Вы находитесь на странице: 1из 3

PROSEDUR MENERBITKAN BUKU BERSAMA GALERI ILMU SDN. BHD.

PENGHANTARAN PROPOSAL (KERTAS CADANGAN)

1. Untuk memudahkan sesebuah karya dinilai kesesuaiannya untuk diterbitkan, Galeri Ilmu
menggalakkan penulis menyediakan proposal terlebih dahulu dan menghantarkannya
melalui e-mel. Proposal membolehkan editor menilai aspek-aspek berikut:
- Kesesuaiannya dengan dasar penerbitan Galeri Ilmu yang komited menerbitkan bahan
bacaan Islami yang membina minda Mukmin, mendidik jiwa atau sebagai panduan
beramal.
- Kesesuaiannya dengan kategori buku yang sedang menjadi tumpuan Galeri Ilmu.
- Kekuatan isi keseluruhan.
- Kelainannya dengan buku seumpamanya yang ada di pasaran.
- Nilai tarbiah (didikan) yang dimasukkan atau yang mendasari karya.
- Kekuatan susunan bab-bab.
- Kekuatan gaya olahan.
- Kekemasan tatabahasa, ejaan dan tanda bacaan.

Dengan adanya proposal, sekiranya idea buku itu diterima dan diluluskan, penulis boleh
meneruskan penulisan manuskrip hingga selesai. Sebaliknya jika ia ditolak, penulis boleh
mencuba menulis proposal yang lain yang mungkin lebih sesuai dengan kehendak Galeri
Ilmu berbanding proposal bukunya yang ditolak itu. Membaiki proposal lebih mudah
daripada membaiki manuskrip penuh.

2. Proposal hendaklah disertakan surat iringan (cover letter) dan mesti mengandungi:
 Judul sementara (working title).
 Kandungan sepintas lalu (ATAU sinopsis, sekiranya mahu menulis novel).
 Senarai bab-bab (ATAU sinopsis setiap bab bagi novel)
 Anggaran jumlah halaman; berdasarkan jenis font Times New Roman, 12 poin dan
langkau sebaris (double spacing).
 Anggaran tempoh siapnya manuskrip.
 Kekuatan dan kelebihan buku.
 Buku-buku saingannya di pasaran.
 Dua contoh bab yang lengkap.
 Biodata ringkas penulis.

NOTA: Bagi novel, sinopsis atau ringkasan cerita mestilah lengkap dari A ke Z (dari awal
ke akhir cerita), bukan cerita yang tergantung atau tidak dinyatakan penamatnya. Cerita
yang digarap nanti mungkin berubah daripada sinopsis asal bergantung pada idea yang
datang sewaktu proses menulisnya. Misalnya, penamat cerita mungkin lain daripada yang
dirangka dalam sinopsis. Bagaimanapun, sinopsis membantu editor menilai karya dan
membantu penulis menyempurnakan penulisan novelnya.

3. Proposal hendaklah die-melkan kepada salah seorang daripada Editor Perolehan berikut:
 Bagi buku agama: Ustaz Shafie Md Hashim – shafie@galeriilmu.com
 Bagi buku novel: En. Amir Abd Hamir – amir@galeriilmu.com
 Bagi buku motivasi rohaniah: Pn Zuraidah Shueef – zuraidah@galeriilmu.com
 Bagi buku kreatif: Cik Musyakilah Rohaide: musyakilah_92@yahoo.com

KELULUSAN PROPOSAL

1. Apabila proposal diluluskan untuk diterbitkan, editor berkenaan akan menge-melkan


surat tawaran atau surat ‘setuju terbit’ kepada penulis; sebagai tanda kesediaan Galeri
Ilmu untuk menerbitkan karya itu.

2. Surat ‘setuju terbit’ itu juga menyatakan:


 Batas tarikh (deadline) untuk penulis menyempurnakan penulisannya.
 Terma-terma umum perjanjian yang merangkumi kadar royalti, kekerapan bayaran
royalti, tempoh kontrak dan diskaun untuk penulis apabila membeli bukunya sendiri
dan buku-buku lain terbitan Galeri Ilmu.

PENGHANTARAN MANUSKRIP

1. Manuskrip mestilah ditulis menggunakan bahasa Melayu standard. Galeri Ilmu tidak
menerbitkan karya yang menggunakan bahasa rojak, bahasa slanga, bahasa loghat daerah
dan bahasa pasar termasuk dalam dialog novel. Bagaimanapun, Galeri Ilmu
menggalakkan penggunaan bahasa mudah yang sesuai untuk pembaca awam dan tidak
menggalakkan penggunaan bahasa akademik.

2. Manuskrip yang mengandungi ayat al-Quran mesti disertakan terjemahannya serta nama
surah dan bilangan ayat. Manakala hadis hendaklah disertakan terjemahannya dan
perawi/atau nombor hadis.

3. Manuskrip yang dihantar kepada editor mestilah manuskrip yang telah disemak sendiri
(dibuat self-editing) oleh penulis. Manuskrip itu mestilah seboleh mungkin bersih
daripada kesalahan ejaan, kesilapan tanda bacaan dan kesilapan tatabahasa.

4. Manuskrip hendaklah ditaip dengan format berikut:


 Font Times New Roman.
 12 poin.
 Langkau sebaris (double spacing).
 Dicetak pada sebelah halaman kertas A4.

5. Manuskrip perlu dihantar dalam kedua-dua bentuk – softcopy dan hardcopy. E-melkan
softcopy kepada editor dan hantarkan juga manuskrip yang dicetak ke alamat berikut:
Editor Perolehan Buku Agama/Motivasi/Kreatif
Jabatan Buku Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Astana Karya, No. 44 Jalan Pekaka 8/3,
Seksyen 8, Kota Damansara,
47810 Petaling Jaya, Selangor.
6. Bagi manuskrip yang sampai di meja editor tanpa didahului oleh proposal, ia akan
dinilai kesesuaiannya untuk diterbitkan. Editor akan memberikan maklum balas kepada
penulis sama ada manuskripnya diterima atau ditolak dalam tempoh sekitar 30 hari,
insya-Allah. Jika selepas tempoh itu belum ada sebarang berita atau maklum balas
diterima, penulis disarankan menanyakan status manuskripnya kepada editor berkenaan.

7. Manuskrip yang sampai di meja editor dianggap draf muktamad daripada penulis.
Bagaimanapun, jika editor mendapati ada penambahbaikan yang perlu dibuat sebelum
proses suntingan dan reka letak, editor akan memaklumkannya kepada penulis. Namun,
penulis tidak dibenarkan membuat tambahan pada manuskrip yang sudah berada di
peringkat suntingan dan reka letak (layout). Ini bagi menjaga kelancaran urusan
penerbitan dan jadual cetak.

8. Bagi buku yang dicadangkan untuk diisi gambar-gambar foto, ilustrasi, rajah dan
sebagainya daripada penulis, item-item itu hendaklah disertakan bersama penghantaran
manuskrip.

9. Sebelum manuskrip dicetak, salinan naskhah akhir akan diberikan kepada penulis untuk
semakan dan pembetulan. Bagaimanapun, sebarang tambahan ayat, fakta, perenggan atau
bab tidak dibenarkan di peringkat ini.

10. Penulis digalakkan membuat inisiatif sendiri mendapatkan testimoni mengenai bukunya
untuk dimuatkan pada kulit belakang buku dan untuk tujuan promosi.

KONTRAK PENERBITAN

1. Apabila Galeri Ilmu bersetuju menerbitkan karya penulis dan kerja pracetak telah
disempurnakan, satu kontrak penerbitan akan disediakan untuk ditandatangani bersama.
Melalui kontrak ini, penerbit bersetuju menerbitkan karya penulis dan penulis bersetuju
menyerahkan hak penerbitan karyanya kepada penerbit untuk tempoh yang ditetapkan di
dalam perjanjian.

2. Kontrak ini adalah untuk tempoh tiga tahun bermula dari tarikh buku dicetak dan akan
dibaharui dari semasa ke semasa.

3. Satu salinan kontrak akan disimpan oleh penerbit manakala satu salinan lagi untuk
simpanan penulis.

Disediakan oleh:
Zakaria Sungib
Pengarah Jabatan Buku, Galeri Ilmu Sdn Bhd
Kemaskini: Jun 2014
zakaria@galeriilmu.com

Вам также может понравиться