Вы находитесь на странице: 1из 3

Dinsman, Tekad Budaya 124 (19.5.

2019)
Membaca ayat 31 surah Yusuf yang luar biasa indahnya
Bulan Ramadhan kita melipatgandakan bacaan al-Quran. Bukan semata-mata membacanya tetapi
kita juga berusaha memahami dan menghayatinya. Suasana Ramadhan yang syahdu, berbeza
daripada bulan-bulan lain itu juga mendorong saya berusaha menulis puisi-puisi berinspirasi al-
Quran.

Antara surah-surah al-Quran yang paling menarik perhatian saya sebagai penulis kreatif ialah
surah Yusuf, iaitu surah cerita nabi yang paling tersusun sempurna dalam sebuah surah. Saya
sentiasa mengulangi membacanya dan telah menghasilkan beberapa tulisan kreatif berdasarkan
bacaan itu – puisi, cerpen, teater, dan ada sebuah monolog yang sedang dalam proses.

Namun membaca surah Yusuf bukanlah semata-mata kerana mengharapkan inspirasi untuk
menulis. Tanpa tujuan untuk menulis pun saya sering membacanya, kerana suka membacanya.
Ada beberapa ayatnya yang memang mempesonakan saya kerana keindahan estatikanya,
keindahan bunyinya, keindahan susunan kata-katanya.

Misalnya ayat ke-31 yang terjemahannya ialah: “Maka apabila dia mendengar cacian mereka itu
dia pun mengundang mereka dan menyediakan jamuan untuk mereka, dan diberinya tiap seorang
sebilah pisau dan dia berkata: Keluarlah kamu kepada mereka! Dan tatkala mereka melihatnya
semua tercengang mengaguminya sambil menghiris tangan sendiri dan berkata: Maha suci Allah!
Ini bukan manusia. Ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia.”

Dalam bahasa Arab semua itu adalah satu ayat sahaja. Keindahannya dalam bahasa Melayu
mungkin tidak terasa. Tetapi dalam bahasa Arab ia sangat indah:

“Falammaa sami‘at bimakrihinna arsalat ilaihinna wa-a’tadat lahunna muttaka-an, wa-aatat kulla
waahidatin minhunna sikkiinan waqaalat-ikhruj ‘alaihinna; falammaa ra-ainahuu akbarnahuu wa-qatto’na
aidiyahunna waqulna haasya lillaahi ma haazaa basyaraa, in haazaa illaa malakun kariim.”

Bunyi dan rentak bunyi perkataan-perkataannya yang banyak berulang-ulang itu, yang
menunjukkan seorang perempuan dan ramai perempuan – sami‘at, arsalat, a’tadat, aatat, qaalat dan
makrihinna, ilaihinna, lahunna, minhunna, ‘alaihinna dan ra-ainahuu, akbarnahuu – sangat cantik, sangat
indah.

Ia sebuah cerita, atau suatu episod lengkap dalam sebuah cerita, diceritakan oleh al-Quran dalam
satu ayat sahaja. “Maka apabila dia mendengar cacian mereka itu…” Ini sambungan
daripada ayat-ayat sebelumnya yang ‘dia’ itu bermaksud perempuan yang mencintai Nabi Yusuf,
iaitu Zulaikha, isteri kepada Menteri Al-‘Aziz, bapa angkat kepada Nabi Yusuf, yang
memeliharanya sejak kecil (setelah membelinya di pasar, dijual oleh orang-orang yang
memungutnya di telaga setelah dia dcampak oleh abang-abangnya) sehingga dia menjelang
dewasa.

Kini orang ramai di Mesir, terutama wanita-wanitanya, sedang heboh mengumpat mengata-ngata
Zulaikha bercinta dengan anak muda peliharaannya sendiri.

asa
Mendengar gossip cacian orang ramai itulah“dia pun mengundang mereka dan
menyediakan jamuan untuk mereka” di rumahnya. Dan ayat itu seterusnya: “dan diberinya
tiap seorang sebilah pisau dan dia berkata: Keluarlah kamu kepada mereka!” Maksudnya
setelah para undangannya tiba di rumahnya mereka dipersilakan duduk di tempat yang telah
disediakan, dan tiap seorang daripada mereka diberi sebilah pisau (mungkin untuk memotong
buah yang siap terhidang di depan mereka).

Al-Quran tidak menyebut adanya buah terhidang di hadapan para tetamu itu. (Jadi mungkin juga
pisau itu untuk memotong daging, atau lainnya). Al-Quran hanya menyebut: “dan dia berkata:
Keluarlah kamu kepada mereka!” Maksudnya, Zulaikha berkata kepada Yusuf: Keluarlah
kamu ke tengah-tengah para tetamuku itu.

Itu memang antara gaya penceritaan al-Quran. Ia tidak menceritakan secara rinci semuanya. Ada
bahagian-bahagiannya yang sengaja ditinggalkan, dan pembaca harus mencari sendiri maklumat-
maklumat yang sengaja tidak disebut itu, kerana sebab-sebab tertentu. Misalnya nama isteri
pembesar al-Aziz itu, watak penting dalam kisah ini, pun tidak disebut. Para ahli tafsirlah yang
mengkajinya dan menyebutnya bernama Zulaikha.

Dan ayat itu seterusnya: “Dan tatkala mereka melihatnya”. Maksudnya Yusuf pun keluar
berjalan ke tengah-tengah para tetamu itu, yang al-Quran tidak menyebut demikian. Al-Quran
langsung sahaja menyebut “falammaa ra-ainahuu akbarnahuu wa-qatto’na aidiyahunna”. “Dan tatkala
mereka melihatnya semua tercengang mengaguminya sambil menghiris tangan sendiri”.

Demikian al-Quran menggambarkan kehebatan lelaki yang paling tampan pernah dicipta Tuhan.
Perempuan-perempuan itu jadi terpesona melihatnya sehingga mereka tidak sedar yang mereka
menghiris jari-jari mereka sendiri dan tidak merasa sakit, dek terpesona dengan ketampanan lelaki
bernama Yusuf itu.

Dalam keadaan terpesona itu mereka melafazkan kata: “Maha suci Allah! Ini bukan manusia.
Ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia.”

Semuanya itu dalam satu ayat sahaja. Ayat 31 surah Yusuf. Perihal Zulaikha mendengar
perempuan-perempuan di bandar itu bergosip mengumpat dia bercinta dengan lelaki anak
angkatnya sendiri, lalu dia mengundang mereka ke rumahnya untuk suatu majlis jamuan dan di
majlis itu tiap seorang tetamunya itu diberi sebilah pisau, dan Zulaikha pun menyuruh Yusuf
keluar ke tengah-tengah mereka, dan ketika mereka melihat Yusuf mereka begitu terpesona
sehingga tidak sedar mereka menghiris jari tangan mereka sendiri sambil melafazkan kehairanan
apakah yang sedang mereka lihat itu manusia ataupun malaikat!

Satu ayat indah yang secara tersurat mencertakan suatu peristiwa besar dalam sejarah manusia,
iaitu ketampanan luar biasa seorang lelaki yang mempesonakan wanita-wanita yang melihatnya
sehingga mereka tidak sedar yang mereka menghiris jari tangan sendiri.

Manakala secara tersiratnya pula ayat itu membawa banyak cerita yang memerlukan renungan dan
kajian mendalam untuk kita memahaminya. Misalnya, pertama, sesungguhnya Yusuf adalah
seorang lelaki yang luar biasa ketampanannya, yang boleh menyebabkan wanita yang melihatnya
jadi terpukau dan tidak sedar diri.

asa
Maka bayangkanlah Zulaikha yang setiap hari berhadapan dan melihat kehebatan itu di depan
matanya. Mungkinkah Zulaikha tidak jatuh hati terhadap Yusuf? Dan seterusnya dan seterusnya
ada banyaklah lagi yang tersirat yang menyebabkan kita tidak akan jemu menegulangi
membacanya. Dan di sini saya hanya memfokus kepada keindahan susunan ayat berkenaan
sahaja.

Itu hanya satu contoh sebuah ayat yang sangat indah di dalam al-Quran. Saya hanya
menceritakan sebuah pengalaman sendiri. Tentulah ada banyak lagi ayat-ayat yang indah
sedemikian. Apakah anda tidak teruja untuk membaca dan mengulangi membaca sebuah buku
yang luar biasa hebatnya ini?

asa

Вам также может понравиться