Вы находитесь на странице: 1из 3

KANSER PANGKAL RAHIM DAN VAKSIN HPV

Posted by zafry di 29 November 2009

oleh: Dr Murizah Mohd Zain Baru-baru ini kabinet telah meluluskan satu peruntukan yang besar melibatkan RM150 juta setahun meliputi 300,000 remaja perempuaan pada setiap tahun, bagi pembelian vaksin Human Papilloma Virus ( HPV ). Penggunaan vaksin ini diharapkan dapat mencegah berlakunya kanser pangkal rahim ( servik ). Pelbagai pihak menyambut baik langkah yang telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengajak para pembaca sekelian menambahkan sedikit ilmu kita dalam bidang perubatan dan seterusnya menilai langkah yang telah diumumkan oleh kerajaan itu. Kanser servik ataupun kanser pangkal rahim merupakan kanser organ reproduktif wanita yang paling utama dan kanser wanita yang kedua paling kerap berlaku selepas kanser payudara. Kanser servik merupakan kanser yang boleh dicegah dan kunci kepada pencegahannya adalah melalui ujian saringan pap smear. Di negara-negara maju, kanser ini sangat jarang berlaku disebabkan oleh kesedaran dan langkah pencegahan yang diamalkan tetapi di negara kita kejadian dan kematian disebabkan oleh kanser ini adalah masih tinggi. Punca terjadinya prakanser dan kanser servik adalah disebabkan oleh jangkitan virus yang dinamakan Human Papilloma Virus ( HPV ). Kajian menunjukkan 99.7% daripada kanser servik mempunyai kaitan secara langsung dengan virus HPV ini. Terdapat lebih 100 jenis virus HPV dan ianya boleh dibahagikan kepada virus HPV berisiko rendah yang menyebabkan kutil atau wart dan virus HPV berisiko tinggi yang berkait rapat dengan prakanser dan kanser. Virus ini berkeupayaan untuk memasuki sel permukaan servik dan melepaskan DNA mereka untuk bercantum dengan DNA sel permukaan servik dan seterusnya terjadi pembiakan sel-sel di luar kawalan. Bagi kebanyakan wanita (lebih kurang 80%) yang sihat dan normal serta mengamalkan seks yang baik (tidak berbilang pasangan), mereka dapat menghapuskan jangkitan HPV ini dan bebas daripada mendapat prakanser dan kanser. Seandainya jangkitan virus ini dapat dicegah, sudah tentu ini dapat mencegah dari terjadinya kanser dan prakanser. Sejenis vaksin HPV telah dicipta oleh saintis yang berupaya untuk mencegah jangkitan terhadap virus HPV. Vaksin HPV yang dinamakan Gardasil dan Cervarix

telah diluluskan oleh Federation of Drug Administration ( FDA dan ratusan negara di seluruh dunia telah meluluskan penggunaan vaksin ini termasuk Malaysia. Vaksin ini perlu diberi sebanyak 3 kali dalam masa 6 bulan kepada wanita seawal usia 9-26 tahun. Suntikan vaksin ini akan meransang sistem pertahanan badan untuk menghasilkan antibodi terhadap virus HPV yang terkandung dalam vaksin tersebut. Antibodi ini akan menghalang kemasukan atau jangkitan virus HPV ke atas wanita tersebut. Kesan maksima daripada vaksin ini cuma akan diperolehi oleh wanita yang belum terdedah kepada hubungan seks. Sebaik-baiknya vaksin ini diberikan ketika mereka berada pada peringkat awal remaja.

Namun, perlu diingat walaupun vaksin ini berkesan mencegah jangkitan virus HPV yang menjadi punca kanser servik, kesan akhir terhadap pengurangan insiden kanser ini cuma akan dapat dilihat selepas 15-20 tahun program perlalian berjalan. Ujian saringan Pap Smear MASIH perlu dijalankan kerana vaksin ini cuma mencegah 70% daripada kanser servik. Langkah vaksinasi HPV yang diumumkan oleh kerajaan adalah satu yang baik walaupun ia mempunyai implikasi kewangan yang banyak namun pada masa yang sama masyarakat perlu diberi kesedaran tentang penyakit kanser servik serta langkah pencegahan sekundernyanya melalui ujian saringan Pap smear. Masyarakat perlu mengetahui tentang faktor risiko kanser servik dan seterusnya melalui amalan hidup yang sihat dapat mengurangkan risiko untuk mendapat kanser serviks. Berikut adalah beberapa kaedah yang boleh diamalkan untuk mencegah kanser serviks; 1. Menambahkan ILMU tentang prakanser dan kanser serviks 2. Menjalani ujian saringan pap smear (ini merupakan kaedah berkesan MENCEGAH kanser serviks) 3. Mengamalkan GAYA HIDUP SIHAT seperti senaman dan pemakanan seimbang. Buahbuahan dan sayuran mengandungi banyak antioksida yang boleh mencegah kanser 4. Mengelakkan daripada tabiat merokok. Bahan-bahan dalam rokok adalah agen prakanser 5. Suami yang berkhatan boleh mengurangkan jangkitan virus HPV kepada wanita 6. Mengamalkan hubungan seks yang sihat dan SELAMAT/SAH. Hubungan seks yang dilakukan secara rambang dan dengan ramai pasangan boleh meningkatkan risiko kanser serviks 7. Vaksin HPV Saya meyambut baik pengumuman kerajaan untuk program vaksinasi ini. Alhamdulillah, 2 anak perempuan remaja saya akan mendapat faedah dari program vaksinasi ini. (Jika kerajaan tidak memberinya, saya memang bercadang untuk membelinya dari hospital swasta untuk anak-anak

perempuan saya pada kos yang memang mahal). Namun, pada masa yang sama, penerapan dari aspek pencegahan lain perlu dititikberatkan dan diberi perhatian. Remaja juga perlu dinasihati vaksin HPV bukanlah tiket untuk amalan seks bebas. Ianya mencegah dari HPV tapi seks bebas mengundang pelbagai penyakit lain; hepatitis, AIDS, syphilis, gonorrhea dan bermacam-macam lagi. Asas kepada pencegahan adalah menjauhi amalan-amalan yang tidak sihat dan menjalani kehidupan selaras dengan tuntutan agama kerana itulah dalam Islam pencegahan lebih utama dari perawatan. Selamat membaca dan untuk anak remaja- selamat bervaksinasi.

Dr Murizah Mohd Zain Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah
http://imedik.wordpress.com/2009/11/29/kanser-pangkal-rahim-dan-vaksin-hpv/

Вам также может понравиться