Вы находитесь на странице: 1из 10

PENGENALAN

Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi Malaysia dan bertindak sebagai


bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara. Dengan ini, bahasa Melayu
sedang melalui satu perkembangan yang pesat dengan kewujudan pelbagai laras
bahasa bagi menepati kesesuaian penggunaan bahasa dalam bidang-bidang seperti
teknologi, sains, dan perundangan. Penggunaan laras bahasa yang sesuai dan tepat
mengikut situasi bidang membantu dalam pemahaman maksud yang disampaikan
seterusnya menjadikan suatu komunikasi berkesan.

Menurut S. Nathesan (1995), istilah register atau laras telah digunakan seawal
tahun 1956 oleh Reid iaitu seorang ahli bahasa sebagai satu istilah teknik untuk
menerangkan perlakuan bahasa seseorang individu apabila bahasa digunakan. Reid
mendefinisikan konsep laras seperti yang berikut:

For the linguistic behavior of a given individual is by no means uniform; placed in


what appear to be linguistically identical conditions, he will on different occasions
speak (or write) differently according to what may roughly be described as
different social situation; he will use a number of distinct ‘registers’.

(Reid, 1956)

Nik Safiah Karim (1989) mendefinisikan laras bahasa sebagai variasi bahasa
yang digunakan oleh seseorang penutur mengikut situasi tertentu berdasarkan
penggunaannya dan menurut Nik Hassan Basri Nik Abdul Kadir (2005), perbezaan
bahasa yang mempunyai ciri-ciri tertentu digunakan khususnya dalam sesuatu bidang
atau disiplin ilmu mengikut kesesuaian konteks bergantung kepada tajuk, hubungan
antara penyampai dan penerima dan situasi waima secara lisan atau penulisan.

Keseluruhannya, laras bahasa boleh membawa maksud gaya atau cara


menggunakan bahasa dalam situasi yang berbeza dan berubah mengikut fungsi dan
keadaan. Laras bahasa juga menitikberatkan pemilihan istilah yang sesuai dan
menggunakan struktur ayat yang berlainan mengikut disiplin atau bidang tertentu. Oleh
itu, penggunaan laras bahasa yang bersesuaian dalam pelbagai situasi dan konteks
akan memudahkan penutur memahami apa yang disampaikan.

PENGENALAN LARAS BAHASA AGAMA

Kebiasaannya, laras bahasa agama dalam bahasa Melayu dikhususkan kepada


perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam yang merupakan agama rasmi
negara dan dianuti oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Laras ini digunakan dalam
perbincangan isu-isu yang berkaitan dengan ketuhanan, kerasulan, sejarah nabi dan
rasul, hukum-hakam tentang suruhan dan larangan Allah seperti solat, puasa dan
sebagainya. Menurut Khairuddin Mohamad et al. (2012), laras bahasa agama
digunakan untuk menerangkan sebarang tajuk yang berhubung kait dengan agama
termasuk akidah, fiqah, kisah-kisah nabi dan sahabat.

Tambahan lagi, petikan-petikan daripada al-Quran dan hadis juga menjadi


perkara wajib yang wujud dalam penggunaan laras bahasa agama. Struktur ayat
terjemahan petikan-petikan daripada al-Quran dan hadis dipengaruhi oleh bentuk
struktur ayat daripada unsur bahasa Arab. Menurut Van Ronkel (1977), pengaruh
struktur ayat Arab ini boleh dikesan melalui penggunaan perkataan-perkataan tertentu
seperti bahawasanya, atas dan sungguhpun. Antara contoh-contoh ayat yang
dipengaruhi oleh struktur ayat bahasa Arab adalah “Dan menuntut ilmu itu fardhu atas
segala laki-laki dan perempuan”, “Ketahuilah olehmu yang dinamai syariat itu sabda
Nabi S.A.W menyuruh kita berbuat baik dan melarang kita berbuat jahat” dan
“Bahawasanya Allah Ta’ala menjadikan Adam atas rupanya”. Daripada contoh-contoh
tersebut, pengaruh struktur ayat bahasa Arab amat ketara dan agak berbeza dengan
struktur ayat bahasa Melayu. Berikut ialah contoh petikan hadis dan ayat al-Quran:

Dari Umar bin Khathab r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tiap-tiap amal
harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal manusia ialah pahala bagi
apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan
Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya.
Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya
mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya:
"Berapa lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur
selama sehari atau sebahagian dari sehari". (Sebahagian lagi dari) mereka
berkata: "Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur;
sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke
bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan
yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa
untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut
dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan
sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.

(Surah Al-Kahfi 18:19)

Menurut Ab Rahman Ab Rashid dan Yap (1997), laras bahasa agama


menunjukkan perbezaan penggunaan perkataan-perkataan yang merujuk kepada Allah
atau Nabi daripada manusia biasa. Sebagai contoh, penggunaan kata ‘firman’ yang
merujuk kepada apa yang diperkatakan oleh Allah S.W.T, perkataan sabda yang
membawa maksud kata-kata yang dituturkan oleh Nabi Muhammad S.A.W manakala
perkataan kata pula digunakan untuk merujuk kepada manusia biasa. Selain itu, contoh
lain ialah perkataan Maha memberi erti amat, terlampau atau sangat yang hanya boleh
digunakan untuk Allah bagi menunjukkan tiada kuasa lain yang mampu menandingi
kekuasaan-Nya.
Maha Suci Allah dari apa yang mereka katakan itu!

(Surah As-Saaffaat 37:159)

Penggunaan unsur-unsur akronim yang wujud dalam laras bahasa agama


merupakan sesuatu yang tidak asing. Misalnya perkataan S.A.W, A.S, dan S.W.T. Istilah
penuh bagi akronim S.A.W adalah ‘Sallalah hu alaihi Wasallam’ yang merujuk kepada
junjungan besar Nabi Muhammad. Seterusnya, perkataan penuh akronim A.S ialah
“Alahi Salam’ yang merujuk kepada Nabi Isa manakala akronim S.W.T ialah
‘Subahanahu wataala’ merujuk kepada Allah yang Esa. Contoh penggunaan akronim-
akronim tersebut adalah seperti “Tiang-tiang iman itu ialah tauhid dan kepercayaan
kepada Nabi Muhammad S.A.W sebagai utusan Allah S.W.T yang terakhir.” dan “Sebab
Isa A.S dari hari kelahirannya hinggalah hari kewafatannya disokong dengan kudrat
Allah S.W.T”.

Seterusnya, Ab Rahman Ab Rashid dan Yap (1997) juga menyatakan laras


bahasa agama banyak menyelitkan unsur-unsur nasihat dengan harapan melalui
nasihat tersebut, pembaca atau pendengar dapat bermuhasabah diri, memperbaiki
akhlak, membentuk jati diri yang mulia serta mengagungi kebesaran Allah. Unsur-unsur
nasihat ini boleh dilihat dengan jelas di dalam majlis-majlis agama seperti khutbah
Jumaat dan tazkirah selepas solat. Contoh tazkirah adalah seperti berikut:

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa puasa yang sedang kita jalani ini merupakan jalan singkat
untuk mendapat rahmat, pahala dan keberkatan dari Allah. Orang-orang yang
berpuasa merupakan golongan yang terpilih, special, dan mempunyai
keistimewaan pada hari qiamat. Sahal bin Sa’ad berkata bahawa Nabi (saw)
bersabda: “Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut “rayyan”.
Akan ;ember pada hari qiamat: “ Mana orang yang berpuasa?”. Lalu bila orang
yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itu pun ditutup”. (hadis
riwayat Bukhari dan Muslim)
Puasa ini juga bakal menjadi pembela dan pemberi syafaat kepada kita.
Menurut Abdulah bin Umar (ra), Nabi (saw) bersabda: “Puasa dan al-Quran akan
;ember syafaat bagi hamba, pada hari qiamat. Berkata puasa: “Ya Tuhan,
Engkau larang ia makan dan memuaskan syahwat di waktu siang, dan sekarang
ia meminta syafaat padaku kerana itu”. Dan berkata pula al-Quran: “ Engkau
larang ia tidur di waktu malam, sekarang ia meminta syafaat padaku mengenai
itu”. Maka syafaat kedua merekapun diterima oleh Allah.” (hadis riwayat Ahmad)

Orang yang berpuasa akan bergembira apabila bertemu dengan


Tuhannya nanti seperti hadis dariAbu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda: “
Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan
hati: dikala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia
menemui Tuhannya nanti, ia akan gembira kerena puasanya.” (hadis riwayat
Ahmad, Muslim dan an-Nisa’i)

Jelas kepada kita status atau kedudukan orang-orang yang berpuasa.


Memang dalam mengerjakan puasa itu terdapat kesukaran, keletihan dan
kesusahan. Memang puasa memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Tetapi
yakinlah dengan janji Allah melalui lisan Nabi-Nya ini. Puasa bakal memohon
syafaat bagi kita. Kita mempunyai keistimewaan dengan pintu khas untuk masuk
ke syurga. Dan kita akan bergembira bukan sahaja ketika berbuka tetapi juga
apabila kita bertemu dengan Allah nanti. Inilah kegembiraan yang hakiki.

Semoga Allah menggabungkan kita ke dalam orang-orang istimewa dan


memperoleh syafaat dari puasa yang kita kerjakan.

(Jabatan Mufti Negeri Terengganu, n.d)


ISTILAH YANG SERING DIGUNAKAN

Laras bahasa agama menggunakan perkataan-perkataan yang mudah difahami


oleh masyarakat dan lebih mementingkan ketepatan maksud agar tidak menimbulkan
kekeliruan oleh pembaca atau pendengar. Namun demikian, sebahagian perkataan
yang biasa digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia boleh
membawa maksud yang berlainan daripada erti secara umum. Sebagai contoh,
menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘cinta’ ialah rasa kasih sayang yang amat
terhadap seseorang atau sesuatu seperti perasaan cinta terhadap pasangan dan
sebagainya. Namun demikian, di dalam al-Quran, terdapat 82 kalimah cinta (‫ )حب‬yang
menyatakan tentang pelbagai aspek cinta termasuk cinta terhadap Khaliq iaitu
Pencipta, cinta terhadap rasul, cinta sesama manusia dan lain-lain seperti binatang
atau barangan. Contoh seterusnya ialah penggunaan perkataan ‘hidup’ yang membawa
maksud bernyawa dan bernafas atau tinggal di sesuatu tempat berdasarkan Kamus
Pelajar Edisi Kedua tetapi membawa makna yang berbeza iaitu menurut Pahrol
Mohamad Juoi (2010), pengembaraan dari satu alam ke alam yang lain yakni bermula
daripada alam roh dan berakhir ke alam akhirat sama ada di syurga atau neraka,
berdasarkan konteks salah satu artikel yang dipetik daripada majalah Solusi Mei 2010.

Laras agama tidak bersifat teknikal seperti laras sains dan undang-undang,
sebaliknya laras ini menggunakan bahasa umum yang mudah difahami dan
istilah-istilah agama yang telah tersedia dalam al-Quran.

(Siti Hajar Abdul Aziz, 2009)

Selain itu, penggunaan yang meluas terhadap istilah-istilah dalam bahasa Arab
adalah selaras dengan bidang keagamaan Islam. Menurut Hamdan Hassan (1972),
tujuan peminjaman perkataan Arab ini ialah untuk pengertian baharu kerana kosa kata
untuk pengertian itu tidak terdapat dalam bahasa Melayu. Contoh istilah-istilah yang
dipinjam daripada perkataan Arab ialah hakikat, tauhid, wahid, zikir, zakat, solat, haji
dan kiamat. Terdapat juga perkataan-perkataan yang lazim digunakan dalam laras
bahasa agama yang telah sebati dan diterima dalam bahasa Melayu terutamanya bagi
pertuturan seharian seperti ‘wajib’, ‘nikah’, ‘taubat’, ‘rezeki’ dan ‘ikhlas’. Menurut Asmah
Haji Omar (1991), kata pinjaman daripada bahasa Arab merupakan kumpulan yang
terbesar daripada kata-kata yang dibawa dari luar alam melayu.

Selain daripada kata pinjaman daripada bahasa Arab mempengaruhi laras


bahasa agama, bahasa Sanskrit banyak digunakan dalam bahasa Melayu sejak zaman
dahulu lagi. Bukan sahaja bahasa Melayu yang menerima pengaruh bahasa Sanskrit
tetapi mana-mana sahaja bahasa yang mempunyai hubungan dengan India akan
menerima pengaruh bahasa Sanskrit. Terdapat juga penggunaan kata pinjaman bahasa
Sanskrit yang merujuk kepada bidang keagamaan yang digunakan dalam laras bahasa
agama (Ab Rahman Ab Rashid dan Yap, 1997) seperti suci, syurga, neraka, dosa,
pahala dan puasa.

Pada kesuluruhannya, isitlah-istilah dalam laras bahasa agama menggunakan


perkataan yang ringkas dan senang difahami bergantung kepada konteks tajuk yang
dibicarakan serta mengambil kata pinjaman daripada bahasa asing iaitu bahasa Arab
dan Sanskrit.
KATEGORI PELAKU

Pelaku atau pengguna yang menggunakan laras bahasa agama boleh


dibahagikan kepada dua iaitu Institusi keagamaan dan institusi pendidikan.

Institusi keagamaan bermaksud organisasi yang dikhaskan dalam bidang agama


Islam seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM), Majlis Agama Islam Kelantan
(MAIK) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Organisasi-organisasi ini
berperanan memastikan kesahihan fatwa-fatwa Islam dan hukum-hakam agama Islam
agar dipraktikkan secara betul oleh rakyat Malaysia yang beragama Islam. Institusi
keagamaan boleh juga merujuk kepada masjid yang menjadi tempat umat Islam
beribadah.

Selain itu, institusi pendidikan juga menitikberatkan penggunaan laras bahasa


agama dalam pembelajaran sama ada secara formal atau tidak. Institusi pendidikan
secara tidak formal ialah pembelajaran yang tidak semestinya berlaku di dalam kelas
malahan di rumah. Sebagai contoh, seorang anak bertanyakan mengenai cara
mengerjakan solat yang betul kepada ibu bapanya. Manakala institusi pendidikan
secara formal merupakan pembelajaran dalam kelas seperti di sekolah atau kelas-kelas
agama. Agen yang menyampaikan laras bahasa agama ialah guru atau lebih dikenali
sebagai ustaz bagi lelaki dan ustazah bagi perempuan.

Pada zaman kegemilangan Melaka dahulu, masjid merupakan satu institusi


pendidikan yang formal dalam perkembangan agama islam di mana pelajar-pelajar
menuntut dengan guru-guru yang pakar atau fasih dalam pelbagai bidang agama
seperti aqidah, tauhid dan sebagainya.
KESIMPULAN

Ringkasnya, laras bahasa merupakan satu variasi bahasa yang dicicirkan oleh
pemilihan kata, frasa dan ayat yang dituturkan atau ditulis. Laras bahasa pada
umumnya dapat diterangkan sebagai cara penggunaan sesuatu bahasa. Asmah Hj.
Omar (1984), berpendapat bahawa laras bahasa ialah khusus dalam penggunaan
bahasa menurut bidang penggunaannya.

Laras bahasa agama pula keseluruhannya suatu pengkhususan penggunaan


bahasa dalam perkara-perkara atau hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Laras
bahasa agama mengandungi istilah-istilah agama yang diambil daripada bahasa Arab
seperti zikir dan solat. Terdapat juga beberapa istilah yang dipetik daripada bahasa
Sanskrit seperti suci dan puasa. Selain itu, struktur ayat dalam laras bahasa agama
banyak dipengaruhi struktur ayat bahasa Arab kerana terjemahan petikan daripada al-
Quran dan hadis.

S. Nathesan (1995) yang mengkaji laras buku-buku teks, meneliti juga laras buku
teks pendidikan Islam merumuskan bahawa seperti laras buku-buku teks yang lain,
dalam laras buku teks pendidikan Islam juga terlihat ciri-cirinya yang tersendiri. Dalam
perhitungan beliau, lima belas peratus daripada kata yang digunakan dalam teks
merupakan istilah pendidikan Islam dan selanjutnya 63.6% daripada istilah itu
merupakan kata pinjaman khusus yang diserap dari bahasa Arab. Hal ini demikian
kerana peminjaman kosa kata bahasa Arab dapat member pengertian baharu kepada
perkataan yang tidak ada dalam bahasa Melayu.

Oleh itu, dapatlah dirumuskan bahawa laras bahasa agama adalah penting bagi
membantu pendengar atau pembaca memahami dan mengetahui lebih mendalam lagi
mengenai agama Islam di samping mengelakkan kesalah tafsiran terhadap istilah-istilah
agama yang boleh menimbulkan perbezaan pendapat dan pemahaman mengenai
Islam.
RUJUKAN

Abdullah Yusuf. (2014). HBML3403 Linguistik dan Sosiolinguistik. Selangor, Malaysia:

Open University Malaysia.

Ab Rahman Ab Rashid. & Yap, K. F. (1997). Bahasa Melayu Komunikasi 1:

Penguasaan dan Penggunaan Bahasa Melayu & Bahasa Melayu Merentas

Kurikulum. Selangor, Malaysia: Longman Malaysia Sdn. Bhd.

Ab Rahman Ab Rashid. & Yap, K. F. (2004). Siri Pendidikan Tinggi – Bahasa

kebangsaan. Selangor, Malaysia: Pearson Malaysia Sdn. Bhd.

Khairuddin Mohamad, Maridah Alias & Faiziah Hj Shamsudin (2013). Bahasa Melayu

Komunikatif. Selangor, Malaysia: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Nathesan, S. (1995). Laras bahasa ilmiah. Selangor, Malaysia: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Pahrol Mohamad Juoi. (2010, Mei). Hidayah kompas kehidupan. Solusi, 14-18.

Siti Hajar Abdul Aziz. (2009). Siri Pendidikan Guru – Bahasa Melayu II. Selangor,

Malaysia: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Вам также может понравиться