Вы находитесь на странице: 1из 3

Cara-cara yang berkesan untuk melahirkan insan yang cemerlang

Pada alaf digital yang mendepani ombak globalisasi ini, negara kita telah pesat membangun. Untuk
merealisasikan wawasan 2020, kerajaan perlu menjanakan pembangunan kerohanian untuk melahirkan
modal insan yang cemerlang, terutamanya golongan remaja kerana mereka merupakan tonggak negara yang
bakal menerajui cerucuk kepimpinan di negara kita. Dalam konteks ini, modal insan yang cemerlang
memerlukan ciri-ciri yang unik, iaitu berintelek, berakhlak mulia, kreatif dan kritis, berbadan sihat serta
memiliki kepimpinan. Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu merancangkan tindakan-tindakan yang
efektif untuk melahirkan insan yang cemerlang dalam kalangan rakyat Malaysia.

Untuk mencambahkan insan yang cemerlang, ibu bapa memainkan peranan yang prioriti. Menurut
Hadis, anak dibaratkan kain putih yang akan dicorakkan oleh ibu bapanya. Lantaran itu, ibu bapa yang
bertanggungjawab dan memiliki ilmu keibubapaan berupaya mencanai insan yang gemilang. Terlebih
dahulu, ibu bapa perlu menitikberatkan pencapaian akademik anak mereka. Selain menemani anak mereka
mengulang kaji dan membuat latihan, ibu bapa juga perlu menjadi role model atau suri teladan kepada anak
mereka dalam amalan membaca kerana ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi. Amalan membaca
perlu dipupuk sejak kecil lagi, persis peribahasa “melentur buluh biarlah dari rebung”. Banyak membaca
luasnya ilmunya. Ibu bapa tidak patut lokek atau kedekut untuk memberikan pujian kepada anak atas sesuatu
kejayaan. Hal ini dapat memberikan dorongan kepada mereka untuk mendaki lereng yang penuh dengan
onak dan duri hingga mencapai kejayaan yang cemerlang. Hal ini selaras dengan kata-kata El Leseur,
“Tanpa semangat tidak ada pekerjaan besar yang dapat dilakukan.” Tegasnya ibu bapa perlu berusaha
membimbing anak mereka ke arah kecemerlangan akademik.

Bagaimanapun, kecemerlangan akademik atau intelek tidak akan membawa sebarang makna jika
tidak dilengkapi dengan sahsiah yang mulia. Ternyata, banyak golongan yang terdidik turut melibatkan diri
dalam pelbagai jenayah kolar putih atau gejala sosial terutamanya pengagihan dadah dan kegiatan maksiat
bagai melukut di tepi gantang. Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memastikan anak mereka menerima
ajaran agama dan nilai-nilai murni di rumah. Ibu bapa perlu membimbing anak mereka menjalankan solat
sembahyang dan mengaji kitab-kitab suci. Golongan muda perlu memiliki keimanan yang teguh untuk
menjauhi segala godaan dan nafsu. Pemuda dan pemudi yang berbudi bahasa, bertanggungjawab dan berjati
diri dapat melahirkan masyarakat sakinat yang diidam-idamkan. Dengan kata lain, ibu bapa hendak
membentuk anak remaja yang berakhlak mulia untuk melahirkan masyarakat penyayang menjelang
wawasan 2020.

Untuk melunaskan hasrat negara, modal insan yang kreatif dan kritis merupakan komponen yang
signifikan. Pihak sekolah berperanan penting untuk melahirkan insan yang kreatif dan kritis. Sukatan
pelajaran dan kokurikulum sekolah perlu mengalami reformasi dan keluar dari kepompong yang tradisi dan
statik. Dalam dunia ICT, pendapatan Google, Facebook dan Microsoft telah mengatasi pendapatan negara
kita. Produk yang dijual oleh mereka ialah kreativiti dan ilmu mereka. Hal ini telah membuktikan bahawa
ilmu yang dimiliki tidak akan berguna jika tidak dicampuri dengan imaginasi yang berani dan praktikal yang
berterusan. Ekoran daripada itu, pihak sekolah perlu menggalakkan pelajar mengemukakan idea mereka.
Pertandingan reka cipta robotik, laman web dan fesyen serta lain-lain lagi perlu diadakan . Secara tidak
langsung, pihak sekolah dan warga didik tidak boleh lagi bergantung pada buku teks sahaja tetapi perlu
bersikap terbuka untuk melatih anak buah mereka untuk mencetuskan idea yang kreatif dan kritis.

Di samping itu, ibu bapa dan pihak sekolah perlu memastikan generasi muda kita memiliki badan
yang sihat dan cergas. Pihak sekolah perlu memberikan ilmu pengetahuan tentang cara-cara menjaga
kesihatan kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Pendidikan Jasmani di sekolah perlu
dititikberatkan. Kementerian Pelajaran telah menetap setiap pelajar perlu bergiat dalam satu sukan. Hal ini
merupakan tindakan yang bijaksana. Ibu bapa perlu memastikan anak mereka senantiasa menjaga
kebersihan dan mengamalkan pemakanan seimbang seperti kriteria dalam piramid makanan. Sehubungan
dengan itu, putera dan puteri yang sedang berjuang dalam medan ilmu dapat menjauhi penyakit kronik dan
penyakit berjangkit. Badan cergas otak cerdas. Fizikal yang sihat akan membentuk semangat kental dan
waja diri untuk menghadapi pancaroba dalam gelombang globalisasi. Natijahnya, ibu bapa dan pihak
sekolah perlu menitikberatkan kesihatan dan kekuatan fizikal anak muda kita.

Kesimpulan, bak kata peribahasa, “ pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”, golongan
muda perlu dicanai supaya menjadi modal insan yang cemerlang. Ibu bapa dan guru memainkan peranan
yang terpenting untuk mencapai aspirasi tersebut. Adakah pada tahun 2057, negara kita telah memiliki
saintis yang memperoleh hadiah Nobel? Adakah negara kita akan memiliki usahawan seperti Bill Gates?
Adakah negara kita akan memiliki olahragawan yang akan memiliki pingat emas dalam Sukan Olimpik?
Hasrat tersebut akan tercapai jika masyarakat kita mengalami anjakan paradigma dari segi pembangunan
kerohanian untuk melahirkan model insan yang cemerlang seperti tema Hari kebangsaan, 1 Malaysia
Menjana Transformasi.

Вам также может понравиться