Академический Документы
Профессиональный Документы
Культура Документы
Hari ini hari pertama Layla akan menduduki peperiksaan UPSR. Dia agak berdebar walaupun segala
persiapan telah dibuat sejak awal lagi. Layla harap dia akan lulus dengan cemerlang kerana Layla
yakin ini penentu masa depannya.Layla bangun lebih awal dari biasa. Selepas mandi dan solat
Subuh, Layla menyarung pakaiannya yang telah siap digosok ibunya. Dari dalam bilik, Layla dengar
bunyi cerek menjerit tanda air sudah masak. Pasti ibunya sedang menyiapkan sarapan pagi.Layla
keluar dari bilik dengan berpakaian kemas. Ibunya tersenyum melihatnya. Bangga betul Puan Hani
melihat Layla hari itu. Puan Hani yakin Layla akan lulus dengan cemerlang. Segala ilmu telah
dicurahkan kepada anak tunggal kesayangannya itu.Layla menuju ke kabinet dan mengeluarkan
uncang teh. Teko diambil dari rak, uncang teh dimasukkan ke dalam teko. Gula dituang beberapa
sudu, sama seperti yang diajar ibunya. Layla angkat cerek panas yang masih bertenggek di dapur.
Perlahan-lahan air panas dituang masuk ke dalam teko. Layla mengacau perlahan. Sesekali
kedengaran sudunya berlaga dengan teko. Layla memang sudah biasa tolong ibunya sediakan
sarapan pagi.
"Layla, makan karipap ni. Buat alas perut tu." Pesan Puan Hani yang baru sahaja selesai menggoreng
karipap. Layla mengangkat teko dan diletakkan di atas meja. Dia turut mengambil 2 biji cawan untuk
dia dan ibunya.
"Mama, boleh Layla tanya?" Soal Layla ketika dia menuangkan air teh ke dalam 2 biji cawan yang
diambilnya.
"Mama ingat lagi tak apa perasaan mama masa ujian UPSR dulu?" Puan Hani tersenyum
mendengarkan soalan anaknya itu.
"Mestilah mama ingat. Mama nervous juga. Tapi berkat latihan dan tunjuk ajar cikgu, mama tahu
mama boleh buat yang terbaik." Layla mengangguk-angguk. Dia tahu ibunya anak yatim piatu, jadi
hanya kepada guru sahajalah tempat Puan Hani bergantung untuk belajar dahulu.
"Mama yakin Aiman akan lulus dengan cemerlang. Kan Mama dah ajar semua yang mama tahu?"
Layla senyum. Dia menyuap sebiji karipap ke dalam mulutnya.
"Kan bagus kalau Papa masih ada." Keluh Layla perlahan. Wajah Puan Hani berubah. Dia tahu Layla
rindukan ayahnya. Ayahnya, Khairil meninggal dunia sewaktu sedang menjalankan tugas. Tetapi
Puan Hani tahu, Khairil mati kerana mempertahankan negara.
"Layla, papa mesti bangga dengan Layla. Percayalah cakap mama. Dia mesti nak Laylajadi macam dia
jugak. Layla doakan yang baik-baik untuk ayah ya?" Pujuk Puan Hani.
Selesai bersarapan, Layla mula mengemas barang apa yang patut dibawa. Dia tidak mahu tercicir
apa-apa ketika ujian nanti. Puan Hani turut membantu memeriksa segala peralatan yang akan
dibawa Layla.
UPSR
Sebelum Layla meninggalkan rumah, Puan Hani menyarungkan baju kalis peluru di tubuh Layla. Dia
memeluk Layla erat. Air matanya bergenang.
"Mama saying Layla. Mama dah ajar semua teknik terus hidup yang mama tahu masa mama ujian
dulu." Puan Hani mengucup pipi anaknya itu.Layla turut membalas pelukan ibunya.
"Mama jangan risau, Layla akan pastikan Layla lulus ujian UPSR ni." Layla mengucup pipi ibunya. Dia
akan pastikan dia lulus cemerlang seperti ibu dan ayahnya jika dia mahu teruskan hidup kerana dia
tahu akan ada yang mati sewaktu ujian sedang berlangsung.
Tahun itu tahun 2160. UPSR di Malaysia sudah jadi Ujian Pertahanan Sekolah Rendah. Tiada lagi
pensel dan kertas untuk ditulis bagi mengukur pencapaian akademik kanak-kanak 12 tahun. Yang
ada hanyalah peluru dan pistol. Yang mahir akan terus diserap bekerja demi mempertahankan
negara, yang gagal pula akan dibunuh atau menjadi hamba abdi orang-orang kaya.
TAMAT