Вы находитесь на странице: 1из 6

TAJUK ARTIKEL:

STRATEGI PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU MENGIKUT JANTINA DI LUAR KELAS

NAMA PENULIS:
ZAMRI MAHAMOD & MOHAMED AMIN EMBI

TAHUN:
2005

LATAR BELAKANG

Kajian yang dijalankan oleh Zamri Mohamad dan Mohamed Amin Embi pada 2005 memberi fokus
kepada kepelbagaian penggunaan strategi belajar oleh pelajar lelaki dan perempuan untuk mempelajari
Bahasa Melayu (BM) di luar waktu persekolahan. Terdapat empat kemahiran dalam pembelajaran bahasa
yang dikaji iaitu kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan juga kemahiran
menulis. Justeru, soalan kajian yang dibentuk oleh penyelidik adalah seperti berikut:-

1. Apakah strategi pembelajaran bahasa yang digunakan oleh peserta kajian ketika mempelajari
Bahasa Melayu di luar waktu pembelajaran berdasarkan jantina?

2. Apakah strategi pembelajaran bahasa yang digunakan oleh peserta kajian untuk mempelajari
Bahasa Melayu dalam kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis di luar waktu
persekolahan?

Rajah 1: Soalan Kajian

Kajian ini telah dijalankan dengan melibatkan sampel kajian iaitu lapan orang pelajar Tingkatan 4
di salah sebuah sekolah di negeri Selangor. Dalam kalangan sampel kajian tersebut, empat orang
daripadanya merupakan pelajar cemerlang (lelaki dan perempuan) dan empat orang pelajar lagi merupakan
pelajar yang lemah (lelaki dan perempuan). Hasil daripada kajian yang dijalankan, didapati bahawa sampel
kajian menggunakan pelbagai strategi pembelajaran ketika belajar BM di luar waktu persekolahan. Kajian
juga mendapati bahawa pelajar yang cemerlang cenderung dalam menggunakan pelbagai strategi
pembelajaran bahasa berbanding pelajar yang lemah. Hasil kajian juga menunjukkan pelajar lelaki
menggunakan strategi pembelajaran yang pelbagai berbanding pelajar perempuan dalam mempelajari BM
di luar waktu persekolahan.
REKA BENTUK KAJIAN

Kajian yang telah dijalankan merupakan sebuah kajian kes yang melibatkan lapan orang sampel
dalam kalangan pelajar cemerlang dan lemah yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Bagi menjalankan
kajian ini, penyelidik telah memilih pendekatan kualitatif. Pendekatan kualitatif sememangnya bersesuaian
dengan soalan kajian yang telah ditetapkan oleh penyelidik. Hal ini kerana penyelidik mampu mendapatkan
maklumat yang lebih terperinci tentang strategi pembelajaran bahasa dalam kemahiran mendengar,
bertutur, membaca dan menulis yang digunakan oleh sampel ketika mempelajari BM di luar waktu
pembelajaran. Selain itu, penyelidik juga mampu menyelami perasaan, emosi dan juga pemikiran sampel
kajian. Ini secara tidak langsung akan membantu dalam memberikan gambaran kukuh kepada penyelidik
tentang strategi-strategi pembelajaran bahasa yang digunakan oleh sampel.

PERSAMPELAN

Dalam menentukan sampel dalam kajian ini, penyelidik telah menggunakan kaedah persampelan
bertujuan (purposive sampling). Sampel yang dipilih melibatkan empat orang pelajar cemerlang serta empat
orang pelajar lemah yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Sampel juga dipilih berdasarkan
pencapaian mereka dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR). Selain itu, penyelidik juga mengambil kira
pandangan daripada pihak sekolah dalam memilih sampel-sampel yang sesuai untuk kajian ini. Pihak
sekolah memainkan peranan sebagai key-informant kepada penyelidik untuk mengenal pasti sampel yang
sesuai untuk dikaji.

Peranan pihak sekolah dalam membantu penyelidik memilih sampel yang sesuai amatlah baik
kerana mereka lebih mengenali pelajar-pelajar tersebut. Hal ini secara tidak langsung akan membantu
penyelidik untuk mendapatkan maklumat yang bersesuaian dengan kajian yang dijalankan.Secara
keseluruhannya, kaedah persampelan yang digunakan penyelidik adalah sesuai untuk kajian yang
dijalankan. Sampel-sampel yang dipilih dapat memberikan maklumat secara maksimum kepada penyelidik
dan sekaligus membantu dalam menjawab soalan kajian yang ditetapkan.
KAEDAH PENGUMPULAN DATA

Kaedah temu bual telah digunakan oleh penyelidik untuk mengumpul data bagi kajian ini. Temu
bual telah dijalankan bersama sampel kajian iaitu sebanyak lapan yang mana empat orang daripadanya
merupakan pelajar cemerlang (lelaki dan perempuan) dan empat orang pelajar lagi merupakan pelajar yang
lemah (lelaki dan perempuan). Temu bual yang dijalankan adalah berstruktur. Temu bual berstruktur ini
membolehkan sampel untuk menjawab soalan-soalan yang telah ditetapkan oleh penyelidik. Hal ini secara
tidak langsung akan membantu penyelidik untuk mendapatkan maklumat yang diingini untuk menjawab
soalan kajian.

Temu bual berbentuk struktur ini tidak bersifat fleksibel dan ianya mesti dijalankan berdasarkan
prosedur yang ditetapkan. Justeru, penyelidik akan menjalankan temu bual dengan hanya menyoal sampel
dengan soalan-soalan yang telah ditetapkan oleh penyelidik. Ini secara tidak langsung menghalang
penyelidik untuk memahami dengan lebih mendalam lagi topik-topik yang mungkin diketengahkan oleh
sampel semasa menjawab soalan. Justeru, penyelidik sepatutnya menggunakan temu bual berbentuk semi-
struktur agar lebih banyak maklumat boleh diperolehi daripada temu bual yang dijalankan

Kaedah temu bual yang digunakan oleh penyelidik ini sememangnya boleh membantu penyelidik
untuk mendapatkan data yang diperlukan tetapi hanya satu kaedah sahaja yang digunakan oleh penyelidik.
Penyelidik sebenarnya boleh mendapatkan data yang lebih kukuh dengan mengumpul data dengan
menggunakan kaedah-kaedah lain seperti pemerhatian dan juga analisis dokumen. Dengan menggunakan
kaedah yang pelbagai dalam mengumpul data, triangulasi data dapat dibentuk dan sekaligus meningkatkan
kesahan dan kebolehpercayaan data yang diperolehi.

KAEDAH MENGANALISIS DATA

Hasil daripada temu bual yang dijalankan, penyelidik telah melakukan transkripsi dan seterusnya
melakukan pengekodan. Penyelidik juga menggunakan perisian NUD*IST (Non-Numerical Unstructured
Data and Indexing Searching Theorizing) yang membantu penyelidik untuk mengenal pasti kod-kod yang
konsisten dan seterusnya membentuk tema-tema penting. Walau bagaimanapun, penyelidik tidak
menyatakan sama ada analisis yang dijalankan ini sampai pada tahap ketepuan data. Secara keseluruhannya,
kaedah yang digunakan oleh penyelidik untuk menganalisis data yang diperolehi adalah bersesuaian dan
dapat membantu penyelidik menjawab soalan kajian yang ditetapkan.
KESAHAN DAN KEBOLEHPERCAYAAN DATA

Untuk memastikan kesahan dan kebolehpercayaan soalan-soalan dalam temu bual yang dijalankan,
penyelidik telah menjalankan kajian rintis untuk memastikan soalan-soalan tersebut dapat membantu
penyelidik untuk mendapatkan maklumat yang diingini. Kajian rintis telah dijalankan dengan melibatkan
dua orang pelajar cemerlang BM yang terdiri daripada lelaki dan perempuan. Penyelidik juga telah
mendapatkan kerjasama daripada guru-guru BM serta Ketua Bidang Bahasa di sekolah kajian rintis untuk
menyemak dan memberi komen terhadap soalan-soalan yang telah ditetapkan dalam temu bual. Semakan
terhadap soalan-soalan tersebut sememangnya penting bagi memastikan soalan-soalan dalam temu bual
mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan. Hasil daripada kajian rintis tersebut, penyelidik mendapati
bahawa terdapat beberapa soalan yang sukar serta mengelirukan. Justeru, penyelidik telah memperbaiki
atau membuang soalan-soalan tersebut.

Walau bagaimanapun, penyelidik sepatutnya menjalankan kajian rintis dengan melibatkan pelajar
yang lemah kerana dalam kajian sebenar penyelidik telah memilih pelajar-pelajar yang lemah sebagai
sampel dalam kajian. Kajian rintis yang hanya melibatkan pelajar cemerlang boleh mempengaruhi
keseimbangan dan bias bagi soalan-soalan yang telah ditetapkan dalam temu bual. Selain itu, penyelidik
juga hanya mendapatkan pendapat dan komen daripada guru-guru BM serta Ketua Bidang Bahasa di
sekolah kajian rintis. Penyelidik sebenarnya boleh mendapatkan pendapat dan komen daripada pakar dalam
bidang bahasa dan juga pakar dalam bidang penyelidikan kualitatif. Dengan adanya pendapat dank omen
daripada pakar, kebolehpercayaan dan kesahan soalan-soalan temu bual adalah lebih tinggi.

Di samping itu, penyelidik juga telah menggunakan kaedah Indeks Kebolehpercayaan Cohen
Kappa (K) untuk menganalisis kebolehpercayaan tema-tema yang diperolehi. Berdasarkan analisis yang
dijalankan, tema-tema hasil daripada temu bual bersama sampel cemerlang dan sampel lemah masing-
masing memperoleh nilai K= 0.80 dan K=0.88. Menurut Landis dan Koch (1977), nilai K yang melebihi
0.75 menunjukkan persetujuan yang kuat. Hal ini bermaksud tema-tema yang diperolehi hasil daripada
temubual yang dijalankan oleh penyelidik mempunyai persetujuan yang kuat dan seterusnya mengukuhkan
kebolehpercayaan data yang diperolehi.

Walaupun nilai Indeks Kebolehpercayaan Cohen Kappa yang diperolehi melebihi 0.75, kesahan
dan kebolehpercayaan data hasil daripada temu bual yang dijalankan masih boleh disangkal. Ini disebabkan
oleh ketiadaan triangulasi data. Triangulasi antara data merupakan salah satu cara untuk menjadikan data
kualitatif mempunyai kepercayaan yang tinggi (Wiersma 1991; John Van Maaneen, 1983). Untuk
mendapatkan dapatan kajian yang boleh dipercayai, penyelidik sepatutntya menggunakan lebih daripada
satu kaedah pengumpulan data.
Dalam konteks kajian ini, penyelidik hanya menggunakan satu kaedah pengumpulan data iaitu
temu bual. Untuk meningkatkan kebolehpercayaan data yang diperolehi, penyelidik seharusnya
menggunakan kaedah-kaedah pengumpulan data yang lain untuk mengukuhkan lagi kebolehpercayaan data
hasil daripada temu bual yang dijalankan. Antara kaedah pengumpulan data yang boleh penyelidik
aplikasikan termasuklah pemerhatian dan juga analisis dokumen. Pemerhatian boleh dijalankan dengan
memberi fokus kepada tingkah laku sampel semasa belajar BM melalui rakaman video. Selain itu,
penyelidik juga boleh menganalisis dokumen sampel seperti hasil kerja, kertas soalan peperiksaan dan
sebagainya.

ETIKA DALAM PENYELIDIKAN

Semasa menjalankan kajian ini, penyelidik secara umumnya telah mematuhi etika-etika dalam
penyelidikan. Antara etika penyelidikan yang telah dipatuhi merangkumi penyertaan sukarela serta
penentuan diri, identiti penyelidik dan juga ketanpanamaan sampel. Bagi aspek penyertaan sukarela serta
penentuan diri, individu-individu yang dipilih bersetuju menjadi sampel dalam kajian yang dijalankan.
Kerjasama yang diberikan oleh sampel memudahkan penyelidik untuk mendapatkan maklumat yang
diingini. Identiti penyelidik juga diketahui oleh sampel semasa menjalankan kajian. Hal ini juga secara
tidak langsung akan memudahkan penyelidik untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang isu yang
dikaji kerana sampel mengetahui tentang tujuan penyelidik menjalankan kajian. Penyelidik juga
menghormati sampel yang dikaji dengan merahsiahkan identiti sampel yang membekalkan data atau
maklumat kajian.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, kajian yang telah dijalankan menggunakan reka bentuk kajian yang dipilih
termasuklah kaedah persampelan, kaedah mengumpul data, serta kaedah menganalisis data dapat menjawab
soalan kajian yang ditetapkan oleh penyelidik. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa aspek yang boleh
diperbaiki terutamanya dalam aspek kesahan dan kebolehpercayaan data. Hasil daripada analisis data
berdasarkan temu bual yang dijalankan, didapati bahawa sampel kajian menggunakan pelbagai strategi
pembelajaran ketika belajar BM di luar waktu persekolahan. Dapatan kajian ini boleh dikukuhkan lagi
dengan menjalankan pemerhatian dan analisis dokumen. Penggunaan kaedah pengumpulan data yang
pelbagai akan mewujudkan triangulasi data yang seterusnya akan meningkatkan kesahan dan
kebolehpercayaan data yang diperolehi.
RUJUKAN

Embi, Z. M. (2005). Strategi Pembelajaran Bahasa Melayu Mengikut Jantina di Luar Kelas. Jurnal
Pendidikan 30, 51-73.

John Van Maaneen. 1983. Qualitative Methodology. Beverly Hill, California: Sage Publication. Merriam,
S.B. 1997. Qualitative research and case study applications in education. San Francisco: Jossey-
Bass.

Landis, J.R. & Koch, G.G. 1977. The measurement of observer agreement for categorical data. Biometrics
45: 255-268.

Wiersma, W. 1991. Research methods in education. 5th ed. Boston: Allyn & Bacon.

Вам также может понравиться