Вы находитесь на странице: 1из 4

Keputusan Kes Cerai Fasakh Mastura 27 Januari

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Mohd Yunus Mohamad Zin di sini
menetapkan 27 Januari ini untuk membuat keputusan kes tuntutan cerai fasakh Mastura Bakar terhadap suaminya,
Datuk Muhamad Mustafa Idrus.

Peguam Syarie Roslizam Rahim yang mewakili Mastura memohon penangguhan untuk memfailkan hujahan bertulis
sebelum atau pada 20 Januari ini.

Bagaimanapun, defendan tetap tidak hadir pada prosiding hari ini.

Menurut Roslizam, beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai Mustafa kerana tiada sesiapa yang
menghubungi lelaki itu.

Dalam pada itu, Mohd Yunus menganggap Mustafa tidak berminat untuk membuat pembelaan.

Mastura, 24, sebelum ini mengemukakan tuntutan fasakh di bawah Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga
Islam (Wilayah Persekutuan) terhadap Mustafa, 54, seorang ahli perniagaan dan juga bekas suami kepada penyanyi
popular lagu-lagu etnik, Noraniza Idris. Tuntutannya itu difailkan pada April tahun lalu.

Pada 5 Januari lalu, Mastura mendakwa Mustafa pernah meniduri lebih 10 wanita sepanjang perkahwinan mereka,
tidak adil dalam berpoligami dan banyak berfoya-foya.

Dia juga mengaku merupakan isteri keempat kepada ahli jawatan kuasa Umno Tasek Gelugor itu.

Namun, wanita itu hanya mengetahui tentang statusnya itu semasa mahu melahirkan anak sulung mereka.

Suaminya turut berkahwin dengan tiga wanita termasuk Noraniza Idris.

Mastura dan Muhamad Mustaffa bernikah pada 3 Jun 2005 di Masjid Pengkalan Hulu, Perak dan dikurniakan tiga
anak berusia dua hingga lima tahun.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?
file=/2010/1/13/mstar_berita/20100113122112&sec=mstar_berita
Antara Cerai Fasakh atau Cerai Taklik
21 Disember 200
Isteri hadapi masalah bawa kes ke Mahkamah Syariah dinasihat ambil peguam syarie

Soalan:
SAYA sudah memfailkan tuntutan cerai di Mahkamah Syariah. Suami hadir dan menyatakan dia tidak
bersetuju dengan tuntutan itu. Kes saya ditangguhkan ke Disember untuk memberi peluang kepada
saya meminda tuntutan kepada cerai fasakh atau cerai taklik. Masalahnya saya tidak tahu apakah
beza antara cerai fasakh dan taklik ini dan yang manakah yang kuat untuk saya bercerai dengan
suami. Harap penjelasan tuan boleh membantu.
Puan Haidar,
Shah Alam.
Jawapan:
ADA banyak jenis perceraian dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam antaranya perceraian
dengan talak (secara persetujuan bersama), perceraian dengan kuasa hakam, perceraian khulu’
(tebus talak), perceraian taklik atau janji, perceraian dengan li’an, perceraian fasakh, perceraian luar
mahkamah dan perceraian akibat murtad.
Permohonan cerai di mahkamah perlu penuhi peruntukan Seksyen 45 Enakmen Undang-undang
Keluarga Islam contohnya Seksyen 45 (a), (b) dan (c) EUUKI Selangor 2003 memperuntukkan:

“Kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya dengan nyata, tiada apa-apa juga dalam Enakmen ini
membolehkan mahkamah membuat sesuatu perintah perceraian atau perintah mengenai perceraian
atau membenarkan seseorang suami melafazkan talak kecuali:

(a) jika perkahwinan itu didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan mengikut enakmen ini; atau

(b) jika perkahwinan itu dilangsungkan mengikut hukum syarak; dan

(c) jika pemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan pada masa permohonan itu diserahkan
adalah dalam Selangor

Perkataan ‘perintah perceraian’ dalam seksyen 45 adalah merujuk kepada perintah perceraian yang
dibuat dengan kuasa mahkamah, seperti perintah perceraian secara fasakh atau taklik.

Fasakh mengikut Seksyen 2 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam didefinisikan sebagai
pembubaran nikah disebabkan sesuatu hal keadaan yang diharuskan oleh hukum syarak mengikut
seksyen 53.

Ada banyak alasan membolehkan mahkamah membenarkan tuntutan cerai fasakh iaitu suami hilang
atau ghaib lebih setahun, suami cuai atau tidak memberi nafkah zahir selama tiga bulan, suami
dipenjarakan selama tiga tahun atau lebih, suami tidak menunaikan nafkah batin selama setahun.

Alasan lain, suami mati pucuk, gila selama tempoh dua tahun atau hidap kusta, vitiligo atau hidap
penyakit kelamin yang berjangkit dan isteri yang dikahwinkan wali mujbir sebelum dia baligh dan dia
menolak perkahwinan itu, dengan syarat dia belum disetubuhi.

Suami menganiayai isteri dengan lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita, suami
berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut hukum syarak, memaksa
isteri hidup secara lucah, melupuskan harta isteri atau melarang isteri daripada menggunakan haknya
terhadap hartanya.
Suami menghalang isteri daripada menjalankan kewajipan agamanya, berpoligami yang tidak berlaku
adil terhadap isterinya, sengaja enggan menyetubuhi isterinya lebih daripada empat bulan. Menikahi
isteri secara tidak sah ketika akad nikah, sama ada dengan sebab paksaan, kesilapan, tidak sempurna
akal atau lain-lain yang diakui hukum syarak.

Jika ketika akad nikah, isteri seorang yang sakit otak menurut Ordinan Sakit Otak 1952, sama ada
berterusan atau selang-seli, dan sakit otaknya dalam kategori yang tidak layak untuk berkahwin serta
apa-apa alasan lain yang diiktiraf hukum syarak.

Beban pembuktian adalah terletak kepada plaintif untuk membuktikan salah satu atau lebih, alasan
fasakh itu. Cuma dalam kes membabitkan nafkah, beban bukti adalah ke atas suami yang perlu
membuktikan dia ada memberi nafkah kepada isterinya.

Cerai taklik berdasarkan peruntukan Seksyen 50 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam ialah lafaz
perjanjian yang dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut hukum syarak dan peruntukan
undang-undang.

Pihak yang menuntut cerai taklik perlu berkahwin menurut hukum syarak dan mempunyai sijil nikah
yang mempunyai surat perakuan taklik yang dilafazkan dan ditandatangani oleh suami sejurus selepas
akad nikah.

Lafaz taklik negeri adalah berbeza antara satu negeri dengan negeri lain. Hanya isteri boleh menuntut
cerai taklik. Lafaz taklik perlu dibaca dan ditafsirkan secara keseluruhan, bukan separuh atau sekerat
saja.

Beban pembuktian terletak kepada isteri untuk membuktikan suaminya ada melafazkan taklik itu dan
membuktikan suaminya sudah melanggar janjinya dalam surat perakuan taklik itu.

Puan perlu meneliti dan mengkaji semula adakah alasan puan menuntut cerai itu memenuhi kriteria
tuntutan fasakh atau taklik sebagaimana yang dinyatakan di atas. Kuat atau tidak tuntutan cerai
bukan terletak pada nama atau sifat perceraian itu, tetapi terletak kepada cara anda membuktikan
tuntutan dan dakwaan di mahkamah.

Dalam perundangan Islam, beban pembuktian ditanggung oleh pihak yang menuntut sebagaimana
hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Keterangan (pembuktian) ditanggung di atas pihak yang
mendakwa (menuntut) dan sumpah ke atas yang ingkar (menafikan).”

Sebagai pihak yang mengemukakan tuntutan, hendaklah membuktikan semua dakwaannya sehingga
ke tahap yakin. Keyakinan pula adalah disabitkan melalui pengakuan, penglihatan atau keterangan
dan dalil.

Seksyen 3 (1) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003, keterangan termasuk
bayyinah dan syahadah, keterangan lisan dan keterangan dokumen.

Saya nasihatkan puan dapatkan khidmat peguam syarie kerana jika suami tidak bersetuju bercerai,
mahkamah perlu membicarakan kes anda. Apabila berdepan dengan proses perbicaraan, puan perlu
menghadapi banyak prosedur dan aturan yang perlu dipatuhi pihak-pihak. Peguam syarie boleh
membantu mengemukakan bukti di mahkamah dan mendapatkan hak menurut hukum syarak.

Jawapan disediakan Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Tuan Musa Awang

sumber: http://www.bharian.com .my

ARKIB : 24/02/2009
Isteri Beego mohon sebulan selesai kes cerai fasakh

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Isteri kepada pelakon sitkom Puteri, Intan Shahira Mohd. Shahru, 28, memohon tempoh
sebulan untuk mencapai persetujuan mengenai tawaran Beego untuk menyelesaikan kes tuntutan cerai fasakh
mereka di luar mahkamah.

Peguam syarie, Marlina Amir Hamzah yang mewakili Intan, memaklumkan Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini,
pihaknya baru menerima tawaran tersebut dan berasa dukacita kerana lambat dimaklumkan mengenainya.

Beliau berkata, setakat ini mereka tidak menerima sebarang permohonan secara rasmi daripada defendan berkaitan
penyelesaian secara baik tersebut.

"Jika ia dibuat secara rasmi, kami akan mengambil kesempatan ini untuk berbincang dan meminta tempoh sekurang-
kurangnya dalam sebulan," kata Marlina.

Menurutnya, hari ini sepatutnya ditetapkan untuk sambung bicara kes tuntutan fasakh yang mana defendan akan
menyambung keterangannya.

Beliau menyebut bagi pihak peguam syarie yang mewakili Beego, Md. Nor Md. Din yang gagal hadir pada prosiding
kes itu kerana berada di luar daerah. Beego atau nama sebenarnya Mohd. Aszerul Nizam Abdullah juga turut tidak
hadir.

Jelas Marlina, anak guamnya yang berada di luar negara juga telah mengambil cuti semata-mata untuk menghadiri
kes tersebut.

"Sehubungan itu, saya mendapat arahan daripada anak guam supaya notis perhatian ketidakhadiran defendan
dikeluarkan jika dia masih gagal hadir pada tarikh akan datang.

"Kami juga mahukan keterangan defendan dalam perbicaraan kes ini tidak diterima mengikut Seksyen 121 Akta
Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan," katanya.

Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zain yang mendengar kes tersebut bagaimanapun menegur defendan supaya
memaklumkan lebih awal jika terdapat sebarang cadangan untuk menyelesaikan kes secara baik.

"Pastikan defendan dan peguam hadir pada tarikh akan datang jika tidak mahu dinafikan hak untuk memberi
keterangan kelak," katanya.

Beliau kemudiannya menetapkan 16 Mac depan untuk kedua-dua belah pihak mencapai persefahaman berhubung
penyelesaian kes secara baik. Namun, jika gagal, beliau menetapkan tarikh tersebut untuk sambung bicara.

Pada 22 Februari 2008, Beego turut memfailkan permohonan nusyuz (derhaka) terhadap Intan Shahira agar kembali
kepadanya manakala tuntutan fasakh oleh isterinya difailkan sebulan sebelumnya.

Beego dan Intan Shahira bernikah pada 28 Disember 2007 di Bandar Baru Uda, Johor Bahru namun rumah tangga
mereka bergolak selepas hanya mampu bertahan selama empat bulan dan Beego sendiri sempat bersama isterinya
selama 10 hari sahaja.

Вам также может понравиться