You are on page 1of 4

PENGENALAN

Kemajuan sains dan teknologi telah membawa banyak perubahan terhadap gaya hidup
manusia. Perubahan budaya, sosial dan politik yang berlaku pada masa kini dicetuskan oleh
kemajuan pesat ICT. Inilah yang dinamakan sebagai globalisasi dan modenisasi. Konsep dunia
tanpa sempadan, konsep maklumat di hujung jari, konsep pembelajaran maya dan konsep
pembelajaran global adalah kesan daripada era globalisasi dan modenisasi ini. Perubahan ini
membawa kesan yang positif kepada pelbagai jenis sektor terutamanya sektor pendidikan.

Negara membangun seperti Malaysia sememangnya mengutamakan bidang pendidikan


dengan harapan ianya akan melahirkan generasi yang berkemahiran dan berpengetahuan. Ini
dapat dibuktikan semasa pembentangan bajet di mana sebahagian besar peruntukan disalurkan
kepada bidang pendidikan. Pelbagai fasiliti dan infrastruktur di sekolah-sekolah ditambahbaik
dengan membawa masuk perkakasan seperti komputer riba, projektor LCD dan juga rangkaian
internet yang lebih luas dan pantas. Ini menandakan bahawa pihak kerajaan turut mengambil
berat tentang perkembangan sains dan teknologi yang amat diperlukan dalam bidang pendidikan
pada masa kini. Perkembangan TMK ini menjadi pemangkin utama untuk membantu murid-murid
membina pengetahuan baru dan juga memberi suasana pembelajaran yang lebih
menyeronokkan.

Walaubagaimanapun, sudah pastinya terdapat beberapa kekangan dan masalah yang


timbul apabila hendak melaksanakan sesuatu perubahan. Sekolah-sekolah di seluruh Malaysia
menghadapi cabaran dalam mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi dalam
pengajaran dan pembelajaran. Terdapat banyak aduan daripada pihak guru di mana mereka tidak
memiliki kemahiran untuk mengendalikan perkakasan TMK di dalam kelas sehingga
menyebabkan berlaku kerosakan terhadap fasiliti yang ada. Ini membawa kita kepada isu yang
kedua iaitu fasiliti dan perkakasan yang sedia ada telah usang akibat telah lama digunakan dan
ada di antaranya rosak dan langsung tidak boleh digunakan. Isu seterusnya adalah berkenaan
sikap kepimpinan pihak pentadbiran sekolah yang tidak memberikan sokongan terhadap
pengintegrasian TMK di dalam bilik darjah kerana menganggap ianya sukar untuk dilaksanakan.

Oleh yang demikian, sememangnya wujud cabaran yang perlu dihadapi oleh pihak
sekolah dalam mengintergrasikan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan
pembelajaran. Saya akan mengupas dan membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi oleh
sekolah di Malaysia untuk mengaplikasikan kemahiran pembelajaran abad ke-21 yang
berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi.
ISU DAN CABARAN PELAKSANAAN TMK DI SEKOLAH

Golongan guru yang tidak bersedia


Menurut Holmes(1999), beliau menyuarakan bahawa integrasi teknologi dalam P&P
memerlukan guru yang bersedia dan fleksibel dalam menggunakan teknologi dalam kaedah
pengajaran harian dengan mata pelajaran yang diajar. Seorang guru yang hanya tahu
menggunakan komputer belum mencukupi untuk menggabungkan teknologi dalam pengajaran
dan pembelajaran. Seorang guru itu harus memiliki ilmu yang mendalam mengenai isi pengajaran
supaya ilmu yang hendak disampaikan melalui integrasi elemen TMK berjaya. Selain itu, guru
juga perlu menitikberatkan kaedah pengajaran kerana ianya perlu digabungjalin dengan
penggunaan teknologi. Inilah idea yang dicadangkan oleh Matthew Koehler dan Punya Mishra di
mana mereka menambahbaik idea Lee Shulman berkenaan Pedagogical Content
Knowledge(PCK) untuk menjadi Technological Pedagogical Content Knowledge(TPACK).

Kerangka TPACK yang dicadangkan oleh Koehler dan Mishra menggabungjalinkan tiga
bidang pengetahuan iaitu pengetahuan teknologi, pengetahuan pedagogi dan pengetahuan isi
pengajaran. Guru-guru di sekolah menghadapi masalah untuk menyatukan ketiga-tiga
pengetahuan ini semasa proses P&P di dalam bilik darjah berjalan. Ini kerana guru-guru masih
belum memiliki pengetahuan yang mendalam dalam bidang pengetahuan teknologi. Berdasarkan
daripada kajian yang dijalankan oleh Baharuddin & Badusah(2016) berkenaan tahap
pengetahuan, kemahiran dan sikap guru sekolah menengah terhadap penggunaan Web 2.0
dalam pengajaran Bahasa Melayu, hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa guru-guru Bahasa
Melayu mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi, tahap kemahiran yang sederhana, tahap
sikap yang sederhana, kekangan kemahiran terhadap Internet pada tahap yang rendah, tahap
pengetahuan/penggunaan Web 2.0 pada tahap yang rendah. Ini jelas menunjukkan bahawa
guru-guru di sekolah masih belum bersedia untuk mengaplikasi TMK dalam proses pengajaran
dan pembelajaran.

Ini adalah kerana terdapat sebahagian guru yang telah biasa dan sebati dengan kaedah
tradisional dan menghadapi kesukaran untuk membuat penyesuaian dengan teknologi
instruksional (Becker & Watt, 1996). Kebanyakan daripada guru-guru yang mempunyai
kesukaran untuk menerima perubahan ini adalah guru-guru berpengelaman yang lebih gemar
memilih cara mengajar menggunakan papan putih. Terdapat juga sebilangan guru-guru baru
yang tidak berkeyakinan untuk menggunakan TMK semasa proses P&P akibat daripada kurang
pendedahan sewaktu berada di pusat latihan atau institusi pengajian tinggi. Paling
mengecewakan ialah sikap guru-guru yang langsung tidak ingin belajar dan tidak mengambil
peduli tentang penggunaan TMK dalam pendidikan. Sikap keterbukaan yang rendah terhadap
penggunaan TMK di dalam bilik darjah ini pastinya akan membantutkan kreativiti murid-murid dan
mengehadkan pengetahuan murid hanya kepada buku teks.

Kekurangan fasiliti dan perkakasan

Masihkah anda ingat pada suatu masa dahulu bahawa memiliki satu set komputer yang
lengkap di rumah dianggap sebagai satu kemewahan? Ini adalah kerana harga sebuah set
komputer yang mahal dan kos untuk menyelenggara yang tinggi menyebabkan ramai di antara
kita tidak mempunyai akses untuk menggunakan teknologi tersebut. Namun begitu, situasi itu
telah berubah apabila sekolah-sekolah telah mula dilengkapi dengan komputer-komputer yang
canggih dan moden. Ini bermakna kemudahan komputer tidak terhad kepada golongan tertentu
sahaja tetapi melibatkan keseluruhan pelajar tanpa mengira status ekonomi, sosial, kaum dan
sebagainya.

Meskipun begitu, bilangan komputer yang tersedia di makmal komputer sekolah tidak
mampu untuk menampung bilangan pengguna yang ramai iaitu murid sekolah. Sewaktu
Pengalaman Berasaskan Sekolah(PBS) yang lepas, saya berpeluang untuk melihat suasana
proses P&P di dalam makmal komputer. Ternyata murid-murid tidak mendapat peluang yang
menyeluruh untuk menggunakan komputer kerana mereka perlu berkongsi sebuah komputer
dengan rakan sekelas yang lain. Lebih mengecewakan apabila murid-murid daripada kelas lain
ingin menggunakan makmal komputer tetapi telah ada kelas yang menggunakannya terlebih
dahulu.

Makmal komputer tersebut akan dikunjungi oleh murid-murid setiap hari sama ada bagi
tujuan proses P&P ataupun hanya untuk melayari internet bagi melaksanakan tugasan yang
terdapat di Frog VLE. Penggunaan komputer pada tahap yang maksimum pastinya akan
menyebabkan komputer di makmal itu menjadi bermasalah tambahan pula ianya telah usang.
Oleh yang demikian, tidak hairanlah terdapat beberapa komputer di dalam makmal yang tidak
dapat digunakan kerana telah rosak.

Selain itu, kebanyakan daripada bilik darjah tidak dilengkapi dengan projektor LCD.
Penggunaan alat berteknologi seperti komputer dan projektor LCD sebagai bahan bantu
mengajar adalah alternatif yang produktif dalam proses perpindahan maklumat dan kemahiran.
Ketiadaan projektor LCD di dalam bilik darjah menyebabkan murid-murid tidak dapat
meningkatkan kefahaman maklumat kerana proses P&P tidak melibatkan media grafik
bergambar, video dan audio. Meskipun jaringan internet di sekolah adalah luas, ianya hanya
membawa faedah dan kebaikan kepada guru dan bukan kepada murid. Oleh itu, penyediaan
kemudahan mengakses Internet sahaja tidak menjamin keberkesanan pembelajaran pengajaran
secara online. Schneider(2002) mengatakan bahawa kualiti fasiliti sekolah memberi kesan
terhadap proses P&P yang akhirnya mempengaruhi prestasi akademik murid. Oleh itu, suasana
bilik darjah yang kondusif dapat memberikan pengalaman yang menyeronokkan, selamat dan
selesa buat guru serta murid semasa proses P&P.

Kekurangan sokongan pihak pentadbir

Pemimpin yang berkualiti adalah pemimpin yang berani untuk melakukan perubahan dan
menerima cadangan serta idea daripada anak buahnya dengan sikap yang terbuka. Usaha untuk
mengaplikasikan kemahiran pembelajaran abad ke-21 ini bukan sahaja terletak pada bahu guru
di sekolah malah juga kepada pemimpin sekolah. Guru besar di sekolah perlu mempunyai
rancangan untuk menggunakan TMK sebagai satu alat untuk meningkatkan mutu atau standard
sekolah. Salah satu kelemahan pihak pentadbir di sekolah adalah mereka tidak mempunyai
pendekatan yang sistematik untuk membangunkan dan mengaplikasikan TMK di sekolah.

Pihak pentadbiran sekolah disarankan untuk menggubal satu polisi atau dasar
menyeluruh yang memberikan keutamaan terhadap penggunaan TMK di sekolah. Perancangan
yang strategik seperti menetapkan target, mengenalpasti keutamaan dan menyediakan kerangka
untuk mengawas dan menilai kemajuan dasar. Apabila bercakap berkenaan perancangan, pihak
pentadbiran sekolah juga harus mempunyai perancangan kewangan yang baik supaya terdapat
peruntukan untuk membangunkan TMK di sekolah.

Pengurusan sekolah sepatutnya membudayakan penggunaan TMK di sekolah supaya


ianya menjadi nadi dan jiwa sekolah. Melalui cara ini, golongan guru dan staf akan lebih terdorong
untuk menggunakan TMK. Sikap pihak pentadbir haruslah positif dan berwawasan untuk
menyedari bahawa TMK memberikan kesan terhadap proses P&P di dalam bilik darjah.