Вы находитесь на странице: 1из 1

Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam membentuk masyarakat

yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Bincangkan.

Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu
diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar
bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai
menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita
penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam
masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan
penting dalam pembentukan disiplin anak-anak.
Jika dibandingkan antara ibu bapa dahulukala dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat mengetahui
bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri
mereka dengan rotan. Daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat memberi
tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun, saya percaya bahawa ibu bapa perlu
tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan
pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan berfikir dua kali sebelum melakukan
kesalahan.
Selain ketegasan dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi mematangkan
fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan perasaan ingin memberontak dalam kalangan anak
dapat diatasi. Hal ini demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi peraturan sekolah. Dengan peraturan
sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang
untuk melakukan perkara yang membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi
tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam mendisiplinkan diri agar tidak melakukan perbuatan yang
menconteng arang di muka ibu bapa.
Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak
demi mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam masyarakat.
Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan
moral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni
demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk
menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkewibawaan.
Mengikut Doktor Fazilah Kamsar, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi berdisiplin jika
kita menerangkan sebab dan akibatnya jika dia membuat kesalahan. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas
daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga. Anak-anak perlu
diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini
penting agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal
atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Langkah ini amat penting agar
anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara
semula jadi.
Di samping itu, ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Oleh sebab
bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan
anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan menjaga kelakuan diri di
khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti
tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap
ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.
Kesimpulannya, pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa amat
berkesan. Ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan oleh ajaran dan teguran
membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan
kokurikulum sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Oleh hal yang demikian, saya
berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal
selepas anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang
daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk
menggapai impian Wawasan 2020.

Вам также может понравиться