You are on page 1of 3

Kejohanan Badminton MSS Daerah Beluran Mendapat

Sambutan
- Cungkil Potensi Pelajar Dalam Sukan Badminton Serta Mewakili
Daerah di Peringkat Bahagian Sandakan

Kejohanan Badminton Majlis Sukan-Sukan Sekolah (MSS) Daerah Beluran telah


dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beluran bagi mencungkil potensi
pelajar dalam sukan badminton serta mencari peserta untuk mewakili daerah ke
peringkat bahagian Sandakan yang akan diadakan di Daerah Kinabatangan. Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Beluran II telah dipilih bagi mengelolakan kejohanan
yang telah berlangsung selama tiga hari dengan jayanya. Kejohanan ini telah
berlangsung di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Beluran, atas sumbangan
pihak sekolah berkenaan bagi bersama-sama menjayakan Kejohanan Badminton
pada kali ini. Selain itu kerjasama daripada 18 orang pelajar aliran Sains Sukan dari
SMK Beluran II, sebagai sukarelawan sepanjang kejohanan turut membantu
melicinkan perjalanan kejohanan. Perkara ini secara tidak langsung memberi
manfaat kepada pelajar tersebut dalam mengaplikasikan teori pembelajaran kepada
situasi yang sebenar.

Siti Norita Dani Pengetua SMK Beluran II, dalam ucapannya menyatakan bahawa
penglibatan sekolah-sekolah dalam Kejohanan Badminton pada kali ini
membuktikan bahawa guru-guru begitu komited dalam mambangunkan potensi
pelajar bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang sukan.
Perkara ini terbukti apabila jumlah penyertaan dalam kejohanan pada kali ini
meningkat berbanding tahun sebelumnya. Sebanyak lima buah sekolah menengah
dan 13 buah sekolah rendah telah menyertai Kejohanan Badminton pada kali ini.

Majlis Perasmian dan Penutupan Kejohanan Badminton MSS Daerah Beluran telah
disempurnakan oleh Zainal Abidin Penolong Pegawai Pendidikan Daearh Beluran.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Ketua Unit Pembangunan dan Kemanusiaan,
Abdullahship serta Setiausaha Unit Sukan PPD Beluran, Malik Tajim. Berucap pada
majlis itu, Zainal Abidin memaklumkan bahawa PPD Beluran telah menggunakan
slogan terbaharu iaitu “Beluran Pantas Menerajui Perubahan” . Perkara ini selaras
dengan perubahan yang perlu dilakukan oleh semua pihak dalam menjadikan
bidang sukan terutama sukan badminton lebih bermutu dari segi pengajuran
mahupun mutu permainan pemain itu sendiri. Katanya lagi peserta yang terpilih
mewakili daerah perlu mempunyai matlamat yang lebih besar iaitu mara ke
peringkat yang lebih tinggi bagi memharumkan mana Beluran di peringkat negeri
mahupun kebangsaan.

Selaras dengan itu, Zaina Abidin menyatakan penghargaan terhadap pengelolaan


kejohanan yang dianggap berjaya dikelolakan dengan jayanya oleh SMK Beluran II.
Kejohanan pada kali ini turut menampilkan kualiti dari segi sistem pengadilan
dengan kehadiran Sanusi Ibrahim sebagai Refree Kehormat yang pernah mengadili
Kejohanan Badminton di Sukan SEA pada tahun 2017.

Kejohanan pada kali ini turut menggunakan sistem knock-out, menerusi sistem
tersebut peserta yang kalah akan terkeluar daripada permainan manakala pada
akhir pertandingan hanya ada satu pertemuan yang menentukan sang juara dalam
setiap kategori yang dipertandingkan. Sebanyak sembilan kategori yang telah
dipertandingkan di peringkat sekolah menengah manakala empat kategori di
peringkat sekolah rendah.

Bagi ketegori perseorangan perempuan bawah 12 tahun telah dimenangi oleh Siti
Nordiana Kamal dari SK Bingsulung. Kategori beregu perempuan bawah 12 tahun
dimenangi oleh pasangan Siti Nur Ardiana dan Siti Nur Arliana, juga dari SK
Bingsulung. Manakala bagi kategori perseorangan lelaki bawah 12 tahun telah
dimenangi oleh Mohamad Ixqwazudin Syah dari SK Jaya Bakti. Kategori beregu
lelaki bawah 12 tahun pula dimenangi oleh pasangan Mohd Rafli dan Mohd Yusup
Haslam dari SK Nangoh.
Syafinaz Ling Mohd Nawawi dari SMK Pamol mengungguli kategori perseorangan
perempuan bawah 15 tahun. Manakala pasangan Ema Sakinah Gulam dan Mas
Suhana Roslan dari SMK Beluran pula mengungguli kategori beregu perempuan
bawah 15 tahun. Bagi kategori perseorangan lelaki bawah 15, Mohd Rozaidiensyah
Junaidi dari SMK Beluran telah menjuarai ketegori tersebut. Manakala kategori
beregu lelaki bawah 15, sekali lagi Mohd Rozaidiensyah Junaidi dan adiknya Mohd
Rozaidi Junaidi menempah kejuaraan.

Bagi ketegori perseorangan perempuan bawah 18, telah dimenangi oleh


Noorsyariza Majin dari SMK Beluran. Kategori beregu perempuan bawah 18, pula
dimenangi oleh pasangan Noorsyariza Majin dan Audrey Cassandra Davit dari SMK
Beluran. Manakala bagi kategori perseorangan lelaki bawah 18 telah dimenangi oleh
Jeffrylee Jubili dari SMK Beluran. Bagi kategori beregu lelaki bawah 18 tahun juga
dimenangi oleh pasangan Jeffrylee Jubili dan Recasner Roland. Pasangan Mohd
Fadzly Bubung dan Norkafizah dari SMK Simpangan mengungguli kategori beregu
campuran bawah 18 tahun. Secara keseluruhanya SMK Beluran mengungguli
kebanyakan kategori yang dipertandingkan di peringkat sekolah menengah.

Penganjuran kejohanan pada kali ini secara langsung berjaya mengcungkil potensi
pemain dalam kalangan pelajar di Daerah Beluran. Kerjasama sekolah- sekolah yang
telah menyertai kejohanan membuktikan bahawa semua pihak komited dalam
mambangunkan bidang sukan amnya dan sukan badminton khasnya. Komitmen ahli
jawatankuasa pengelola kejohanan turut menyumbang kepada kejayaan dan
kelancaran kejohanan pada kali ini.