Вы находитесь на странице: 1из 8

Soalan : Jelaskan sumbangan Dato Onn Jaafar dalam proses kemerdekaan Negara kita.

Dato Onn bin Jaafar telah dilahirkan pada 12 Februari 1895 di Bukit Gambir, Johor Bahru. Dato Onn Jaafar merupakan anak kepada Datuk Jaafar bin Haji Muhammad iaitu Menteri Besar Johor yang pertama. Beliau juga merupakan seorang kerabat diraja Johor. Dato Onn Jaafar telah dipelihara oleh Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar sejak beliau kecil lagi. Beliau telah mendapat pendidikan Melayu sebelum melanjutkan pelajaran ke England. Dato Onn Jaafar pernah bekerja sebagai wartawan pada tahun 1930 ketika beliau berumur 35 tahun. Dato Onn Jaafar telah menjadi pengarang Lembaga Malaya dan harian Lembaga pada tahun 1934. Di samping itu, beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Dato Onn Jaafar juga pernah menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor iaitu semasa zaman pemerintahan Jepun. Dato Onn Jaafar pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah dalam pentadbiran penjajahan British dan kemudiannya berhenti kerana beliau membantah dasar-dasar jajahan British pada waktu itu. Dato Onn bin Jaafar telah mendirikan rumah tangga bersama Datin Halimah Hussein. Salah seorang daripada anak mereka ialah Allahyarham Tun Hussein bin Dato Onn. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada 19 Januari 1962 dan dikebumikan di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor. Dato Onn Jaafar telah banyak memberi sumbangan beliau di dalam proses kemerdekaan negara kita. Antaranya penentangan Malayan Union (Kesatuan Malaya) dan penubuhan UMNO serta mewujudkan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Rusuhan kaum yang berlaku di Batu Pahat, Johor pada September 1945 iaitu selepas dua minggu Jepun menyerah kalah telah memaksa Dato Onn Jaafar turun padang bagi menyelesaikan isu besar yang berlaku secara mendadak. Sebagai pemimpin masyarakat di Johor, beliau terpanggil untuk campur tangan ketika kemelut yang kian meruncing itu telah membabitkan kumpulan etnik rakyat negara ini. Perkara ini terjadi disebabkan transformasi pemikiran rakyat yang masih diselubungi emosi akibat perubahan sosial daripada kesan negatif peperangan. Sebelum itu, telah berlaku satu insiden rusuhan kaum di Lukut iaitu pada tahun 1836 dan di Larut, Perak pada sekitar tahun 1850-an, tetapi ianya sekadar perbalahan di dalam merebut lokasi pertumbuhan ekonomi. Di Lukut, majoriti pekerja cina yang bekerja di lombong

tidak berpuas hati dengan pentadbiran tempatan yang mengenakan cukai dengan harga yang terlalu tinggi sehingga memaksa mereka membakar kota pemerintah. Manakala di Larut pula, pemerintah tempatan telah menyebelahi satu puak ketika berlaku pergaduhan dua kongsi gelap imigran Cina iaitu Ghee Hin dan Han San secara berturut-turut. Di saat keadaan semakin genting Dato Onn Jaafar dilaporkan telah bertindak nekad dengan memasuki zon berbahaya iaitu lokasi MPAJA secara berseorangan bagi mengadakan rundingan di dalam usaha untuk membebaskan mereka-mereka yang ditahan. Hasil daripada rundingan tersebut telah berjaya mencapai persefahaman bagi meredakan ketegangan. Kemunculan Dato Onn Jaafar di zon berbahaya tersebut telah dapat mengelakkan lebih banyak nyawa mereka-mereka yang tidak berdosa terkorban dalam rusuhan kaum yang amat memilukan. Dato Onn Jaafar juga telah menyahut seruan Tan Sri Zaaba untuk memimpin bangsa Melayu menentang Malayan Union dan beliau terus menghubungi Tunku Abdul Rahman di Kulim, Kedah dan Dato Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab di Ipoh. Tunku Abdul Rahman yang tidak menyertai sebarang persatuan tetap memberikan sokongan peribadi beliau kepada Dato Onn Jaafar. Di samping itu, beliau memberi jaminan akan membawa persatuan SEBERKAS di Kedah. Gabungan idea tiga pemimpin itulah yang telah menjana gagasan menganjurkan Kongres Melayu pertama. Inisiatif di dalam menganjurkan Kongres Melayu telah dapat dilihat selepas Dato Onn Jaafar mula bertindak ketika majoriti bangsa Melayu pada ketika itu terpinga-pinga tanda tidak memahami konsep Malayan Union. Dato Onn Jaafar selalu menghubungi Tan Sri Zaaba, Tunku Abdul Rahman dan Dato Panglima Bukit Gantang untuk membincangkan langkah-langkah bagi menentang pelaksanaan Malayan Union. Setelah pemimpin elit yang diketuai oleh Dato Onn Jaafar mencapai kata sepakat, mereka mengambil langkah dengan menganjurkan rapat raksasa menentang di setiap negeri. Tunku Abdul Rahman telah bersama Kesatuan Melayu Kedah mula melancarkan tunjuk perasaan di Alor Setar pada 19 Januari 1946 dengan disertai kira-kira 50,000 masyarakat tempatan yang turut sama menentang Malayan Union. Selepas tunjuk perasaan di Alor Setar, masyarakat Melayu di Kelantan pula telah menganjurkan rapat raksasa bertempat di Kota Bharu pada 1 Februari 1946 dengan disertai lebih 36,000 orang. Seterusnya, Dato Onn Jaafar bersama Persatuan Melayu Semenanjung Johor telah meneruskan bantahan di Batu Pahat pada 10

Februari 1946 dan kebangkitan tersebut dikatakan sebagai deskripsi kepada landasan kepimpinan Dato Onn Jaafar di dalam menentang kerakusan dan keangkuhan Harold Mac Michael. Pada 1 April 1946, Dato Onn Jaafar bersama tiga lagi rakannya iaitu Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Nik Ahmad Kamil dan Dato Hamzah telah menyerbu ke bilik penginapan raja-raja Melayu di Hotel Stesen sebelum raja-raja tersebut berangkat menghadiri istiadat pelantikan Sir Edward Gent yang memegang jawatan sebagai Gabenor Malayan Union di Rumah Persekutuan. Sebelum pengisytiharan pelantikan Sir Edward Gent menjadi Gabenor Malayan Union, raja-raja Melayu sudah berkumpul di Hotel Stesen sejak 30 Mac 1946 bagi merangka pelan tindakan selanjutnya. Perjumpaan tersebut turut dihadiri Dato Onn yang mewakili negeri Johor, dan Tunku Abdul Rahman selaku pemimpin utama dari Kedah. Antara pemimpinpemimpin lain yang turut hadir ialah Tan Sri Zaaba dan Dato Hamzah (mewakili Selangor), Dato Panglima Bukit Gantang (mewakili Perak), Salleh Osman (mewakili Perlis), Dato Nik Ahmad Kamil (mewakili Kelantan), Ibrahim Mahmood (mewakili Pulau Pinang), Yop Muhiddin (mewakili Pahang), Abdul Rahim Ibrahim (mewakili Singapura) dan Ibrahim Karim (mewakili PKMM). Dalam perjumpaan tersebut, Tunku Abdul Rahman mencadangkan agar pengisytiharan Malayan Union ditangguhkan dalam tempoh enam bulan. Di samping itu, perjanjian Harold Mac Michael dimansuhkan. Sementara itu, Dato Panglima Bukit Gantang pula mendesak raja-raja Melayu memulaukan upacara pengisytiharan Malayan Union tanda protes. Dato Nik Ahmad Kamil mendesak setiap bangsa Melayu supaya berkabung selama seminggu dengan melilit kain putih pada songkok. Kesimpulan yang dicapai pada perjumpaan pemimpin-pemimpin utama bangsa Melayu ketika itu telah dibincangkan dalam kongres tergempar pada 31 Mac 1946 di bangunan Kelab Persekutuan Penang Peranakan (Penang Peranakan Club) di Batu Road (Jalan Tuanku Abdul Rahman). Kongres telah bersetuju dengan melantik Dato Onn mengetuai wakil persatuan-persatuan Melayu. Ternyata sikap keras yang diambil oleh Dato Onn Jaafar telah mendorong Inggeris menerima desakan dari bangsa Melayu apabila pihak Inggeris menyampaikan mesej pada 3 Julai 1946 untuk membuburkan Malayan Union secara keseluruhannya. Pada 1 hingga 4 Mac 1946, 41 buah persatuan Melayu telah menghadiri Kongres Melayu Pertama yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman. Tujuannya adalah untuk menentang Malayan Union yang diperlihatkan sebagai ancaman terhadap hak istimewa orang Melayu dan kedudukan

sultan-sultan Melayu pada ketika itu. Hasil daripada mesyuarat tersebut, sebuah badan yang mewakili orang Melayu yang menentang Malayan Union akan ditubuhkan. Kongres bersetuju memulau pelancaran Malayan Union. Caranya dengan menggesa raja-raja Melayu supaya tidak menghadiri majlis perasmian dan perlantikan Gabenor Malayan Union, Sir Edward Gent. Pada bulan Mei 1946 pula, telah diadakan Kongres Melayu Ketiga yang bertempat di Istana Besar Johor Bahru. Kongres inilah yang telah melahirkan UMNO dan presidennya yang pertama adalah Dato Onn Jaafar. Ini kerana pada waktu itu Dato Onn Jaafar amat aktif dalam gerakan nasionalisme Melayu dan atas sebab itulah kongres tersebut telah melantik beliau sebagai presiden pertama. Dato Onn Jaafar terus memimpin UMNO dan memberikan tentangan berterusan kepada Malayan Union sehingga memaksa Gabenor iaitu Sir Edward Gent mengadakan rundingan dengan raja-raja Melayu dan Dato Onn Jaafar. Akhirnya, Malayan Union terpaksa dibatalkan dan diganti dengan pemerintahan baharu yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu. Penentangan yang berterusan daripada UMNO juga dipimpin oleh Dato Onn Jaafar akhirnya telah membuatkan satu perjanjian baharu terpaksa dibuat. Hasil daripada perjanjian ini, satu perlembagaan baharu telah dibuat dan berkuatkuasa pada 1 Februari 1948. Perlembagaan tersebut dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Pada 21 Februari 1948, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah disytiharkan secara rasmi. Pada tahun 1948 juga, UMNO telah dijadikan sebagai sebuah parti politik. Namun begitu, pemerintahan Dato Onn Jaafar sebagai presiden UMNO yang pertama hanya bertahan sehingga 16 September 1951. Ini kerana, pada tarikh tersebut Dato Onn Jaafar keluar daripada UMNO dan menubuhkan Parti Malaya Merdeka (IMP). IMP ditubuhkan untuk merealisasikan impian Dato Onn Jaafar iaitu ingin mewujudkan kerjasama pelbagai kaum dalam satu parti. IMP menetapkan sasaran untuk mencapai kemerdekaan dalam masa 10 tahun. Impian penyatuan kaum ini telah cuba diwujudkan oleh Dato Onn Jaafar sebaik beliau memerintah di dalam UMNO lagi. Namun, ianya tidak mendapat sambutan. Namun begitu, niat murni Dato Onn Jaafar untuk membentuk parti yang terdiri daripada berbilang kaum ini akhirnya terkubur kerana tiada sambutan dan tiada sokongan. Ini kerana, dikatakan bahawa idea Dato Onn Jaafar itu terlalu awal sedangkan masyarakat berbilang kaum pada masa itu belum bersedia untuk

bergabung dalam sebuah parti. Dato Onn Jaafar tetap tidak berputus asa dan beliau tetap berusaha untuk mendapat tempat dalam politik. Perubahan senario yang merombak struktur politik di Tanah Melayu ketika itu turut membabitkan Dato Onn Jaafar dan UMNO. Perlantikan beliau sebagai Menteri Besar Johor selaras dengan pentadbiran kerajaan Persekutuan Tanah Melayu memberi tanggungjawab besar kepadanya apabila keganasan PKM membabitkan ladang Layang-Layang di negeri Johor. Dalam tempoh Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu masih lagi belum dilantik, kerajaan Inggeris terpaksa mengharamkan PKM seterusnya telah diisytiharkan darurat di seluruh negara pada 12 Julai 1948. Kira-kira tiga bulan selepas kematian Edward Gent, hanya pada 6 Oktober 1948 kerajaan Inggeris telah menghantar Sir Henry Gurney memegang jawatan Pesuruhjaya Tinggi. Dalam kepimpinan UMNO juga, Dato Onn Jaafar menyusun struktur parti dengan membentuk beberapa jawatankuasa. Di samping itu, beliau juga mewujudkan sekretariat pejabat setiausaha agung di Hale Street, Ipoh bersama ketua eksekutifnya, Dato C.M. Yusuff. Seterusnya pada persidangan di Seremban pada 1-2 Mac 1947, jawatan Timbalan Yang Dipertua Agung juga diwujudkan dengan Mohamad Tahir bin Setia Raja memegang jawatan tersebut. Senario yang berlaku dalam kepimpinan UMNO seolah-olah graf dengan keadaan turun naik yang turut sama mencorakkan kerjaya politik Dato Onn Jaafar. Krisis Dato Onn Jaafar dengan Sultan Kedah turut mempengaruhi politik UMNO pada pertengahan 1949 apabila kerajaan Inggeris mahu mewujudkan jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi yang diperuntukkan kepada orang Melayu atau khususnya pemimpin UMNO. Tokoh yang disebut-sebut bagi mengisi jawatan tersebut memang secara automatik ditujukan kepada Dato Onn Jaafar kerana jawatannya sebagai Yang Dipertua UMNO. Insiden membabitkan krisis dengan Sultan Kedah itu berkaitan dengan usul yang pernah dibawa Tan Sri Senu sebelumnya bagi memasukkan posisi jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di dalam perlembagaan pada persidangan di Alor Setar pada 10 hingga 12 Januari 1947. Sekiranya usul berkenaan diluluskan, sememangnya jawatan yang diperuntukkan kepada orang Melayu itu termaktub di dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Tetapi

Dato

Onn

Jaafar

memperlihatkan

kewibawaannya

sebagai

pemimpin

berpandangan jauh apabila menyedari risiko sekiranya usul tersebut diluluskan. Justeru, dalam persidangan tersebut, beliau berjaya mempengaruhi perwakilan untuk menolak usul yang dikemukakan oleh Tan Sri Senu dan SEBERKAS bagi mengelakkan raja-raja Melayu tersinggung. Dalam masa Dato Onn Jaafar berhati-hati mengawal perwakilan UMNO membuat keputusan, kerajaan Inggeris seolah-olah mendedahkan beliau kepada persengketaan terbuka dengan raja-raja Melayu. Berikutan insiden tersebut, Dato Onn Jaafar diberi kata dua oleh Sultan Johor, sama ada mahu mengekalkan kedudukan selaku Yang Dipertua Agung UMNO atau melepaskan jawatan Menteri Besar. Dato Onn Jaafar memilih mengekalkan kepimpinan dalam UMNO, walaupun berlaku pergolakan pada tahun 1950 apabila beliau meletakkan jawatan berikutan isu kerakyatan Jus Soli yang dipertikaikan perwakilan UMNO. Ketika krisis dengan Sultan Kedah semakin memuncak, UMNO mengambil keputusan untuk berdiri teguh bersama Dato Onn Jaaar. Dato Onn Jaafar sering menimbulkan kontroversi dalam kepimpinannya, tetapi kecekapan beliau sebagai pemidato mampu mengubah rentak penentang-penentangnya. RIDA yang diasaskan oleh Dato Onn Jaafar pada peringkat awalnya terus diselar di kalangan pengkritiknya. Di samping itu, Dato Onn Jaafar turut dicemuh seolah-olah beliau melutut meminta sedekah kepada kerajaan Inggeris semasa ke London. Senario darurat yang telah diisytihar pada 12 Julai 1948, seolah-olah turut mengubah hala tuju kepimpinan Dato Onn Jaafar merangka agenda perpaduan nasional. Berikutan pertemuan dengan Gabenor Jeneral British di Asia Tenggara, Malcolm Mac Donald pada Januari 1949, Dato Onn Jaafar telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (Communities Liason Committee) seperti disarankan oleh kerajaan Inggeris. Komuniti Cina yang sebelumnya menentang persekutuan Tanah Melayu turut sama menyertai jawatankuasa tersebut dengan membentuk MCA. Berdasarkan senario politik yang semakin tertekan dengan agenda penjajah Inggeris yang melaksanakan polisi pecah dan perintah, UMNO juga turut sama mengorak langkah dengan meminda perlembagaan parti pada persidangan di Arau, Perlis pada 28 hingga 29 Mei 1949 iaitu dengan memansuhkan keahlian menerusi badan-badan gabungan. UMNO telah ditukar menjadi organisasi dengan keahlian terus sebagai parti politik nasional yang menggerakkan prinsip perjuangan sendiri dan bukan lagi berdasarkan mandat

badan-badan gabungan. Dato Onn Jaafar mahu membuka keahlian UMNO kepada komuniti bukan Melayu sekadar pendekatan politik semasa, selepas pertemuan dengan Malcolm Mac Donald pada Januari 1949. Sebaliknya isu berkenaan dieksploitasi sebagai percubaan untuk melemahkan perpaduan Melayu. Dalam perjumpaan tersebut, Malcolm Mac Donald dikatakan sudah memberi isyarat kemerdekaan Tanah Melayu boleh dicapai dengan perpaduan kaum di Tanah Melayu sama ada orang Melayu mahupun di kalangan imigran. Langkah mengundurkan diri daripada UMNO sememangnya merupakan agenda yang telah dirangka lebih awal oleh Dato Onn Jaafar. Justeru itu, tidak sampai sebulan selepas persidangan menukar pucuk pimpinan parti berkenaan, beliau telah menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP-Independent of Malaya Party) pada 21 September 1951. Dato Onn Jaafar telah memenuhi hasratnya dengan menjadikan IMP parti berbilang kaum, tetapi gagal mendapat sokongan majoriti kaum Cina apabila MCA telah menjalin persefahaman dengan UMNO. Dato Onn Jaafar telah dilantik memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada Mac 1951 menerusi Member System. Secara tidak langsung, beliau turut terbabit dengan isu darurat yang semakin kalut. Setiap pertempuran dalam insiden dalam serang hendap adalah membabitkan pasukan keselamatan yang dianggotai oleh orang Melayu dan militan PKM daripada kalangan komuniti Cina. Kedudukan beliau selaku Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri menyebabkan komuniti Cina kurang meyakini Dato Onn Jaafar, malah orang Melayu sendiri turut mencurigai usahanya di dalam memantapkan perpaduan nasional. Apatah lagi perpaduan tersebut diadaptasi daripada idea Malcolm Mac Donald sebagai prasyarat untuk membolehkan Inggeris memberi kemerdekaan. Walaupun begitu, usaha Dato Onn Jaafar dianggap berbaloi kerana beliau telah berjaya menggagalkan penubuhan Malayan Union yang secara halus merampas hak masyarakat Tanah Melayu. Beliau juga telah berjaya menubuhkan parti politik (UMNO) yang masih bertahan hingga sekarang. Malahan, beliau juga telah berjaya memaksa pihak British mengadakan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Usaha Dato Onn juga telah meningkatkan lagi semangat nasionalisme dalam diri rakyat malahan melahirkan pelbagai parti yang berjuang mempertahankan hak rakyat Tanah Melayu ketika itu.

http://www.malaysiamerdeka.gov.my/v2/ms/malaysiaku/tokoh-dan-pemimpin/tokoh-negara?start=12 http://ms.wikipedia.org/wiki/Onn_Jaafar http://www.jasa.gov.my/index.php/bm/media/koleksi-artikel/24-heritage/141-dato-onn-jaafarnegarawan-terulung.html

Вам также может понравиться