Вы находитесь на странице: 1из 2

Bab 1

Malam yang cerah. Bintang berkelip banyak di langit. Bulan bulat bercahaya. Angin bertiup lembut.
Malam itu suasana nyaman sekali. Pohon-pohon meliuk-liuk ditiup angin. Masih dalam waktu maghrib.
Terdengar Tok Imam Leman sedang mengajar di surau Kampung Alur Batu. Surau dikebanyakan
kampung di sini berdindingkan buluh yang dibelah nipis-nipis dan dianyam. Ianya berlantaikan batang-
batang nibung yang dibelah dua. Surau di sini tinggi-tinggi belaka. Dibuat sebegitu rupa kerana
kebanyakan kampung di sini berhampiran dengan hutan, bagi mengelak daripada gangguan binatang
buas.

Di dalam cahaya lampu obor yang dibuat daripada damar yang tersangkut pada tiang-tiang dan dinding
surau itu, kelihatan Tok Imam Leman terbongkok-bongkok melihat kitab lusuh sambil tangannya dilurut-
lurut pada muka kitab itu. Sekali-sekala suara Tok Imam begitu lantang kedengaran. Ada lebih kurang
dua belas orang yang asyik mendengar pengajaran agama oleh Tok Imam itu. Pengajaran agama diajar
setiap lepas sembahyang maghrib pada setiap hari kecuali hari Khamis malam Jumaat. Pada waktu ini
mereka akan membaca Yaasin untuk mendapat keberkatan malam Jumaat.

Di dalam kegelapan malam, kelihatan kelibat satu makhluk bergerak-gerak di bawah surau itu.
Ternampak matanya berkelip-kelip bila sekali-sekala terkena cahaya lampu obor damar yang terpacak di
hujung tangga surau yang berhampiran dengan tempayan tempat basuh kaki para jemaah surau. Ianya
sebesar anak kambing dara. Dia berada di sebalik tiang surau sambil kepalanya tunduk seperti lembu
makan rumput. Sekali-sekala rupanya jelas kelihatan apabila dia bergerak-gerak dan terkena cahaya
obor. Seekor kancil dari hutan sebelah, rupanya. Dia mencari makan di kampung berhampiran hanya
pada waktu malam. Waktu inilah yang selamat kerana gelap dan orang tidak nampak.

Sudah menjadi kebiasaan Kancil mencari makan di bawah surau Kampung Alur Batu kerana di sini
terdapat pucuk-pucuk muda pokok kenduduk yang begitu banyak. Tetapi yang menjadi minat Kancil ke
sini kerana dekat dengan hutan. Kalau apa-apa terjadi sempatlah dia masuk ke dalam hutan. Setiap kali
Kancil mendengar Tok Imam Leman mengajar agama dia amat tertarik. Dia tidak tahu kenapa. Dia tidak
faham sepatahpun apa yang diperkatakan oleh Tok Imam itu. Tetapi dia tahu dia cukup berminat
mendengarkannya terutamanya ketika Tok Imam ada menyebut patah-patah ayat sambil berlagu yang
dia rasakan begitu hebat walaupun dia tidak tahu apakah yang disebut oleh Tok Imam itu.mungkin itulah
juga dia menjadi ketagih untuk mencari makan di bawah surau itu.

Apa yang menghairankan tidak ada seorang pun penduduk kampung itu yang sedar akan kehadiran
beberapa ekor binatang hutan termasuk Kancil mencari makan di kampung mereka. Mereka pergi
memburu ke dalam hutan, tetapi mereka tidak sedar hasil buruan mereka ada berhampiran dengan
mereka. Mungkin kerana waktu binatang hutan keluar mereka asyik belajar agama dan mengaji. Sebab
itulah kebanyakan guru-guru agama datang daripada kampung ini.

Malam ini langit cerah. Tiada sedikit awan pun yang melindungi bulan atau bintang di langit. Siang tadi
panas terik. Walaupun panas, namun angin sejuk sentiasa meniup kampung itu. Kancil asyik mencari
makan di bawah surau. Makmum di dalam surau asyik mendengar Tok Imam mengajar. Di langit bintang
dan bulan seolah-olah duduk berehat. Semuanya tidak menyedari akan kehadiran suatu cahaya
memanjang jatuh ke bumi. Cahaya yang berapi kemerah-merahan jatuh ke dalam sungai dihujung
kampung. Sungai itulah yang menjadi punca minuman penghuni rimba dan penghuni kampung dan desa
di situ. Bunyinya seperti pokok tualang tumbang ditebang. Kocakan air sungai sangat kuat kedengaran.
Kancil menegakan kepala dan terus meluru ke dalam hutan. Makmum dan imam di atas surau
berpandangan sesama sendiri. Ada yang meluru ke luar untuk mendapat maklumat. Tetapi semuanya
sepi selepas kejadian itu. Tiada siapa pun yang tahu apa yang terjadi.

Вам также может понравиться