Вы находитесь на странице: 1из 7

TAJUK : Disiplin Sekolah Semakin Merosot.Bincangkan.

PENGENALAN
  “ 400 pelajar dikenal pasti langgar disiplin ”, “  Ibu bapa patut bantu sekolah atasi gejala
sosial ”, “  Buli gugat semangat belajar ” dan “ Kerjasama penting bagi banteras
gangsterisme”.  Begitulah antara tajuk-tajuk berita yang terpapar di dada  akhbar-akhbar
tempatan pada masa kini.  Berita-berita seperti ini membayangkan  kemerosotan  disiplin
pelajar dan masalah disiplin di sekolah-sekolah pada masa kini memang  amat serius
sehingga mencapai tahap yang membimbangkan .Walaupun pelajar sekolah diajar supaya
menerima nilai-nilai murni tetapi nampaknya ini semua hanya retorika semata-mata. 
Pelajar merupakan elemen atau aset penting dalam  negara dan bakal menjadi pemimpin
negara pada masa hadapan. Merekalah yang akan terus melaksanakan program pembangunan
negara untuk mencapai Wawasan 2020.Pembangunan negara yang pesat dalam sektor
ekonomi, sosial dan budaya serta perkembangan teknologi maklumat telah membawa
bersama gejala sosial yang negatif di kalangan remaja sekolah.  Keruntuhan akhlak dan nilai-
nilai moral serta gaya hidup yang tidak sihat telah memberi kesan yang buruk kepada
keluarga, masyarakat dan negara.
Masalah disiplin di sekolah  kini telah menjadi lebih  kompleks dengan kewujudan kes
pelajar yang terlibat dalam aktiviti pemujaan serta ajaran sesat yang dikenali ‘Black Metal’.
Hakikatnya jelas dapat dilihat dengan bertambahnya bilangan pelajar yang terlibat dalam kes-
kes disiplin seperti ini serta penambahan bilangan jenis salahlaku yang dilakukan oleh
pelajar-pelajar. 
 

KONSEP DAN DEFINISI DISIPLIN


Disiplin merupakan peraturan atau undang-undang yang bertujuan untuk membentuk para
pelajar selari kehendak agama ,norma-norma masyarakat dan undang-undang sesebuah
negara. Namun begitu sesuatu yang mulia tidak mudah diterima oleh golongan pelajar, apatah
lagi banyak unsur lain mempengaruhi perkembangan mental mereka. Gejala seperti ponteng
sekolah, melawan guru, bersikap antisosial(peraturan), bergaduh,membuli, merokok dan
sebagainya adalah masalah yang sering diperkatakan. Mengikut kamus Oxford Advanced
Learner’s, disiplin didefinisikan sebagai:
“ … is the practice of training people to obey rules and orders and punishing them if they do
not”
Mengikut Kamus Bahasa Melayu terbitan Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd.
(1995) mendefinisikan disiplin sebagai “ kepatuhan, kesetiaan dan ketaatan kepada peraturan-
peraturan yang ditetapkan”.  Manakala mengikut Kamus Dewan Edisi Baru Terbitan DBP,
KL (1989) mendefinisikan disiplin sebagai “Latihan terutamanya pemikiran dan kelakuan
supaya boleh mengawal diri sendiri mengikut peraturan yang ditetapkan dan sekiranya ini
berlaku sebaliknya hukuman atau denda dikenakan”.
Mengikut Barbara An Kipter, Ph.D dalam Roger’s 21st Century Thesaurus, beliau
mengatakan disiplin itu adalah “latihan dan dendaan (Training and punishment)”.
Terdapat 3 kategori masalah disiplin atau kesalahan iaitu berat, sederhana dan ringan.
Kesalahan disiplin yang berat dan sederhana akan dimaklumkan kepada ibubapa untuk
perhatian dan tindakan. Kesalahan-kesalahan yang ringan dan yang lebih berat sepatutnya 
direkodkan. 
 

PONTENG SEKOLAH
Sejak kebelakangan ini, peningkatan kadar masalah disiplin di sekolah-sekolah Malaysia
yang mendadak menimbulkan tanda tanya dan membingungkan kepada pelbagai pihak
mengenai punca sebenar berlakunya fenomena ini. Kes ponteng sekolah terutamanya
mencatat bilangan yang tertinggi berbanding dengan kes-kes disiplin yang lain. Gejala
ponteng sekolah di kalangan pelajar-pelajar sekolah bertambah dengan kadar yang serius
bagai “ cendawan tumbuh selepas hujan ” walaupun berbagai-bagai langkah telah
dilaksanakan bagi menangani masalah ini. 
Sebenarnya, punca utama wujudnya amalan ponteng sekolah adalah bermula oleh masalah 
keluarga seseorang pelajar itu sendiri. Timbulnya pertelingkahan antara ibu dan bapa
menyebabkan kebajikan anak-anak terabai. Segala tindak-tanduk anak-anak mereka di luar
rumah dan di sekolah tidak diambil berat. Ketandusan kasih sayang dan ledakan tekanan pada
diri seseorang pelajar datang daripada keluarga bermasalah akan menyebabkan mereka cuba
ponteng sekolah. Ini menunjukkan keruntuhan institusi keluarga mempengaruhi masalah
disiplin di kalangan pelajar . Dalam sesebuah keluarga yang mempunyai ibu bapa yang
bersikap materialistik seumpamanya, amalan untuk mengambil berat kebajikan dan keperluan
anak-anak telah diambil alih oleh sikap yang ingin mengejar kebendaan semata-mata. Anak-
anak mereka dipinggir dan kasih sayang yang sepenuhnya tidak diberikan. Masalah di atas
adalah selari dengan teori fungsionalisme (Durkheim dan Spencer) di mana ibu bapa tidak
menjalankan tugas mereka dengan sempurna (disfungsi).  Jadi tidak hairanlah jika anak-anak
memilih untuk ponteng sekolah dan bergaul dengan rakan-rakan luar sekolah yang dianggap
lebih rapat dengan mereka. 
 
 

KONGSI GELAP (GANGSTERISME) DI SEKOLAH


Mengikut Kamus Dewan edisi ke 3 Dewan Bahasa dan Pustaka 1996 hlm 700, Kongsi gelap
didefinisikan sebagai “Perkumpulan sulit dalam sesuatu kegiatan untuk maksud atau kegiatan
jenayah”.
Menurut Pengerusi Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal Ehwal Pengguna
Negeri Johor, En Ng Ching Sea, keadaan kongsi gelap di Johor adalah pada tahap kritikal.
Mengulas perkara tersebut beliau berkata; 
" Masalah kongsi gelap di Johor kini sudah pada tahap kritikal dan memerlukan pendekatan
bersepadu daripada agensi kerajaan dan masyarakat untuk memeranginya sehingga ke akar
umbi." 
                                            (Utusan Malaysia 20 Feb 97)
Penglibatan pelajar dalam kegiatan ini turut mendapat perhatian orang ramai yang membantu
dengan memberi maklumat kepada pihak Biro Aduan dan Penyelidikan Ekonomi Majlis Hal
Ehwal Pengguna Negeri Johor berkenaan mereka yang terlibat di dalam kumpulan haram ini.
Laporan akhbar Utusan Malaysia pada 19 Februari 1997 yang memetik kenyataan Saudara
Ng Ching Sea, melaporkan bahawa terdapat 560 orang pelajar dari 39 buah sekolah
menengah di seluruh negeri Johor terlibat dengan 22 kumpulan kongsi gelap. Laporan
tersebut menggambarkan betapa seriusnya masalah penglibatan pelajar sekolah di dalam
kegiatan kongsi gelap khasnya di Johor. 
 Menurut William Gladden Foundation (1992), empat faktor utama yang merangsang
pembentukan kumpulan kongsi gelap di kalangan pelajar adalah:
 

Remaja mengalami perasaan terasing dan tidak berdaya disebabkan kurangnya struktur
sokongan tradisi seperti keluarga dan sekolah. Situasi ini akan membawa kepada perasaan
kecewa dan tegang lalu mendorong kepada usaha mendapatkan sokongan di luar institusi
tradisional. 
Keanggotaan kongsi gelap memberikan remaja perasaan "sense of belonging" dan menjadi
sumber utama penampilan identiti oleh ahli-ahli mereka. Seterusnya, keahlian tersebut
menjadikan remaja merasakan diri mereka berkuasa dan menguasai di mana kegiatan
kumpulan akan menjadi tempat mereka melepaskan kemarahan atau pun ketegangan. 
Kawalan kawasan adalah perlu demi keutuhan kumpulan di mana kekerasan sering
digunakan untuk mengawal kawasan dan ahli-ahlinya. Pengrekrutan ahli baru dan pengluasan
kawasan pengaruh adalah penting untuk mengukuhkan kekuatan dan kekuasaan kumpulan.
Maka, kemasukan ahli secara sukarela atau paksa dilakukan untuk menampung keperluan
dengan penambahan sumber dan keahlian kumpulan. 
Keempat-empat faktor di atas saling menyumbang kepada kewujudan kongsi gelap yang
lebih berkuasa dan kejam seiring dengan usaha mereka untuk mengekalkan dan
mengembangkan pengaruh di kawasan dan dikalangan remaja secara lebih luas. 
Selain daripada itu, ada juga beberapa penambahan dari segi punca-punca pelajar atau pun
remaja menyertai kumpulan haram atau kongsi gelap menurut pandangan Schmidt dan
Lunghofer (1993) iaitu: 
a. Mencari kasih sayang, struktur dan disiplin berasaskan kefahaman mereka. 
b. Perasaan komitmen dan "sense of belonging”, dikagumi dan kekuasaan.
c. Persahabatan, latihan, keseronokan dan aktiviti. 
d. Tempat di mana diri dirasakan diterima dan dihargai. 
e. Keperluan kepada keselamatan fizikal dan perlindungan. 
 
 

BAHAN LUCAH
Kebelakangan ini, laporan akhbar atau televisyen yang menyatakan pelajar dirogol atau
menjadi perogol yang mana rata-rata mereka ini berumur dalam lingkungan umur 10 hingga
18 tahun yang masih dibangku sekolah. Tidak hairanlah jika mereka ini berani membawa
bahan lucah ke sekolah untuk dikongsi bersama rakan lain malah mereka berani melakukan
perbuatan yang tak senonoh dan terkutuk itu di dalam tandas atau mana-mana tempat di
kawasan sekolah. Hal ini berlaku tidak lain disebabkan oleh faktor pengaruh bahan lucah
yang murah dan mudah diperolehi .
Baru-baru ini kita dikejutkan oleh laporan akhbar, ‘ Ibu bapa dan anak kongsi bahan
lucah’(Berita Harian: 22 Oktober 2001). Laporan di atas bedasarkan kajian sekumpulan
penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) ke atas 381 murid Tahun 6 dari mukim Ulu
Tiram, Kulai dan Kota Tinggi mendapati perbuatan tidak bermoral ibu bapa antara faktor
yang mendedahkan kanak-kanak terbabit kepada bahan dan unsur lucah.Walaupun
penguatkuasaan telah dijalankan oleh pihak kerajaan  VCD lucah masih lagi yang boleh
dibeli di pasaran terbuka seperti pasar malam dengan hanya RM3 sahaja setiap satu. Mereka
sering menonton ‘aksi’ yang boleh menaikkan nafsu seterusnya ia akan mendorong mereka
ini untuk melakukan perbuatan merogol dan membunuh.
Oleh sebab kebanyakan mereka dalam lingkungan umur persekolahan, pihak sekolah, ibu
bapa, polis, dan masyarakat tidak boleh memandang masalah ini dengan ringan, malah
sesuatu yang berkesan perlu dilakukan segera untuk membendung gejala yang amat
membimbangkan ini. Pihak penguatkuasa undang-undang juga bertanggungjawab terhadap
penguatkuasaan yang kurang berkesan. Pengusaha tempat hiburan yang hanya mementingkan
keuntungan dan tidak mempedulikan soal moral dan etika juga bertanggungjawab terhadap
gejala yang membimbangkan tersebut. . Oleh yang demikian, penguatkuasaan perlu
ditingkatkan dan diketatkan, dan pengusaha pula kembali memikirkan tindakan mereka demi
masa depan generasi muda. 
“Remaja dalam lingkungan umur 14 hingga 18 tahun terlibat dalam persembahan Hip Hop di
pusat hiburan di ibu kota. Sekumpulan remaja perempuan berpakaian seksi , seperti baju
sendat bertali halus, berpeluk-pelukan di khalayak ramai.Mereka ini bercampur bebas dan
berkucupan tanpa segan silu. Lirik lagu Hip Hop menggalakkan seks bebas, kelucahan
melampau dan keganasan. “
                             Laporan Berita Harian 17 Julai 1999 ( Sabtu ) ,
Seorang komposer dan penggubah lagu terkenal tanahair iaitu, M.Nasir (Berita Minggu 26
September 1999) berpendapat pembaratan Muzik Malaysia sudah berlaku sejak zaman
penjajahan Barat terhadap Asia Tenggara lagi. Kini terbuktilah budaya kebaratan ini semakin
menular dan remaja menjadi mangsa mereka. Langkah sewajarnya perlu diambil agar hal
sebegini tidak semakin menular. Kesan yang besar kepada negara di masa hadapan kerana
golongan inilah yang akan menyambung warisan kemajuan serta kemakmuran yang dikecapi
selama ini.

PERBINCANGAN:
FAKTOR-FAKTOR UTAMA
 Banyak faktor yang menyebabkan masalah kemerosotan disiplin pelajar pada masa kini
berlaku. Punca utama ialah pengaruh media massa. Filem, suratkhabar, majalah, dan
televisyen yang menonjolkan budaya kuning amat mudah diikuti oleh para pelajar. Babak
ganas dan seks akan menjadikan fikiran remaja keras dan rakus. Hal ini tidak dapat dinafikan
kerana usia mereka yang rata-rata berusia antara 12 hingga 20 tahun masih dianggap mentah. 

Selain itu, kemerosotan disiplin para pelajar juga terjadi kerana masalah keluarga. Ayah dan
ibu sering berkelahi di hadapan anak-anak dan pada waktu yang sama mengharapkan anak-
anak mereka berjaya dalam pelajaran. Sesetengah ibu bapa pula menyerahkan soal disiplin
sepenuhnya kepada pihak sekolah, sedangkan pada hakikatnya pembentukan moraliti
seseorang itu bermula di rumah.
Sesetengah pelajar pula menjadikan sekolah sebagai tempat untuk melupakan segala masalah.
Namun, keadaan di sekolah bukanlah seperti yang diimpikan oleh ibu bapa. Guru memang
ingin membantu masalah yang dihadapi oleh pelajarnya, tetapi jumlah pelajar yang ramai di
dalam sebuah kelas menyebabkan kesempatan guru terbatas.
Hukuman atau denda yang dikenakan kepada sesesorang pelajar juga merupakan faktor yang
menyebabkan seseorang pelajar itu menjadi semakin liar. Pihak sekolah perlu menggunakan
pendekatan psikologi apabila berhadapan dengan pelajar-pelajar yang tidak berdisiplin.
Namun begitu, ini juga tidak menyelesaikan masalah kerana para pelajar tidak akan takut jika
sesuatu kesalahan dihukum dengan nasihat sahaja.
Pengaruh rakan sebaya juga turut mempengaruhi disiplin para pelajar merosot. Ada pelajar
yang masih berkawan dengan rakan yang tidak bersekolah. Mereka yang tidak bersekolah ini
mungkin kerana keciciran dalam pelajaran ataupun sudah menamatkan alam persekolahan
akan berlagak dewasa dengan menghisap rokok, berpakaian tidak senonoh, dan melakukan
sesuatu tindakan untuk menarik perhatian. 
Keadaan ini akan menjadi lebih buruk lagi bagi pelajar miskin. Kedua-dua ibu bapa sibuk
mencari nafkah, si anak akan terbiar dan memilih haluan sendiri. Pelajar ini mempunyai
perasaan rendah diri. Bagi menunjukkan diri mereka hebat dan berkemampuan, peraturan
yang ditetapkan oleh pihak sekolah tidak diikuti.
Sebenarnya masalah kemerosotan disiplin saling berhubung kait. Oleh itu, tidak wajar jika
sesetengah pihak sahaja yang dipersalahkan. Para pelajar, ibu bapa, dan guru mestilah
memainkan peranan mereka masing-masing.
Negara kita menghadapi masalah kekurangan guru lelaki di mana fenomena ini mungkin
menjadi salah satu punca kemerosotan disiplin.  Nisbah antara guru lelaki dengan guru
perempuan pada kadar 4:6. (Berita Harian :19 Julai 1999) . Keadaan yang lebih meruncing
sangat dirasai di sekolah rendah dan menurut Kementerian Pendidikan, fenomena kekurangan
guru lelaki akan berterusan dalam beberapa tahun yang akan datang kerana jumlah guru
pelatih perempuan di maktab perguruan melebihi jumlah guru pelatih lelaki. Begitu juga di
peringkat universiti , di mana kaum lelaki amat tidak begitu berminat untuk menceburi
bidang pendidikan.
Sememangnya hal disiplin pelajar biasanya diserahkan kepada guru lelaki yang bermisai
lebat dan berwajah garang. Apabila orang lelaki semakin menghindari profesion ini, ada
pendapat yang menyatakan bahawa tahap disiplin pelajar hari ini semakin merosot. 

KESAN
  Berdasarkan kajian yang telah dilakukan di Amerika Syarikat pada tahun 1993 didapati
bahawa sekalipun penyertaan remaja atau pelajar di dalam kegiatan kumpulan haram
meningkat sebanyak 10 peratus namun, laporan jenayah remaja yang melibatkan kumpulan
haram tersebut adalah kurang daripada 2 peratus (Bodinger-deUriarte, 1993). 
Sekalipun perangkaan yang ditunjukkan adalah rendah namun satu perkara yang pasti ialah
kumpulan-kumpulan haram tersebut memainkan peranan yang utama dengan merebaknya
kegiatan salah laku di sekolah. 
  Kajian oleh National Institute of Education di Amerika Syarikat menyatakan bahawa
terdapat peningkatan keganasan atau salah laku di sekolah sejak 1978 di mana pelajar-pelajar
sekolah adalah pada risiko yang tinggi untuk menjadi mangsa keganasan di sekolah
berbanding di tempat-tempat lain (Gaustad, 1991). Ini menunjukkan sekolah bukan lagi
tempat yang selamat sekiranya wujud kegiatan kumpulan kumpulan haram oleh pelajar-
pelajar mereka. 
Secara ringkasnya kita dapat menyatakan bahawa implikasi masalah disiplin di sekolah
ialah: 
a. Wujudnya kegiatan salah laku seperti peras ugut, pergaduhan dan sebagainya. 
b. Risiko yang tinggi kepada pelajar-pelajar lain untuk menjadi mangsa mereka. 
c. Persekitaran yang tegang di kalangan pelajar-pelajar kerana merasa terancam. 
d. Menjejaskan imej dan kredibiliti sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan. 
e. Menjejaskan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit. 

   Menilai aspek-aspek yang telah diketengahkan, maka adalah penting bagi kita menangani
permasalahan disiplin di kalangan pelajar sekolah mahu pun pusat pengajian yang lebih
tinggi demi menjamin keutuhan sekolah sebagai agen sosial yang berwibawa dan dihormati.
Prosedur pencegahan yang sistematik dan berkesan berasaskan pertimbangan punca-punca
penglibatan pelajar kepada masalah disiplin ini adalah perlu demi memelihara masa depan
yang positif kepada pelajar, sekolah dan masyarakat itu sendiri. Oleh itu kerjasama bersepadu
antara pelajar, sekolah, pihak berkuasa dan masyarakat adalah perlu ke arah pelaksanaan
program pencegahan yang berkesan serta menyeluruh.
 

CADANGAN
1. Laporan serta kerjasama daripada masyarakat amat diperlukan bagi menangani masalah
ini.
2.    Program Integrasi Negeri Tangani Anti Sosial (PINTAS) adalah program yang
dicadangkan untuk meningkatkan disiplin dan kawalan salah laku pelajar di sekolah. Kaedah
pelaksanaan program ini dibuat agar sesuai dengan pelbagai kes salah laku pelajar di sekolah.
Antara jenis-jenis salah laku pelajar ialah ponteng sekolah , merokok, melawan guru,
bertumbuk dan sebagainya.
3.  Perkhidmatan Bimbingan  & Kaunseling – Guru pakar dalam bidang ini perlu dilatih agar
dapat menjalankan tugas dengan baik bagi tujuan memberi nasihat serta dorongan agar
mereka yang terlibat dalam masalah disiplin ini akan insaf dan seterusnya mengikut peraturan
sekolah yang ditetapkan . Adalah menjadi harapan negara pelajar yang tamat dari sekolah-
sekolah seluruh negara mempunyai tahap disiplin yang baik. Ini kerana mereka inilah yang
akan membangunkan negara pada masa akan datang. 
4.  Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah & Disiplin di sekolah wajar dan patut diberi
sokongan sepenuhnya. Kementerian Pendidikan memberi kebenaran untuk penubuhan kelab
seperti ini yang bertujuan untuk melatih dan memberi kesedaran di kalangan pelajar tentang
pelbagai aspek jenayah dan pencegahannya. Melalui penerapan nilai moral yang baik dan
penekanan kepada pentingnya sikap yang jujur.
5.    Walau apa pun program yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah disiplin ini, namun
yang paling penting adalah peranan ibubapa. Ibubapa perlu meluangkan masa bersama anak-
anak dan sentiasa mendorong mereka dan cuba menyelesaikan segala masalah yang
dihadapi. 

PENUTUP
Para guru harus sedar bahawa pelajar yang ada sekarang berbeza dengan pelajar pada zaman
60-an dan 70-an dulu. Pelajar dulu takut dan hormat kepada guru, mempunyai hala tuju yang
jelas dalam belajar, tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pihak, bercita-cita tinggi selain
daripada dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh dengan kasih sayang, hormat
menghormati di samping tidak terlibat dalam arus mengejar kebendaan semata-mata. 
Pelajar dulu kaya dengan nilai-nilai budaya Timur yang mengutamakan nilai menghormati
mereka yang lebih tua. Kata-kata guru dianggap keramat, teguran guru ibarat nasihat. Paling
penting, pada waktu dulu para pelajar tidak terdedah dengan pelbagai bentuk budaya asing
dan popular yang bisa menghakis nilai-nilai ketimuran yang mulia. Dulu, rotan adalah senjata
yang paling berkesan untuk merawat salah laku pelajar. Apa yang berlaku sekarang sudah
amat jauh bezanya. 
Sekolah dan golongan guru mesti menerima hakikat bahawa pelajar sekarang lebih lantang
dan sedar akan hak yang melindunginya sebagai pelajar. Mereka adakalanya berani mencabar
kewibawaan sekolah.  Oleh itu, kaedah-kaedah tradisional seperti dengan memarahi, merotan,
menggantung dan membuang sekolah sudah tidak sesuai lagi dengan kemelut disiplin
sekarang. 
Sekolah perlu mewujudkan iklim yang cukup selesa untuk para pelajar menimba ilmu
sehingga tidak ada ruang langsung pun untuk pelajar berasa tidak puas hati dan
mendorongnya untuk memberontak. Percayalah, masalah disiplin yang berlaku di kalangan
pelajar sekarang banyak berpunca daripada masalah keluarga serta kegagalan guru
mempersembahkan yang terbaik untuk para pelanggannya iaitu para pelajar.

SENARAI  RUJUKAN

Amir Hasan Dawi 1999, Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan, Quantum Books ,
          Tanjong Malim.
Ee Ah Meng1995, Pendidikan Sebagai Satu Proses, Fajar Bakti Sdn. Bhd.Kuala Lumpur. 
Kamarudin Hj.Husin1994, Asas Pendidikan 1, Longman Malaysia Bhd. Kuala Lumpur. 
Noraini Ahmad 1995, Kaunseling Remaja, Budaya Ilmu Sdn.Bhd. Petaling Jaya.
Ting Chew Peh 1997, Konsep Asas Sosiologi, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Wan Azmi Ramli1978, Masyarakat Satu Kajian Ilmiah Dalam Kontek  Kebajikan Am, 
          Utusan Printcorp Sdn. Berhad, 
W.S Winkel 1987, Psikologi Pengajaran, Penerbit PT Gramedia, Jakarta. 
Lain-lain rujukan:
Utusan Malaysia 14 Ogos 1996
Utusan Malaysia 17 Julai 1999
Berita Harian 19 Julai  1999
Berita Harian 7 April 2001
Berita Harian 7 September 2001
Berita Harian 11 September 2001
Berita Harian 12 September 2001
Berita Harian 17 September 2001
Berita Harian 22 Oktober 2001
 Sumber  Internet

Вам также может понравиться