya
yang betul-betul memahami seruan kerajaan tersebut. Kini, Malaysia telah disenaraikan sebagai salah
sebuah negara yang mencatat jumlah kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya. Ini merupakan satu
keaiban bagi seluruh penduduk di Malaysia. Oleh itu, faktor-faktor kemalangan haruslah dikenalpasti
supaya langkah-langkah yang wajar dapat diambil bagi menyedarkan pengguna mengenai perkara ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan banyak berpunca daripada pengguna yang hilang kesusilaan
ketika memandu.Komen yang sentiasa dapat kita dengar daripada pelancong ialah negara kita mempunyai
masyarakat yang bersopan santun kecuali ketika memandu. Antara contoh yang jelas ialah gelagat
penunggang motosikal yang suka memecut dan memotong kenderaan lain dalam keadaan yang tidak
selamat seperti di kawasan yang sempit, di selekoh, di garisan berkembar, dan memotong dari sebelah kiri
kenderaan. Perdana Menteri kita pernah mengeluarkan kenyataan bahawa penunggang-penunggang
motosikal tersebut mungkin menyangka bahawa mereka tidak akan menemui maut di jalan raya.

Di samping itu, terdapat juga segelintir pemandu yang ingin mendapatkan keseronokan atau “thrill” ketika
memandu laju. Pemandu-pemandu seperti ini akan tidak melepaskan peluang untuk memandu melebihi had
laju yang telah ditetapkan bagi kawasan-kawasan tertentu. Malah, oleh sebab ingin memandu laju, mereka
sanggup melakukan perkara-perkara yang dianggap “biadab” di jalan raya iaitu tidak mematuhi arahan
lampu isyarat seperti tidak memberhentikan kenderaan mereka ketika lampu isyarat berwarna merah.
Perkara-perkara yang dilakukan ini bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri malah nyawa
pengguna jalan raya yang lain juga akan turut terancam.

Kemalangan jalan raya telah dikenal pasti sebagai pembunuh utama di negara kita. Menurut satu
kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, sebanyak 20 hingga 30
orang pengguna jalan raya telah terkorban setiap hari. Angka ini akan bertambah ketika musim-musim
perayaan ketika jalan raya dan lebuh raya dibanjiri dengan pelbagai jenis kenderaan. Menurut laporan
tersebut juga, kebanyakan kemalangan berlaku akibat pemandu atau penunggang motosikal yang bersikap
angkuh, cuai , dan terlalu ingin cepat sampai ke destinasi masing-masing sehingga sanggup memandu
secara kurang sopan. Sesungguhnya risiko yang diambil itu tidak setimpal dengan bencana yang diterima
mereka.

“Kemalangan Sifar” merupakan slogan yang baru dilancarkan oleh kerajaan kita baru-baru ini. Selogan
tersebut merupakan satu lagi langkah kerajaan untuk menginsafkan pengguna jalan raya yang memandu di
jalan raya secara tidak sopan. Walaupun agak sukar untuk mendapatkan kemalangan sifar namun kita
berharap kempen yang dijalankan itu akan dapat mengurangkan angka kematian yang amat
membimbangkan itu.

Sementara itu, Jabatan Polis Bukit Aman pula telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa kebanyakan
pengguna jalan raya di negara kita lebih takut menerima surat saman daripada takut akan maut di jalan
raya. Oleh itu, dendaan melalui saman yang dikeluarkan serta penggantungan lesen memandu merupakan
salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan jumlah pemandu yang hilang kesusilaan di jalan raya..
Operasi seperti “ops pacak” yang dijalankan oleh pihak polis ketika musim perayaan baru-baru ini
sepatutnya dijalankan secara berterusan kerana operasi tersebut didapati berjaya mengurangkan kadar
kemalangan yang sering berlaku di tempat-tempat yang telah dikenal pasti.

Dalam perkembangan yang lain, kemalangan juga didapati banyak berlaku akibat pemandu yang memandu
dalam keadaan mabuk. Hal ini jelas kerana seseorang yang dipengaruhi minuman keras tidak akan dapat
membuat agakan yang tepat dan sering hilang pertimbangan serta tidak pasti arah tuju kenderaan yang
dipandunya akibat pemandangan yang kabur. Dalam hal ini, sekatan jalan raya sepatutnya diadakan secara
berterusan terutamanya selepas jam 12 tengah malam. Hal ini demikian kerana pemandu yang mabuk
selalunya berada di jalan raya ketika itu kerana baru keluar dari kelab malam atau pusat-pusat hiburan yang
lain. Pemeriksaan kandungan alkohol melalui pernafasan sepatutnya dijalankan dengan lebih berhati-hati
agar tidak ada sesiapa yang terlepas daripada peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

Walaupun negara kita mempunyai undang-undang untuk mengawal pemandu yang tidak bersopan, namun
pada pendapat saya, kesedaran dalam diri pemandu itu sendiri merupakan langkah yang paling berkesan
untuk mengelakkan kemalangan. Dengan perkataan lain, pengguna jalan raya hendaklah mempunyai
kesedaran sivik. Mereka sepatutnya sedar sikap mereka yang tidak bersopan ketika di jalan raya itu akan
menyebabkan keluarga mereka menanggung sensara. Bayangkanlah seorang anak yang kehilangan ibu
bapa, isteri yang kehilangan suami, atau penderitaan akibat kecacatan yang kekal sepanjang hayat; semua
itu tidak setimpal dengan keseronokan yang bersifat sementara akibat menurut hawa nafsu.
Sebagai warga negara pula, kita tidak mahu mencemarkan nama negara kita sebagai negara yang
mempunyai pengguna jalan raya tidak bersopan yang terbanyak. Kita juga tidak mahu nama Malaysia
dicatat sebagai negara yang mempunyai kematian terbanyak akibat kemalangan jalan raya. Oleh itu
langkah-langkah yang wajar seperti yang telah dibincangkan hendaklah dilaksanakan segera. Sementara itu
pemandu yang hilang kesusilaan hendaklah segera sedar dan cuba membaiki kelemahan mereka kerana
saya yakin kita tidak mahu keluarga kita menunggu kepulangan kita dengan tangisan. Sedarlah demi
keluarga anda yang tercinta!!

TAJUK : SUKAN
SKOP : Lebih banyak mendatangkan keburukan daripada kebaikan
RORMAT : Ulasan pendapat

Memang tidak dapat dinafikan bahawa sukan memang boleh mendatangkan banyak faedah kepada kita.
Namun begitu terdapat juga beberapa keburukan atau mudarat yang menimpa ahli sukan terutamanya
dalam bidang sukan yang agresif atau lasak. Sesetengah aktiviti sukan boleh dianggap mencabar, berbahaya
serta berisiko tinggi. Lantaran itu, pelbagai kesan buruk akan timbul akibat bergiat dalam bidang sukan.
Sejak akhir-akhir ini kita sering mendengar tentang kecederaan dan kemalangan yang menimpa para atlet
sama ada di dalam mahupun di luar negeri. Saya berpendapat masalah ini seharusnya tidak dipandang
ringan oleh semua pihak sekiranya kita ingin melihat bidang sukan terus diminati ramai.

Kita sedar bahawa sesetengah acara sukan amat berbahaya dan mengancam nyawa. Hal ini terbukti apabila
para atlet mengalami kecederaan yang serius selepas sesuatu pertandingan. Keadaan ini jelas kelihatan
dalam sukan tinju dan gusti. Walaupun sukan ini dapat meningkatkan daya tahan para peninju dan ahli
gusti, namun mereka menghadapi risiko yang tinggi untuk mendapat kecederaan akibat terkena tumbukan
dan pukulan daripada pihak lawan. Kecederaan yang didapati mungkin menyebabkan mereka cacat seumur
hidup. Nasib malang seperti ini telah menimpa seorang bekas juara tinju dunia yang terkenal pada suatu
ketika dahulu iaitu Mohamed Ali. Penyakit yang dideritainya sekarang adalah akibat kecederaan pada
otaknya kerana terlalu kerap menerima tumbukan. Menurut perangkaan yang pernah dikeluarkan oleh
Majlis Sukan Negara, ahli sukan yang yang terlibat dengan jenis sukan seperti tinju, gusti, karate, tae-
kwon-do, dan ski, mempunyai 80 peratus kemungkinan untuk mendapat kecederaan yang parah.
Kemalangan yang berlaku mungkin akan mengakibatkan kecederaan yang teruk dan kekal atau sekali gus
membawa maut walaupun mereka mengambil langkah-langkah keselamatan dengan memakai jeket
keselamatan, topi tahan hentakan, dan sebagainya.

Walaupun mereka akan menerima ganjaran yang lumayan hasil penglibatan mereka dalam bidang ini,
ganjaran tersebut masih tidak setimpal dengan kecacatan yang harus mereka tanggung seumur hidup
mereka. Para peminat sukan tentu masih ingat lagi nama Arton Senna, pelumba kereta ‘formula one’ dari
Brazil yang telah menemui ajal di litar perlumbaan akibat terbabas dan berlanggar dengan kereta lumba
yang lain. Arton Senna hanyalah seorang daripada beratus-ratus ahli sukan yang telah menjadi mangsa
akibat menyertai bidang sukan yang berisiko tinggi. Selain beliau, kita juga pernah mendegar kemalangan
yang meragut nyawa pelumba ‘go-cart’ di Kuala Lumpur beberapa tahun dahulu, begitu juga dengan
seorang pelumba motobot laju, pelumba motosikal, dan banyak lagi. Jelaslah bahawa sukan juga
mempunyai implikasi yang buruk terutamanya bagi jenis sukan yang agresif. Pada hemat saya sampailah
ketikanya peminat sukan menilai semula jenis-jenis sukan yang tidak patut diteruskan demi mengurangkan
kemalangan yang tidak diingini.
Di samping itu, aktiviti sukan yang lain seperti payung terjun, lumba motobot, dan menunggang kuda juga
boleh membawa akibat yang sama. Setiap ahli sukan berusaha bersungguh-sungguh dan sanggup
menggadai nyawa untuk mencapai kemenangan dan kemasyhuran. Kemalangan memang sesuatu yang
berlaku tanpa diduga dan tidak dapat dielakkan. Terdapat peserta perlumbaan ini yang mengakhiri kemelut
pertarungan mereka di dalam kereta ambulans. Sukan payung terjun merupakan jenis sukan yang berisiko
tinggi. Kemungkinan besar terjunan yang dijangka menarik perhatian ramai bertukar menjadi satu tragedi
yang menyedihkan. Ahli-ahli sukan sanggup menggadaikan nyawa demi nama dan wang ringgit. Sukan
seperti bola sepak, hoki, gimnastik, dan ragbi boleh berakhir dengan kecelakaan dan kemalangan. Mokhtar
dahari yang menjadi pemain lagenda negara akhirnya mengidap penyakit misteri sehingga membawa maut.
Ahli sukan yang menyertai acara berkayak melawan arus jeram pula menggadai nyawa mereka ketika
menentang arus yang deras itu umpama ‘telur di hujung tanduk’ kerana mereka mungkin ditenggelami arus
itu bila-bila masa sahaja. Hakikatnya, sukan memang membawa keburukan kepada ahli sukan sendiri.

Di samping pernyataan di atas, sukan juga menyebabkan permusuhan. Lazimnya orang mengatakan sukan
mengeratkan persahabatan. Namun pernyataan itu tidak dapat diterima lagi pada hari ini. Hal ini demikian
kerana sukan juga boleh membawa permusuhan, pergaduhan , dan perkelahian. Biasanya pihak yang
menang dalam sesuatu pertandingan akan dipuja manakala pihak yang kalah akan dikritik. Keadaan ini
akhirnya menimbulkan perasaan dendam dan pergaduhan mungkin tidak dapat dielakkan kerana masing-
masing ingin melepaskan kemarahan. Keadaan akan menjadi lebih buruk lagi apabila penonton atau
penyokong turut serta dalam persengkitaan yang berlaku. Hal ini boleh mencetuskan satu rusuhan yang
besar. Peristiwa pergaduhan seperti ini telah beberapa kali kita lihat dipaparkan melalui media massa
seperti yang sering terjadi di negara-negara barat malah di negara kita juga kita pernah melihat pengadil
bola sepak dipukul kerana penyokong tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil tersebut. Walaupun
terdapat pasukan keselamatan mengawal keadaan pada sepanjang perlawanan, namun jumlah penonton
yang terlalu banyak itu menyebabkan keadaan menjadi tidak terkawal. Semua ini berpunca daripada sukan.

Satu lagi gejala buruk yang timbul akibat sukan ialah perjudian. Ketika sesuatu pertandingan sukan
diadakan di gelanggang sukan, perjudian pula berlaku di luar gelanggang. Masing-masing akan bertaruh
wang ringgit untuk menentukan pihak yang bakal menjadi pemenang. Bukan sekadar itu sahaja, terdapat
pihak yang merasuah dan mengatur perlawanan yang dilangsungkan. Para pemain menjadi boneka sindiket
perjudian. Terdapat `bookie’ yang sanggup membayar beribu-ribu ringgit jika pemain sanggup mengikut
telunjuk mereka. Hal ini jelas terbukti apabila terdapat berita tentang pemain-pemain bola sepak yang
didakwa di mahkamah kerana menerima rasuah. Ada pemain yang digantung permainan mereka, dan ada
juga yang dibuang daerah. Hakikatnya, kerana sukan mereka menjadi tamak dan sanggup membiarkan diri
mereka diperalat oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Keadaan seperti ini telah mencemarkan
nama baik dan tujuan asal sukan tersebut diadakan.

Selain itu, isu pengambilan dadah oleh para atlit sukan untuk menguatkan otot juga merupakan satu
tindakan yang melanggar undang-undang. Ahli-ahli sukan ini sanggup menggunakan dadah yang
mengandungi bahan steroid demi wang ringgit dan kemasyhuran. Ahli-ahli sukan yang terkenal seperti Ben
Johnson merupakan bekas ahli sukan yang pernah disingkirkan dari arena sukan akibat penggunaan dadah
steroid; begitu juga dengan atlet tempatan iaitu Azmi Ibrahim. Oleh sebab terlalu ghairah untuk mendapat
sanjungan peminat, atlet kadang-kadang sanggup melakukan apa-apa sahaja asalkan cita-cita mereka
tercapai walaupun tindakan mereka itu melanggar peraturan dan undang-undang.

Walaupun kegiatan sukan banyak menimbulkan implikasi yang buruk, namun kebaikannya tetap mengatasi
keburukan. Terpulanglah kepada ahli sukan dan masyarakat sama ada hendak menjadikan sukan sebagai
sesuatu yang baik atau sebaliknya. Ada pendapat yang mengatakan bahawa sukan itu sendiri sebenarnya
bersih dan murni namun kemurniannya itu dicemari oleh ahli sukan dan peminat sukan itu sendiri. Segala
sesuatu yang baik di dunia ini, jika disalahgunakan tentu akan menimbulkan perkara yang buruk. Perlu juga
kita ingat pepatah yang mengatakan , ‘Yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan’.

Sekian.