You are on page 1of 2

Membaca Matematik ( Artikel )

Membaca Matematik
Oleh : Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim
Sumber : MajalahSains.com

Pernah mempelajari matematik? Tentu, dan pada sesetengah daripada kita


mendapati matematik adalah subjek yang membosan dan merunsingkan. Apatah
lagi kepada para pelajar yang mengambil matapelajaran Matematik Tambahan.

Namun begitu, tanpa matematik agak sukar pula bagi remaja kita untuk
meloloskan diri ke menara gading. Akibatnya, belajar matematik membebankan
tetapi perlu pula sekurang-kurangnya lulus di dalam peperiksaan untuk ke
hadapan. Umum mengetahui kepentingan matematik kepada seseorang. Malah
kepentingan matematik yang telah berakar umbi di dalam tamadun manusia.

Tetapi, usaha seorang Professor Matematik kelahiran Rio de Janeiro telah


mengubah persepsi orang ramai terhadap matematik. Beliau telah
memperkenalkan satu sistem pendidikan baru di dalam menerangkan konsep-
konsep di dalam matematik, iaitu dengan menggunakan pendekatan sejarah
melalui hikayat yang amat menarik.

Maka lahirlah salah-satu karyanya yang hebat bertajuk The Man Who Counted.
Yang lebih menarik, penulisnya sendiri yang melahirkan pengarang buku
tersebut yang lebih terkenal daripada namanya sendiri, yang dikenali sebagai
Malba Tahan. Beliau tidak menggunakan nama sebenarnya, iaitu Júlio Cesar de
Mello, seorang Profesor Matematik di Rio de Janeiro Education Institute,
sebaliknya nama Malba Tahan lebih menonjol.

Hikayat ini berkisar pada zaman kegemilangan Islam iaitu pada zaman
pemerintahan khalifah Islam. Yang menariknya, si penulis, Júlio Cesar, tidak
pernah melangkah kakinya ke negara-negara Arab. Namun begitu, hasil
daripada tulisannya itu, umum akan mengetahui betapa dalam cintanya kepada
ilmu dan peradaban Islam zaman silam.

Jalan ceritanya yang bermula dengan pengembaraan Beremiz Samir, yang telah
menggunakan kepandaiannya di dalam menyelesaikan masalah dengan
menggunakan matematik. Sepanjang perjalanan beliau bersama seorang
sahabat, Hanak Tade Maia, telah menyelesaikan beberapa masalah yang
menimpa penduduk setempat. Misalnya, masalah perebutan unta sebanyak 35
ekor yang perlu dibahagikan kepada 3 orang adik-beradik yang mengikut wasiat
ayahnya, separuh daripada unta itu perlu diberikan kepada abang yang sulung,
1/3 kepada adik keduanya dan 1/9 diberikan kepada yang bongsu. Jika diikutkan
logik fikir, ia langsung tidak dapat dibahagikan secara adil. Jika separuh
daripada 35 ekor ialah 17 ½, maka apatah lagi jika dibahagikan kepada 1/3 dan
1/9 yang mustahil untuk didapatkan nombor yang tunggal.

Maka di sinilah kebijaksanaan penulisnya. Si hero, Beremiz telah menambah


seekor lagi unta, iaitu tunggangannya, menjadikan jumlah 36 ekor. Dan dari
jumlah 36 ekor itu, ½ daripadanya diberikan kepada yang sulung iaitu sejumlah
18 ekor. Yang keduanya, 1/3 daripada 36 ekor, 12 ekor unta diberikan
kepadanya, dan si bongsu mendapat habuannya 1/9 daripada 36, iaitu 4 ekor.
Apabila ditambahkan semua jumlah itu (18 + 12 + 4) menjadikan ia sejumlah
34 ekor unta. Terlebih 2 ekor unta! Dan si Beremiz mendapat habuan seekor
lagi unta tunggangannya.

Di sinilah letaknya kehebatan penulis yang menyelesaikan masalah matematik


dengan logik ‘benar’, dan bukan sekadar ‘logik matematik’. Buku ini menarik
untuk dibaca sebagai salah-satu kaedah menyelesaikan masalah masyarakat,
yang rata-ratanya berkisar kepada masalah wang, kepuasan hidup, keadilan dan
sebagainya. Tidak mustahil kepada seseorang ahli matematik yang melihat
situasi ini sebagai satu cabaran bagi beliau untuk cuba menyelesaikan
permasalah itu dengan ‘logik benar’ matematik.

Matematik telah lama terbukti sebagai salah-satu penyelesai masalah manusia.


Komputer sendiri adalah hasil daripada keajaiban matematik itu. Cuma,
masyarakat kita kurang ‘menggemari’ matematik, mungkin disebabkan oleh
kaedah pengajaran yang kaku dan membosankan. Matematik perlu diajar dan
dibaca sepertimana seseorang gemar membaca novel cinta. Júlio Cesar telah
membuktikan bahawa kaedahnya adalah antara yang terbaik dan terbukti
kepada 3 generasi selepasnya, bahawa matematik juga adalah satu seni dan
perlu dibaca!

Artikel ini disiarkan di Utusan Malaysia tahun 2007, bertajuk “Membaca


Matematik” .